PUASA HARI KE-24: AJAL DI JALAN RAYA...

24 RAMADHAN 1434


Dua hari yang lalu saya berjanji hendak berbicara tentang kematian orang Malaysia di atas jalan raya. Kebetulan pada hari Khamis 1 Ogos, berita akhbar melaporkan beberapa kemalangan jalan raya yang berlaku pada hari sebelumnya, yang melibatkan kematian.

Jadi bolehlah kita bandingkan sekarang ini, bahawa kalau di Mesir, Syria, Iraq dan beberapa buah negara di rantau sebelah sana, orang mati di dalam perhimpunan tunjuk perasaan, ditembak askar atau oang awam yang mempunyai senjata, maka di Malaysia orang mati kerana kemalangan jalan raya.

Dalam kejadian pertama yang berlaku pada jam 2.30 pagi hari sebelumnya di Senai, lima oang anak muda meninggal, apabila kereta mereka  mengalami kemalangan. Dari 6 orang yang menumpang kereta yang malang itu, hanya seorang sahaja yang selamat, dan 5 orang lagi meninggal.

Malah semasa menghadiri majlis berbuka puasa di Seri Perdana manghrib semalam (Khamis), para tetamu dikejutkan dengan permintaan Pengerusi majlis sebelum berbuka puasa agar membaca Al-Fatehah untuk ruh empat orang pegawai JAKIM di Sarawak yang telah meninggal pada siangnya disebabkan oleh kemalangan jalan raya di sana, iaitu yang berlaku ketika mereka sedang dalam perjalanan ke satu majlis Ramadhan sebelum berbuka puasa.

Selain dari itu terlalu banyak kemalangan jalan raya berlaku di negara kita, dan telah banyak nyawa yang melayang akibat dari kemalangan itu, termasuk pemain hoki negara Boon Huat. 

Setiap kali berlaku kemalangan jalan raya, maka kebanyakan mangsanya adalah juga melibatkan orang muda, dan menyebabkan kerugian kepada negara, kesedihan kepada keluarga, dan kehilangan tenaga manusia yang agak sukar untuk dicari ganti. 

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang peratusan kemalangan jalan rayanya agak tinggi. Peraturan jalan raya  memanglah wujud, sistem pemanduan dengan kadar had lajunya juga agak lengkap, dan jalan raya nya memang selesa, dengan lebuh raya di sana sini, menghubungkan negeri dengan negeri, kota ke kota. Semuanya merupakan prasarana yang disediakan dengan baik untuk keselesaan memandu.

Yang tinggalnya lagi mungkin manusia sendiri yang menggunakan kenderaan di atas jalan raya. Kenderaan sekarang ini berkuasa tinggi, dan ketika berada di jalan raya, kenderaan itu, termasuk bas dan lori, treler, lori balak dan tangki mengangkut minyak, dapat dipecut dengan laju.

Apabila pemandu berada di hadapan steering maka dia mungkin akan memandu mengikut kehendak hatinya, yang bererti kalau kereta itu boleh berjalan dengan laju, maka dia akan menekan minyaknya, laju sebagai kilat, dan memotong semua kenderaan lain, malah jika ada tanda had laju, dia tidak memperdulikannya lagi, kalau ada cadangan untuk memasang kamera perangkap laju, maka dia diantara orang yang akan membantahnya dengan berbagai-bagai alasan, lalu dia kelihatan seperti orang bebas yang tidak seharusnya tunduk kepada sebarang peraturan dan undang-undang.

Dalam keadaan ini, memandu laju, saya rasa sebagai satu faktor kemalangan jalan raya yang amat tinggi di negara kita. Tidak mengikut undang-undang lalu lintas merupakan satu lagi faktor yang menyebabkan kemalangan.

Keadaan jiwa dan mental para pemandu ketika teruja dan merasa seronok ketika menghadapi hari kebesaran dan perayaan, seperti Hari Raya ini juga merupakan salah satu lagi faktor yang menyebabkan kemalangan, iaitu ketika pemandu dipengaruhi oleh peerasaan luar biasa, riang dan excited, teruja dan mencuba untuk sampai ke destinasi dengan seberapa cepat untuk bertemu dengan orang yang disayangi, merupakan satu keadaan minda untuk dia melupakan akibat pemduan yang laju, dan bahaya yang menantinya.

Oleh itu alangkah baiknya, kalau kita sentiasa beringat-ingat dan berjaga-jaga ketika memandu, mengingati bahaya dan kemalangan yang mungkin berlaku kepada sesiapa sahaja, hal ini merupakan ikhtiar manusia untuk menjadi selamat, bukan melupakan diri, melupakan takdir, melupakan Allah, dan kadang-kadang melupakan etika dan akhlak memandu kenderaan.

Semoga Hari Raya ini akan menyedarkan kita semua tentang kepentingan beradab, berakhlak, beretika, hormat menghormat sesama insan, dan yang paling pentingnya bukan hanya berdoa, tetapi haruslah menghayati doa dan munajat kita kepada Allah SWT dengan menterjemahkannya ke dalam cara memandu yang berhemah dan berhikmah.

Semoga Allah SWT mencucurkan rahmat-Nya ke atas ruh mereka yang telah pergi kerana kemalangan jalan raya selama ini..Inna lillah wa inna ilaihi raji'un..


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....