6 SYAWAL 1434


RAYA KE-6
Kegelisan berlaku dengan kadar yang membimbangkan di dalam masyarakat kita sebulan dua ini. Peristiwa tembak menembak yang mencederakan dan meragut nyawa orang tidak sangat berleluasa di dalam masyarakat kita selama ini. Sekarang nampaknya undang-undang kawalan senjata api nampaknya tidak begitu berkesan, sehingga berlaku jenayah berat ini, iaitu penggunaan senjata api, yang selama ini amat terkawal dan ketat sekali.
Semoga semua pihak di dalam negara kita akan mengenal pasti punca masalah ini, dan akan berusaha menyelesaikan masalah ini, dari segi undang-undang, kawalan sempadan, imegrisen, polis, tentera dan orang ramai sendiri. 

Orang politik yang terdapat diantaranya yang sering mengambil kesempatan dari kelemahan dan kerisis di dalam masyarakat kita untuk kepentingan diri dan kumpulannya, harap janganlah menggunakan isu keselamatan ini untuk saling salah menyalahkan sesama sendiri. Janganlah hal ini duginakan untuk menuding jari, menyalahkan lawan masing-masing, kerana yang penting ketika ini ialah mencari jalan penyelesaian, malah tuduh menuduh dan saling menuding jari, tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini, bahkan mungkin menambahkan lagi kekusutannya.
Satu perkara lain yang nampaknya menggusarkan kita pada masa kini, ialah tindakan yang berunsurkan provokasi agama, terutamanya terhadap agama Islam, yang nampaknya semakin di ada-adakan tanpa diketahui motif sebenarnya, kecuali diandaikan sebagai sendaan dan penghinaan terhadap agama negara, dan agama majoriti warga negara, khususnya Melayu, di tanah air kita.
Berita yang mengejutkan ialah bagaimana sebuah surau telah diduduki dan dipergunakan oleh pengikut agama bukan Islam untuk melakukan ritual dan amalan agama mereka di salah sebuah pusat peranginan di negara kita. Yang menghairankan ialah kenapakah hal ini baru dapat dikesan setelah pihak media mendedahkannya, dan hal ini tentulah menimbulkan persoalan yang amat sukar diberikan jawapannya.
Beberapa peristiwa yang mengakibatkan ganguan mental, perasaan, emosi dan sentimen warga negara kita, yang selama ini aman damai, rukun dan harmoni, amatlah mengejutkan, dan kelihatan amat luar biasa dan terlalu jauh menyimpang dari tradisi dan budaya kerukunan dan keamanan negara kita selama ini.
Kejadian jenayah tembak menembak menggunakan senjata api amatlah membimbangkan kita, terutamanya sasaran tembakan amat tidak menentu, seolah-olah sesiapa saja boleh dan berkemungkinan menjadi sasaran pembunuhan dengan senjata api itu.
Motif tembakan ini juga amat sukar dikesani. Balas dendam, persaingan dalam perniagaan, cemburu dalam percintaan, rompakan dan mengikut nafsu marah? Semuanya tidak jelas.
Apakah apabila terdapat tembakan yang menggunakan senjata api, maka akan terdapat orang lain yang merupakan copy cat, atau pak turut, akan menurut jejak langkah pembunuh tadi? Iaitu secara ikutan yang menyeronokkan apa bila orang lain juga dapat meniru tingkah laku tersebut, iaitu kerana orang lain boleh menembak mati mangsanya, maka kenapakah orang kedua, ketiga dan seterusnya  tidak boleh juga menggunakan perbuatan yang sama?

Satu ketika dulu, heboh terdengar ramai mangsa lelaki perempuan, tua dan muda, yang menjadi mangsa sembahan asid, cederakan muka, hidung, telinga, mata, kepala dan anggota-anggota lain yang disembah dengan asid. Maka ramailah pak turut yang melakukannya.

Memang agak sukar untuk diketahui motif perbuatan jenayah ini, dan amat sukar dikesan pelakunya itu, siapa dan kenapa dia melakukan demikian. Harap-harap perbuatan ini akan segera berkurangan dan seterusnya akan dapat lenyap  dari bumi kita ini, iaitu dengan usaha pihak keselamatan, orang awam dan seluruh masyarakat. 

Tentang perbuatan menghina agama orang lain juga, mungkin merupakan perbuatan pak turut juga, yang selama ini barang kali hanya tersimpan di dalam hati, dan kini masanya telah tiba dalam kesempatan pergolakan segelintar masayarakat yang dipengaruhi oleh sentimen perkauman dan keagamaan, lalu meledaklah hamburan penghinaan ini, lahir di tengah-tengah masyarakat yang amat terkejut dengan perbuatan yang amat tidak beretika ini.

Saya rasa tanpa rayuan dari pihak otoriti negara kita pun, seperti yang berlaku ketika tersiarnya berita tentang penggunaan surau oleh penganut agama lain itu, orang Islam di Malaysia masih dapat menahan perasaan dan sentimen yang melampau, masih dapat bersabar dan menganggap perbuatan ini sebagai perbuatan nakal yang tidak perlu sangat di layan dan diberikan perhatian serius.

Di negara lain, seperti yang berlaku di Sri Lanka dan Nigeria, api permusuhan keagamaan ini telah membakar sentimen dan emosi penganut agama yang berlainan, sehingga berlaku pertempuran dan pembunuhan berdasarkan perbezaan agama, memakan korban, dan yang amat merbahayanya mencetuskan taksub keagamaan yang melampau, yang hanya menanti saat untuk marak dengan amat besar dan bahaya lagi.

Gereja, kuil dan masjid sering menjadi sasaran ledakan bom mereka, membunuh orang-orang yang sedang beribadat di dalamnya dan meruntuhkan bangunan itu sekali. Di Seri Lanka baru-baru ini, saya dengar berita yang mengatakan bahawa penentang agama Islam bertindak menyerang masjid dan orang yang sedang beribadat di dalamnya kerana mereka (orang Islam) telah pindah menggunakan masjid baru, sedangkan bangunan masjid lama belum di runtuhkan!

Saya harap rakyat Malaysia, yang terdiri dari kepelbagaian kaum, akan mempelajari dari pengalaman negara-negara lain yang sering menjadikan agama sebagai isu perselisihan, pertempuran dan peperangan sesama sendiri yang amat serius.
Peperangan kerana agama merupakan satu cetusan kerisis dan kemusnahan harta benda dan nyawa yang amat berat, malah amat sukar didamaikan, kerana masing-masing akan menganggapnya sebagai holy war dan jihad untuk mempertahankan sistem kepercayaan masing-masing.
Janganlah hendaknya rakyat Malaysia menjadi umat yang bebal dan taksub melampau, sehingga melupakan tradisi hidup bersama secara aman damai seperti yang diwarisi selama ini.
 Sentimen perkauman dan keagamaan boleh memusnahakan negara dan meruntuhkan kekuatan ekonomi negara, selain dari menjerumuskan warga negara seluruhnya ke dalam lembah kehinaan dan kemunduran, menghacurkan peradaban dan tamadun yang di pupuk selama ini.
Harap renungan ini amat berguna ketika kita masih lagi berada dalam suasana bahagia,  mensyukuri akan kemenangan kita dalam melawan nafsu dan bisikan syaitan yang ingin menjerumuskan anak adam  ke dalam kancah permusuhan dan kemusnahan, iaitu ketika kita merayakan hari raya yang ke-6 ini.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....