Lau Kana Bainana

Seandainya Baginda Masih Berada Bersama Kita - Itulah tajuk program Tv Al-Hijrah Astro 114, (Lau Kana Bainana) sebuah program yang menceritakan perlakuan manusia pada hari ini, baik, tidak baik, salah atau betulnya, beradab dan bersopan atau sebaliknya, yang dilakukan oleh orang sekarang, disusuli dengan pertanyaan bagaimanakah Baginda Rasulullah SAW akan bertindak, mengambilsikap atau melihat perlakuan manusia sekarang sekiranya baginda masih berada bersama-sama kita pada masa ini? Apakah agaknya yang akan dikatakan oleh baginda ketika melihat kelakuan kita pada hari ini, iaitu sesudah baginda telah tiada ada lagi di muka bumi ini, diandaikan baginda masih ada, atau diandaikan hal itu berlaku ketika baginda masih berada di dunia ini?

Program ini mencuba mengemukakan pertanyaan tersebut dengan menggambarkan kelakuan dan tindakan manusia sekarang dalam segala aspek kehidupan mereka, termasuk perkara2 yang mungkin dipandang remeh oleh orang sekarang seperti kebersihan persekitaran, kereta, cara kita bergaul, berbicaara dan sebagainya.

Mungkin pertanyaan yang sama dapat kita kemukakan apabila pada hari ini orang Islam melakukan banyak perkara yang tidak pernah pun terbayang akan dilakukan oleh umat Islam ketika baginda masih hidup dulu. Lihat sajalah apa yang berlaku di Baghdad, Kabul, Syria, Libya, Yaman, Somalia, Tunisia, dan di mana2 saja dalam dunia ini, apakah agaknya yang akan diperkatakan oleh baginda Rasulullah SAW sekiranya baginda dapat menyaksikan hal itu di depan matanya?

Banyak salah laku, konflik, pebuatan hasut menghasut, fitnah memfitnah, dendam kesumat, pembunuhan, peperangan, bermain permainan kotor dalam ekonomi, politik, rumah tangga, masyarakat, dan 1001 macam salah laku lain yang dilakukan oleh manusia sekarang, termasuk orang Islam sendiri, yang pada ketika itu bukan hanya merosakkan dirinya semata2, malah merosakkan "risalah" atau amanah dan mesej yang di bawakan oleh baginda sendiri, iaitu agama suci Islam ini.

Bom kerete, pengebom berani mati, pemberontakan melulu yang membunuh ribuan orang yang tidak berdosa, peperangan saudara yang sedang berlaku, pertelagahan yang membawa maut di antara syia'ah dan kumpulan sunni, pergolakan berdarah yang berlaku di dalam dunia Islam dan sesama Islam, semuanya ini bukan hanya keji dan hina kepada orang2 yang melakukannya sahaja, malah merosakkan agama yang di bawa oleh baginda sendiri, mencemarkan nama baik agama Islam, yang disabdakan oleh baginda sebagai agama yang paling tinggi, dan tidak ada sesuatu yang lain yang lebeh tinggi darinya.

Ya, kalaulah baginda masih ada bersama kita, apakah agaknya perkataan dan tindakan baginda ketika melihat umatnya bersikap dan beertindak demikian??

Tetapi sebenarnya baginda tidak perlu berada bersama kita lagi. Baginda telah meninggalkan segala mutiara hikmah, nasihat dan tunjuk ajarnya yang banyak, yang sering kita baca, kita pelajari, kita hafal, kita keluarkan untuk pengetahuan orang lain, kita ajar di sekolah, kolej dan universiti, kita ceramahkan, syarahkan, menjadi permainan bibir di majlis2, kulliah, ceramah dan forum perdana !

Semuanya kita tahu dan kita beritahu kepada orang lain, kita mengetahui sabda baginda bahawa baginda meninggalkan dua perkara kepada kita, yang sekiranya kita berpegang teguh dengannya, kita tidak akan sesat lagi sesudah baginda tidak ada bersama kita, iaitu al-Quran dan Hadith..Namun apakah yang kita fahami tentang sistem hidup menyeluruh berdasarkan al-Quran dan Sunnah, apakah mekanisme dan pendekatan kita yang konkrit dalam menghayati dasar hidup dunia akhirat seperti yang diwahyukan Allah dan ditunjukkan oleh baginda Rasullauh SAW, selain dari hanya beribadat fardu ain sahaja seperti sekarang ini.

Tetapi itulah, kadang2 orang yang menghafal dan mengetahui makna al-Quran dan Hadith, yang mengajar dan menghamburkannya kepada orang lain, maka orang itu sendiri yang ada kalanya lupa dan bengung, apabila keadaan menjadikannya lupa dan lalai oleh permainan dunia di sekelilingnya, orang yang mengetahui teentang peraturan dan nilai2 akhlak Islam ini, iaitu umat Islam keseluruhannya, yang sepatutnya menjadi umat yang ideal, maka merekalah yang merosakkan segala2nya yang mereka tahu itu.

Program yang saya sebutkan di atas, mungkin merupakan satu pendekatan baru yang bertujuan untuk mengajar dan mengingatkan kita tentang contoh teladan baik baginda, dan kesuciaan masyarakat manusia ketika baginda maih hidup, dibandingkan dengan kehidupan manusia sekarang yang porak puranda dan kacau bilau dengan kehidupan moden, global dan berteknologi tinggi ini, yang sekali gus melahirkan manusia kebendaan, tamak haloba, gila kuasa, maksiat, hilang prinsip, tidak kira dosa pahalanya, individualistik, berkepentingan diri sendiri sahaja, dan berbagai2 kemelut yang melanda mereka, terutamanya akhir2 ini, apabila masyarakat umum, dan dunia sepenuhnya, menjadi arena pertikaian dan gelanggang silat di antara orang2 yang bermain politik kotor, sentimen perkauman melampau, dan persaingan propaganda agama yang tidak sihat.

Tanpa program tv yang tersebut pun, kita telah dapat menjawab : Ah, seandainya baginda masih berada bersama kita, tentulah baginda akan murka dan mengutuk perbuatan kita itu. Malah bukan hanya baginda, tetapi kalau datuk nenek moyang kita sendiri pun bangun dari kubur mereka dan menyaksikan perbuatan salah laku kita sekarang, yang kita rasakan betul dan benar, tentulah mereka juga akan mengucap panjang, dan akan segera kembali ke dalam kuburnya, kerana tidak tahan dan tertanggung lagi melihat kekecohan dan kemusnahan akhlak dan peribadi manusia sekarang, kemusnahan dan kehancuran nilai akhlak mulia yang telah begitu rosak oleh perbuatan manusia sekarang..

Namun begitu, eloklah juga kalau kita sering beertanya ketika kita melakukan sesuatu, atau akan melakukannya, bagaimanakah agaknya sikap baginda Rasullullah tentang perkara ini seandainya baginda masih berada bersama kita dan menyaksikan segala sesuatu yang kita lakukan ini...






Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....