15 syawal 1434


BERAYA SAKAN

Bagi orang utara khasnya, ungkapan "beraya sakan" tidak dirasakan pelik apa-apa. "Sakan" dalam pengertian orang utara ialah : sungguh, bersungguh-sungguh. Raya sakan maknanya raya sungguh-sungguh, yang boleh digambarkan oleh orang yang mendengarnya bahawa orang ini beraya sana sini, pergi semua rumah orang, makan macam-macam, sampai tak ada masa lapang, dan kadang-kadang sampai tak balik rumah.

Saya beraya sakan, kerana beraya dengan anggota keluarga dua belah pihak di Kelantan dan di Kedah, juga di Petaling Jaya.  Masa di Kelantan, di samping hari raya, ada pula kenduri kawin, demikian juga di Kedah, ada cucu saudara berkahwin, jumpa semua anggota keluarga, terutamanya yang lama tak jumpa, yang telah gugur gigi, nampak tua, yang sakit, nyanyok dan macam-macam lagi.

Sampai hari ini, dah hari raya ke-15 baru boleh ambil masa tulis di sini, kalau tidak asyik sana sini, makan, bersembang, singgah rumah orang, dan kerana terlalu penat maka kena tidur siang juga, malam ada lagi program raya, yang rasmi pula, siang malam, atau tak kira hari minggu atau hujung minggu, kerana sekarang ini Rumah Terbuka tiap-tiap hari di adakan.

Inilah raya sakan. Oleh itu saya fikir-fikir bulan Ramadhan memang banyak masa lapang, tak ada masa rehat makan tengah hari atau minum pukul 10 dan pukul 4 petang. Tak ada jemputan, tak banyak meeting, dan yang pentingnya tak ada majlis kawin.

Yang ada hanya buka puasa di surau, sembahyang terawih, makan moreh, kemudian balik rumah. Pagi bangun sahur terus hingga subuh, pergi surau lagi untuk subuh, balik rumah, pergi kerja, banyak masa nak baca Quran ke , surat kabar ke, tulis makalah ke, blog ke, banyak masa sangat.

Kalau direnung-renung, memanag puasa mengajar kita mengurus masa dengan baik, lagi pula tak kalut-kalut dengan orang lain, program lain, yang kadang-kadang menghabiskan masa saja.

Sebab itulah dah dua tahun, iaitu dua kali bulan puasa yang saya lalui, telah saya isikan sepenuhnya tiap-tiap hari dengan entri blog ini. Saya boleh buat kerana kadang-kadang bangun tengah malam dan tulis, atau pada waktu siang buat dua tiga entri, tiba masanya baru siarkan, tambahan pula memang dah pasang niat nak tulis tiap-tiap hari.

Lepas Raya baru hari ini boleh tulis, santai-santai macam ini. Ada juga pasang niat nak tulis tiap hari, tetapi niat saja, rupa-rupanya pagi petang ada saja program raya, tambahan pula bila rumah terbuka di tempat kawan lama, atau tempat kerja sendiri, dan kediaman rasmi orang-orang berkedudukan penting. Hambatan ini lebih kepada hubungan PR pula, iaitu perhubungan awam dengan orang lain, lebih kepada menjalinkan silatur-rahim dan mengambil hati serta menjaga perasaan orang-orang terdekat. Yang ini pun memang di suruh agama juga, iaitu menyambung tali persaudaraan, perhubungan baik dengan orang lain, tambahan pula keluarga dan sahabat karib kita.

Selamat Berhari Raya sekali lagi. Jangan raya sakan sampai lama-lama sangat, kalau sebulan, biarlah sebulan Syawal ni saja...Wassalam

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....