AIDILFITRI MENJEL;ANG LAGI

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI


Pada 8 September 2010 yang lalu, sempena ketibaan Hari Raya, 1 Syawal tahun lepas , saya telah mencatat di sini secara ringkas tentang ungkapan yang selalu kita ucapkan sempena ketibaan 1 Syawal Min Al-'Aidin, Al-Faizin, Al-Maqbulin. Tiga istilah dalam ungkapan tersebut merupakan pengertian dan matlamat yang seharusnya kita capai dalam hubungan kita dengan Allah SWT dan sesama hamba-Nya ketika selesainya ibadat puasa dan kita merayakan ketibaan hari kemenangan, Hari Raya Aidilfitri. Bagi sesiapa yang berminat, silalah lihat semula catatan saya itu.




Sempena ketibaan bulan Syawal tidak berapa hari lagi pada tahun ini, sekali lagi saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat berhari raya kepada semua pembaca blog saya ini, walau pun bilangannya mungkin agak kecil sahaja. Semoga Hari Raya tahun ini membawa makna yang lebeh, kejayaan yang cemerlang, ketabahan dan kesungguhan yang berlipat ganda dalam menghadapi arus kehidupan yang penuh mencabar ini, tetapi masih banyak nekmat dan kesejahteraan yang dapat kita capai dan rasakan di dalam mamsyarakat kita.




Sememangnya kalau kita melihat kepada senario dunia Islam pada hari ini, semenjak ketibaan bulan Ramadhan, dan menjelangnya kemunculan anak bulan Syawal tidak berapa hari lagi, umat Islam di beberapa buah negara dan rantau dunia ini sedang menghadapi kepayahan hidup yang amat serius.




Umat Islam di bunuh di Gaza oleh regim Zionis, berbunuhan sama sendiri di Pakistan, Afghanistan, Iraq, Libya, Syria dan Yaman. Umat Islam kebuluran sehingga membawa maut di Somalia.




Pemandangan ini hanya yang dapat kita lihat dan mendapat liputan meluas kerana kepentingan politik dan publisiti oleh saluran media antarabangsa, tetapi pandangan itu saja amat mencukupi buat kita merasakan berbagai2 perasaan dan bisikan hati, malah menimbulkan banyak persoalan yang kadang2 amat mengelirukan kita, disamping segala macam rasa sedih dan duka, marah dan geram yang kadang2 tidak kita ketahui kepada siapakah yang seharusnya kita marah, dan siapakah yang harus kita salahkan dengan berlakunya segala kekacauan, pertelagahan, pembunuhan yang berlaku di kalangan masyarakat Islam itu.




Saya selalu membayangkan bagaimanakah umat Islam yang terpaksa mengangkat senjata siang dan malam, memusnahkan harta benda dan pembangunan negara sendiri, menembak dan membunuh saudara seagama yang bertentangan, dan melakukan segala macam keganasan ini, maka bagaimanakah gerangannya mereka berpuasa, mampukah mereka melakukan ibadat puasa itu, yang memerlukan segala kesabaran dan ketahanan rohani, melawan nafsu dan perasaan yang dibisikkan ke telinga mereka oleh syaitan, dan mampukan mereka melakukan ibadat kerohanian dan fizikal yang berat itu sedangkan mereka harus memikul senjata, berniat untuk menghancurkan kumpulan yang bertentangan dengan mereka, malah dalam keadaan kemusnahan di sekeliling mereka, ketiadaan makanan dan minuman, dan kekalutan membawa kawan2 mereka yang luka dan cedera ke hospital, atau menyelenggarakan mayat yang bergelimpangan, itu pun kalau masih mahu dilakukan menurut perintah agama kita?




Hanya Allah SWT sahaja yang tahu, apakah yang mereka lakukan itu di redhai Allah, direstui oleh baginda Rasulullah SAW seandainya baginda dapat menyaksikannya sekarang (Rujuk : Lau Kana Bainana - Program Tv Al-Hijrah), apakah mereka tak punya cara lain yang berpandukan kepada ajaran Islam untuk memperjuangkan kes dan hak mereka itu yang tentunya lebeh berhikmah dan mengikuti landasan yang lebeh bersifat taqwa, rahim dan bantu membantu untuk kebaikan dan ketaqwaan seperti yang diperintahkan Allah SWT?




Kita yang berada jauh dari negara yang dirundung malang dan mala petaka itu pun seolah2 merasa sakit dan derita dengan pemandangan yang kita saksikan di kaca tv, apatah lagi mereka yang mengalami hal itu di sana, dengan jasad dan badan serta jiwa raga mereka sendiri?




Ukuran dunia moden, dunia global, dunia yang mengagong2kan hak asasi manusia dan demokrasi ciptaan dunia maju, perkembangan yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya, Syria dan di beberapa buah negara lain yang berusaha menjatuhkan pemerintah secara kekerasan dan pemberontakan itu adalah sesuatu yang harus dilakukan oleh rakyat demi menegakkan hak asasi mereka, demi menjatuhkan "kezaliman" pemerintah. dan matlamat ini menghalalkan apa saja caranya, termasuk tindakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sesama sendiri, kerana cara itulah saja dalam sistem dunia moden ini yang harus dilakukan, sebab itulah Libya mendapat bantuan senjata dari Barat, NATO, dan sokongan moral pertubuhan dunia moden.




Rakyat yang memberontak hampir mencapai kemenangan di Libya, tetapi kemenagan menjatuhkan Muammar Ghadafi hanya merupakan satu permulaan lain yang tidak diketahui lagi bagaimanakah perkembangan seterusnya selepasa kejatuhan pemerintah lama ini. Untuk membina negara yang musnah dan hancur, menguruskan pengeluaran semula hasil kekayaan Libya, petrol dan gas, yang diharapkan ialah kuasa teknologi Barat, Eropah dan Amerika Syarikat, tambahan pula merekalah yang membantu pemberontak untuk mencapai kemenangan, maka merekalah yang sepatutnya diberikan balasan untuk mendapatkan keuntungan dari kekayaan Libya itu sebagai balasannya, dan mereka pun sememangnya mempunyai matlamat ini ketika menolong rakyat Libya menjatuhkan ketua negara mereka yang lama itu, yang agak keras dan kadang2 bersikap samseng kepada kuasa Barat.




Soalan yang sama juga boleh kita tanyakan kepada semua umat Islam yang berada di negara2 yang bergolak itu, derita, sengsara, perang, cedera, sakit, kebuluran dan kematian, bagaimanakah agaknya mereka berhari raya? Apakah mereka dapat besembahyang raya seperti kita? Apakah mereka dapat bersarapan dan mengadakan jamuan hari raya seperti kita? Apakah mereka dapat bermesra dengan anggota keluarga dan rakan taulan seperti kita? Apakah mereka dapat merasakan keamanan dan menekmati suasana kebesaran Ilahi seperti kita? ....




Namun dalam keadaan apa2 saja, marilah kita sama2 mengucapkan selamat menyambut hari kemenangan dan kejayaan kita sesama kita. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf segala kekurangan dan kesilapan..Wassalam 'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....