3 SYAWAL 1434


RAYA KE-3

Saya pertama kali memakan daging rusa pada hari raya ini di Pasir Mas iaitu ketika beraya di bandar ini. Orang Kelantan berpusu-pusu balik kampung, ke Kelantan ini semenjak sebelum raya pertama lagi. Sebab itu Kelantan mengalami kesesakan jalan raya yang amat sangat sehingga ke hari ini, terutamanya di sekitar bandar Kota Baharu, Orang Kelantan biasanya tinggal di negeri lain, termasuk paling ramai mungkin di ibu kota. Keadaan jalan raya yang nampaknya masih kecil dan tidak sangat terurus menjadikan keadaan lalu lintas sebagai medan mimpi siang hari bagi pemandu kereta ketika cuti raya ini. 

Bagaimana pun anak-anak Kelantan nampaknya amat bergembira dan berbangga dengan kampung halaman mereka ketika pulang bercuti sempena hari mulia ini, dan keadaan ini dimeriahkan lagi oleh kemewahan yang mereka bawa pulang ke kampung masing-masing.

Jadi pada hari raya ke-2 inilah pada malamnya saya memakan daging rusa yang di panggang di halaman rumah dan dipotong kecil-kecil untuk di makan dengan cecah air cili buatan Kelantan sendiri yang enak rasanya.

Hal ini mengingatkan saya kepada masyarakat orang Arab mengikut pengalaman saya ketika berada di Riyadh dulu, iaitu bagaimana masyarakat Arab amat mementingkan daging yang dipanggang ketika mengadakan jamuan istimewa, iaitu memanggang kambing biri-biri dan unta muda, yang kadang-kadang berlebihan dari keperluan bilangan tetamu jemputan mereka, seolah-olah seekor unta hendak dimakannya seorang sahaja, sebab itu mereka perlukan banyak ekor unta untuk dipanggang dan di makan sehingga ke dinihari.

Tetapi orang Kelantan tidaklah sehingga bertindak mubazir begitu, dan daging rusa panggang yang saya makan hanya menjadi sebahagian saja dari jamuan biasa mengikut tradisi orang Melayu yang sering menghidangkan bermacam-macam hidangan makanan tradisi.

Saya di Kota Baharu beberapa hari sahaja, kerana pada hari raya ke-4 akan bertolak balik ke KL dengan pesawat Firefly, yang nampaknya mempunyai kebebasan meletakkan berapa saja tambangnya, terutamanya apabila penumpang membuat tempahan pada saat-saat akhir sebelum terbang pada hari perayaan dan hari cuti ini. Kita terpaksa menaiki pesawat untuk mengelakkan kesesakan jalan raya balik ke Kelantan pada hari-hari perayaan ini, oleh itu mahal setinggi mana sekali pun tambang pesawat, kita haruslah akur.

Saya bercadang juga, kalau dapat, sebelum bertolak balik ke KL akan mengunjungi rumah ibu bapa yang saya beritakan sebelum ini, iaitu keluarga malang yang tinggi di kampung dekat Pasir Mas ini, yang menghadapi musibat, ketika dua orang anak gadisnya menemui ajal dalam kemalangan  jalan raya di Grik dua hari sebelum Hari Raya.

Insya'Allah akan saya kongsikan pengalaman itu sekiranya diperkenankan Allah bagi saya agar  berpeluang bagi  menemui keluarga tersebut esok.


 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....