PUASA HARI KE-26:APAKAH YANG RAMADHAN MENGAJAR AKU?
26 RAMADHAN 1434
Satu perkara yang menjadikan orang merasa tidak selesa untuk melakukan sesuatu, ialah kerana ketika dia diberikan satu tanggung jawab, maka dia sering bertanya "kenapakah aku harus melakukannya?"
Apabila dia mengemukakan soalan itu kepada dirinya, maka berbagai-bagai jawapan yang sering kali tidak dapat dijawabnya akan timbul.
Orang yang beragama Islam dalam bulan Ramadhan ini umpamanya mungkin akan bertanya "kenapakah aku mesti berpuasa di dalam bulan Ramadhan ini?"
Soalan ini mempunyai jawapan yang banyak, bergantung kepada ilmu dan pelajaran, atau pengalaman seseorang itu. Bagi orang yang tidak mahu berfikir dengan mendalam untuk mencari jawapan bagi persoalan ini, maka dia hanya akan menjawab dengan mengatakan "kerana Allah SWT memerintahkan orang Islam supaya berpuasa, maka aku ini seorang Islam yang telah mencukupi syarat-syarat wajib berpuasa, maka aku mestilah berpuasa".
Jawapaan ini amat baik bagi orang yang telah kuat imannya, iaitu yang mengakui dirinya seorang yang mesti melakukan sebarang perintah Allah yang dipelajarinya tanpa bertanyakan lagi apakah logik atau sebab musabab dia seharusnya menunaikan ibadat kepada Allah dalam bentuk ritual, sembahyang, puasa dan sebagainya.
Tetapi bagi orang yang bukan Islam, atau yang baru hendak memeluk Islam, atau yang sedia memeluk Islam, namun imannya masih belum kuat dan mantap, maka persoalan ini tidak mudah hanya diberikan jawapannya begitu. Dia mungkin memerlukan jawapan yang lebih berbentuk praktikal dan empirical yang berpijak di alam nyata, iaitu kenapakah dia seharusnya beribadat?
Di sinilah terletaknya kepentingan penguasaan teknik dan ilmu bagi kita yang ingin menegembangkan ajaran agama kita dalam zaman sains dan teknologi, dan zaman ICT yang serba canggih pada masa kini.
Jawapan dengan hanya mengatakan "kerana Allah memerintahkan kita berbuat demikian, maka kita wajib melakukannya" amat mudah diterima tanpa sebarang soal jawab lagi oleh manusia pada kurun yang lepas, tetapi amat sukar diterima oleh manusia abad ke-21 dan alaf baru ini.
Anak-anak Muslim zaman ini, sering diajar untuk menerima sesuatu ajaran Islam tanpa perlu dikemukakan logik atau hikmahnya, tanpa diberikan sebarang sebab material yang berpijak nyata di alam ini tentang banyak persoalan yang timbul di dalam minda dan jiwanya tentang tanggung jawab dan kewajipan yang seharusnya dipenuhi sebagai seorang Muslim.
Anak-anak yang berumur 3 hingga 5 tahun umpamanya, banyak sekali disumbatkan di dalam benaknya tentang syurga dan neraka, sedangkan mereka sendiri tidak dapat menggambarkan secara nyata apakah syurga atau neraka itu. Mereka dipaksa untuk mengucap dan menyampaikannya kepada teman-teman sebayanya yang lain.
Sebab itulah apabila seorang anak perempuan yang baru berumur 5 tahun umpamanya, apabila di tanya kenapakah kamu seharusnya menutup aurat, maka dia menjawab "Ustazah kata orang yang tidak menutup aurat, akan masuk neraka".
Alasan yang diberikan ialah tentang sesutu yang ghaib, yang jauh dari perspektif nyata di dunia ini, iaitu tentang syurga dan neraka, yang amat jauh dari gambaran logik kanak-kanak sekecil itu.
Oleh itu dalam kaedah mengajar agama di sekolah rendah atau menengah, atau mengembangkan ajaran agama kepada masyarakat umum, yang belum memahami falsafah dunia dan akhirat, syurga dan neraka, hendaklah di olah sebegitu rupa dengan perspektif yang lebih dekat dengan world view atau tasawwur serta pandangan nyata mereka yang lebih lojik dan praktikal.
Dalam konteks puasa bulan Ramadhan ini umpamanya, saya mungkin dapat memberikan contoh yang mudah bagi perosalan yang disebutkan di atas, namun jawapannya lebih mudah pula diberikan dan agak praktikal bagi orang-orang yang sukar untuk memahami falsafah dan matlamat ibadat secara ghaib, apa lagi yang hanya memberikan alasan dari ayat Al-Quran dan Hadith, yang dalam keadaan ini bolehlah dikemukakan kemudian secara beransur-ansur ketika minda dan pemikiran orang telah bersedia untuk menerimanya.
Soalan yang saya cadangkan, daripada bertanyakan "Kenapakah seorang itu wajib berpuasa Ramadhan?" maka soalan itu bolehlah diolah semula "Apakah pengajaran yang aku dapat dari berpuasa Ramadhan? atau, apakah pengajaran yang cuba diterapkan ke dalam diriku oleh puasa Ramadhan? atau, yang lebih langsung lagi, apakah faedah berpuasa Ramadhan kepada diri aku?"
Banyak fakta lojik dan nyata yang dapat diberikan terhadap persoalan ini, dan orang yang bertanya akan mulai memahami sesuatu yang selama ini mungkin tidak diketahuinya, atau yang diketahuinya secara samar-samar sahaja, umpamanya kelebihan puasa terhadap kesihatan dan fizikal manusia, pengajaran set nilai hidup yang dimulai dengan nilai yang ringan, kemudian beransur-ansur kepada nilai-nilai yang lebeh mendalam, dan seterusnya lagi.
Fakta akal dan pemikiran serta psikologi, haruslah didahulukan untuk memberikan keyakinan kepada seorang manusia tentang tugas dan kewajipannya kepada Allah, kemudian barulah beransur-ansur memberikannya fakta alam ghaib dan akhirat, syurga neraka, dosa pahala dan sebagainya.
Alangkah baiknya kalau hal ini dapat dikaji secara mendalam dan bersungguh-sungguh ketika kita sering tertanya-tanya kenapakah pelajaran agama yang kita ajarkan di sekolah selama ini tidak memberikan kesan yang baik ke arah membentuk tingkah laku dan akhlak anak-anak muda kita sekarang ini. Mungkin kesilapan dari segi kaedah mengajar merupakan salah satu sebabnya yang besar.
Jadikanlah hal ini sebagai bahan renungan ketika kita memasuki hari ke-26 berpuasa pada hari ini.
Jadikanlah hal ini sebagai bahan renungan ketika kita memasuki hari ke-26 berpuasa pada hari ini.
Comments
Post a Comment