"Copy cat" violence

Nampaknya manusia hari ini menjadi semakin ganas. Kekacauan yang berlaku di London akibat dari kematian seorang yang bernama Mark Duggan yang terkena tembakan polis dalam keadaan yang mencurigakan pada hari Khamis lalu, telah mencetuskan rusuhan dalam bentuk keganasan, kebakaran, kecurian dan kecederaan yang menimpa perusuh serta anggota polis.

Kegelisahan dan rusuhan itu yang bermula di satu kawasan kecil di London, kini merebak ke kawasan2 lain di luar London, dengan kebakaran yang banyak dilakukan ke atas bangunan awam dan Kerajaan, harta benda, kereta dan sebagainya.

Beberapa orang saksi dan penduduk London menegaskan bahawa kekacauan yang berlaku dalam bentuk yang meluas itu tidak lagi mempunyai kaitan dengan insiden tembakan yang meragut nyawa Dunggan hari Khamis lalu, tetapi merupakan keganasan ikut-ikutan (copy cat violence) yang dilakukan oleh anak2 muda dan orang2 yang sengaja ingin membuat kacau, sambil mencari keuntungan diri, mencuri dan merompak kedai dan gudang perniagaan.

Amalan demokrasi dan pemeliharaan hak asasi manusia di negara Barat oleh pihak polis dan jentera keselamatan negara itu, biasanya tidak bertindak tegas terhadap bibit2 demonstrasi dan rusuhan pada peringkat awal. Keadaan inilah yang kemudiannya merebak menjadi keganasan secara besar-besaran sehingga semua pihak menjadi panik, keadaan menjadi tidak terkawal, dan akhirnya menjadi terlalu lewat untuk polis dan pasukan keselamatan bagi mengambil tindakan membenteras keganasan yang lebeh besar.

Akibatnya negara menjadi kacau bilau, api menjulang membakar harta benda orang awam dan pejabat Kerajaan, gudang perniagaan di pecah masuk dan barang2nya di rampas, di curi, dan semuanya berlaku dengan cepat berkat kecanggihan teknologi maklumat, sms dan sebagainya.

Hal ini agak berbeza di negara kita, kerana polis dan pasukan keselamatan di sini akan mengambil langkah berjaga2 dari awal2 lagi, sebelum kejadian yang merbahaya mulai merebak dan berlaku di luar kawalan, seperti yang berlaku pada 9 Julai yang lalu. Kalau dibiarkan darah muda dan tua menggelegak di dalam jasad para penunjuk perasaan itu tanpa kawalan, maka keganasan yang sering berlaku di dalam demonstrasi dan perarakan yang pada mulanya kelihatan aman, akhirnya besar kemungkinan akan bertukar menjadi ganas, terutamanya apabila terdapat para ketua dan penganjurnya yang membawakan isu dan perjuangan yang dikempenkan sebagai isu negara, isu keadilan, demokrasi, bersih dan sebagainya.

Ketika itu, orang yang mengikuti demonstrasi itu, akan bertindak ganas, yang mungkin tidak mempunyai kaitan dan tidak kena mengena lagi dengan isu asal, malahan nafsu yang memuncak, iaitu nafsu perosak dan ganas akan bermaharajalela, lalu akan di manifestasikan dengan perbuatan ganas, melawan polis, dan mungkin merebak dengan merosakkan harta benda, membakar dan sebagainya tanpa kawalan lagi, dalam bentuk yang disebutkan oleh penduduk London sebagai keganasan tiru-tiruan (copy cat violence).

Keganasan tiru-tiruan ini mungkin ditiru dari Asia Barat dan benua Afrika, Amerika , dan dunia lain lagi, yang dapat kita saksikan sekarang ini. Kekacauan yang berlaku di Tunisia dan Mesir, atas nama revolosi rakyat, beberapa bulan dulu, masih menjalar dan merebak ke Syria dan Libya, dan sedang menanti2 saja akan berlaku lagi di Yaman, Bahrain, dan di negara lain di sana. Sebahagian besar kekacauan itu mungkin juga merupakan "copy cat violence". "Orang buat, kita pun buat" tanpa melihat lagi kenapa orang di sana buat? Apakah kita sama dengan mereka? Apakah kita mempunyai isu dan kes yang sama dengan mereka? atau kita hanya menjadi pak turut, mengikut secara membuta tulis sahaja?

Itulah nampaknya senario dunia "moden" dunia "demokrasi" dan dunia "tamadun" dunia "global" dunia "adil" dan berbagai2 sifat dunia baru pada hari ini, malah yang lebeh menyedihkan lagi kita memikirkan ialah slogan yang mengatakan "itulah dunia perjuangan rakyat" sekarang.

Kita berharap walau bagaimana sekali pun dunia lain bergolak dan walau bagaimana pun gelagat rakyat itu mempengaruhi pemikiran umum tentang peerjuangan yang palsu dan persepsi yang salah tentng sesuatu isu, maka kita di negara ini biarlah berada dalam keadaan yang cukup berhikmah dan bersikap rasional.

Kita boleh mengambil pelajaran dan iktibar yang amat bernilai dari semua senario keganasan dan demonstrasi yang berlaku di negara lain. Kita haruslah cuba menyelesaikan sebarang pertikaian dan kesalah fahaman di antara kita dengan cara bertamadun, beretika, berilmu, bermoral dan berdialog serta bermusyawarah, cara aman damai seperti yang kita warisi dari adab sopan serta budaya, dan jati diri kita sendiri..

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....