DI MANA KUASA SULTAN?

Nampaknya isu Jais memasuki gereja Damansara Utama telah menjadi isu politik sepenuhnya, sehingga kelihatan kuasa agama seolah2 menjadi milik parti politik dan kerjaan yang memerintah, iaitu kerajaan Pakatan Rakyat, bukan kuasa Sultan, sedangkan kuasa agama adalah di tangan Sultan.

Tindakan Jais yang termaklum itu adalah sah dari segi undang2, dan tujuannya ialah untuk menyelamatkan umat Islam dari tersasar akidahnya. Exco agama negeri telah memberikan penjelasannya, dan Menteri Besar Selangor telah berjanji akan mengadap Sultan, mungkin untuk mendapatkan titah Sultan dalam hal ini.

Sehingga peringkat itu sajalah yang dapat saya faham selama ini, dan MB telah pun mengeluarkan arahannya supaya semua ADUN negeri tidak membuat sebarang kenyataan, yang pada tanggapan ramai, MB tentulah akan segera mengadap Sultan dan menerima perintah dari Sultan bagaimanakah hendak menyelesaikan perkara ini.

Isu perjumpaan jawatankuasa pusat PAS untuk mendengar penjelasan Datuk Hassan Ali, hanya untuk mengenal pasti pokok masalah dan menimbangkan pandangannya sebagai exco dari Pas dalam kerajaan negeri, bukan untuk membuat keputusan tentang isu ini, dengan membelakangkan kuasa Sultan dalam urusan agama, termasuk juga isu Jais dan gereja ini.

Kenyataan Presiden PAS untuk mendengar dua belah pihak, iaitu Jais dan Gereja tersebut, sebenarnya mungkin untuk menyelesaikan kerisis yang timbul atas tindakan exco agama dari Pas yang mempertahankan tindakan Jais, bukan untuk membincangkan soal politik tentang keterlibatan Pas dalam pakatan rakyat, atau mencari jalan tengah tentang kerisis dalaman dan luaran Pas serta Pakatan rakyat yang sedang berbangkit ekoran dari tindakan Datuk Hassan Ali itu.

Kalau Presiden Pas telah membuat kenyataan bahawa penjelasan yang didengar dari Datuk Hassan Ali dan apa yang berlaku di dalam gereja tersebut sebagai kenyataan "second hand" maka seolah2 Pas pusat sedang berusaha untuk menguasai isu agama dalam negeri Selangor di tangannya, dan Sultan tidak perlu masuk campur dalam urusan agama dalam negeri baginda sendiri.

Saya fikir Pas pusat hanya perlu membuat kenyataan tentang kedudukan Datuk Hassan Ali dalam parti PAS, dan kedudukan Pas sendiri dalam pakatan rakyat, kerana hal agama dalam negeri Selangor tidak seharusnya dijadikan alat oleh Pas bagi mencari jalan untuk menentukan kedudukan Pas dalam kerajaan Selangor, dan hubungannya dengan parti komponan Pakatan rakyat. Isu ini adalah isu lain yang menyentuh dasar penyertaan Pas dalam Kerajaan negeri Selangor.

Penyelesaian yang terbaik pada pandangan saya ialah kembali kepada pendirian MB Selangor yang mahu mengadap Sultan Selangor, supaya pihak baginda dapat meminta penjelasan dan membuat keputusannya atas sifat bahawa baginda adalah ketua agama yang berkuasa, dan sebarang keputusan baginda tidak boleh dicabar oleh mana2 pihak pun.

Soal Pas dengan parti lain dalam pakatan rakyat, atau kedudukan Datuk Hassan Ali dalam Pas adalah urusan dalaman Pas yang perlu diputuskan oleh parti tersebut, tanpa mengubah haluan dan perhatian masyarakat tentang isu yang sebenar dalam hal Jais dan Gereja itu.

Kalau urusan agama mulai diperlakukan sedemikian rupa, maka pada masa yang akan datang, isu agama dalam sesebuah negeri, akan menjadi isu politik Kerajaan negeri yang memerintah, bukan lagi di tangan Sultan.

Jabatan Agama Islam Negeri adalah tertakluk kepada peraturan Majlis agama Islam negeri iaitu sebuah badan tertinggi urusan agama di bawah Sultan, bukan badan politik, dan tindakan Majlis tersebut tidaklah seharusnya dianggap sebagai keputusan politik yang tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri.

Hal ini perlu dibetulkan kedudukan dan penyelesaiannya, sebelum orang Islam menjadi bertambah keliru antara kuasa Raja sebagai ketua agama, dengan Kerajaan negeri dalam menjalankan pentadbiran dan kuasa politik.

Semakin lama isu ini dibiarkan tertangguh begitu sahaja, maka semakin banyak komen dan ulasan orang2 yang tidak bertanggung jawab, termasuk mempersoalkan hal2 lain yang tidak mempunyai kaitan dengan isu utama ini, dan semakin banyak komen serta ulasan dibuat, terutamanya dalam portal dan media baru yang berat sebelah, maka akan banyak lagi isu sensitif yang akan timbul, dan hal ini mungkin merupakan seperti usaha menanam bom jangka yang amat merbahaya dalam masyarakat kita ini.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....