KHUTBAH JUMAAT
DOA UNTUK SIAPA
Khutbah Jumaat hari ini diakhiri dengan doa seperti biasa iaitu diantara lainnya memohon agar Allah SWT menghancurkan musuh-musuh kita orang Islam yang merupakan musuh-musuh Allah juga.
Contoh musuh-musuh tersebut ialah orang Yahudi di Palestin yang telah merampas negara orang Arab dengan zalim, menyakiti dan membunuh mereka dengan sewenang-wenangnya setiap masa. Demikian juga musuh orang Islam di Mymar yang juga bertindak zalim terhadap orang Islam di sana. Musuh ini adalah jelas sebagai musuh orang Islam, iaitu yang bertindak menyerang masyarakat Islam tanpa sebab yang selayaknya.
Tetapi apabila Khatib berdoa supaya Allah menyelamatkan orang Islam di Mesir dan Iraq, dan memusnahkan musuhnya, maka hal ini mungkin menimbulkan sedikit tanda tanya, siapakah yang memusuhi siapa, dan siapakah musuh orang Islam di sana, kerana dari peristiwa yang berlaku setiap hari ternyata bahawa orang Islam di dua buah negara tersebut adalah bermusuhan sama sendiri, berbunuhan sama sendiri.
Di Iraq umpamanya, permusuhan adalah diantara puak Syiah dan Sunni. Hari ini orang Syiah bertindak mengebom orang Sunni, maka esoknya orang Sunni pula yang akan bertindak meletak bom kereta dan meletupkannya dengan membunuh ramai orang Syiah. Mereka adalah orang Islam, cuma berbeza dari segi mazhab sahaja.
Di Mesir pun yang berbunuhan dan bertindak membunuh lawannya adalah terdiri dari orang Islam juga. Tentera bertindak membunuh orang awam, dan orang awam juga membalas dengan membunuh tentera, yang kedua-duanya adalah sesama Islam.
Di Syria pun serupa juga, berbalas tembakan, berbunuhan sesama Islam, iaitu apabila satu puak berjaya membunuh satu puak yang lain, maka mereka akan bertakbir "Allahu-akbar" dan demikian juga apabila puak lawan itu berjaya meletupkan bom yang membunuh lawannya, maka mereka juga akan berteriak "Allahu-akbar" seolah-olah kedua-duanya berada di pihak yang benar.
Jadi sekiranya kedua-dua pihak yang bermusuhan itu adalah terdiri dari orang Islam, maka kita berdoa untuk Allah memusnahkan musuh Islam itu, siapakah yang kita maksudkan? Kalau mereka yang menyerang orang Islam itu ialah Yahudi, atau Budha dan Kristian, dan mereka bertindak menyerang orang Islam, sedangkan orang Islam tidak bertindak menyerang mereka, malah orang Islam di zalimi, maka jelaslah bahawa orang kafir itu adalah musuh Islam dan musuh Allah, dan mereka inilah yang kita mohon Allah hancurkan mereka,
Mungkin orang mengambil contoh bahawa tentera Mesir adalah merupakan musuh Allah, kerana mereka telah bertindak menyerang orang Islam yang mengadakan dermonstrasi secara aman dan sedang berusaha menegakkan hukum Allah. Namun tahukah kita bahawa orang yang berdemonstrasi itu juga mungkin telah bertindak menyerang tentera, dan mempunyai niat untuk menentang pihak yang bertindak memelihara keselamatan negara dari kemusnahan dan kehancuran?
Oleh itu saya merasa samar-samar dalam banyak hal tentang doa ini, iaitu doa dalam khutbah Jumaat yang memohon Allah menghancurkan musuh-musuh Islam di Mesir, Iraq dan Syria, sedangkan takrifan ""musuh Islam" itu sendiri tidak jelas takrifannya.
Dalam Islam, peperangan dibenarkan sekiranya dalam keadaan mempertahankan diri, agama, maruah, harta benda dan keturunan, serta negara kita. Kita tidak boleh bertindak menyerang orang lain dan membunuhnya, kemudian mendakwa bahawa kita boleh membunuh orang itu sedangkan kita telah bertindak menyerangnya.
Oleh itu untuk tidak mengelirukan sesama kita, maka doa untuk kehancuran musuh Islam itu hendaklah ditujukan secara khusus kepada musuh-musuh Islam yang sebenarnya, bukan kepada masyarakat Islam secara umum yang tidak kita fahami dengan jelasnya siapakah mereka yang memusuhi Allah itu.
Wallahua'lam.
Comments
Post a Comment