24 OGOS 2013 = 17 SYAWAL 1434



KEPEMIMPINAN BERWIBAWA:


Pagi ini kumpulan jemaah surau kami berbincang tentang kepemimpinan yang telah diberikan amanah oleh Allah SWT bagi menyampaikan ajaran agama Tauhid, iaitu para Nabi dan Rasul utusan Allah SWT untuk menjadi pemimpin bagi sesuatu kaum itu..

Ketika majoriti kaum yang menjadi sasaran seruan seseorang Nabi itu menolak dan membantah akan seruan Nabi yang tertentu, maka Allah akan menghancurkan mereka, dengan menimpakan bala bencana ke atas negeri mereka, malah diri orang-orang yang ingkar itu sendiri, seperti yang berlaku ke atas kaum Nabi Nuh, Luth, Hud dan lain-lain.


Memanglah ketika manusia itu masih berada dalam era kegelapan minda dan akal, pengaruh tradisi dan persekitaran yang kuno, maka umat itu akan dihancurkan Allah sekiranya mereka tetap berdegil dan bertindak menyakiti atau membunuh para Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan misi tauhid itu.

Tetapi bagi manusia sekarang, yang telah menerima Islam secara ilmu dan hikmah, yang diberikan Allah pemikiran dan kemampuan berfikir yang tinggi, maka ketika mereka melakukan sesuatu kemungkaran, mereka tidak semestinya mendapat balasan kehancuran dan kemusnahan secara langsung "on the spot" seperti yang dialami oleh umat manusia kuno itu.

Umat manusia kini telah menerima misi agama tauhid secara yang amat konprehensif dan menyeluruh, berkat kemampuan minda dan pemikiran mereka yang telah meningkat maju sekali, dan mereka mempunyai panduan yang jelas dari ajaran agama Tauhid, agama yang terakhir itu, yang amat mencukupi untuk mereka menguruskan segala urusan mereka dan menyelesaikan masalah dan kerisis mereka. 

Kalau bumi Syam, seperti Iraq, Syria, Palestin, Yemen dan daerah-daerah sekitarnya telah dimusnahkan Allah di masa lampau, maka bumi para anbiya' dan Rasul itu, dibiarkan bermandi darah dan bergelimpangan mayat pada masa kini, yang sepatutnya disedari dan diuruskan oleh umat itu sendiri.

Sungguh pun peristiwa pembunuhan. pertumpahan darah dan segala tragedi sedih yang berlaku di bumi para Nabi dan Rasul itu sekarang ini bukan dalam proses menentang seorang utusan Allah, tetapi sebenarnya mereka sekarang sedang bertindak menentang ajaran Allah dan Rasul terakhir-Nya sendiri, dengan melakukan perbuatan zalim yang bertentangan dengan ruh ajaran Islam itu sendiri.

Umat Islam di negara-negara para Nabi dan Rasul itu sekarang ini sepatutnya dapat menyelesaikan masalah dan kerisis mereka sendiri, tanpa memerlukan seorang Nabi atau Rasul, kerana mereka mempunyai para warisan Nabi dan Rasul, dan pimpinan yang seharusnya menghayati segala sifat dan keperibadian para Nabi itu sendiri.

Namun begitu mereka nampaknya semakin menambahkan kerisis dan masalah yang jelas sekali amat bertentangan dengan ajaran agama Islam yang sering dilebalkan sebagai ajaran yang syumul dan lengkap, iaitu sebagai satu cara hidup atau "way of life" yang menyeluruh.

Oleh itu, kita dapat merasakan bahawa "there must be something wrong" dengan umat Islam di sana pada masa kini. Mesti terdapat sesuatu yang tidak kena dengan umat Islam itu sekarang ini, yang bagi kebanyakanan orang amat sukar untuk difahami.

Pembunuhan yang berlaku di Mesir kerana kemelut politik yang tidak menentu, pertumpahan darah yang berlaku kerana perbezaan aliran agama di antara sunni dan syiah di Iraq dan Syria, semuanya ini menunjukkan sikap bebal dan berputus asa dalam ideologi politik dan penghayatan agama yang sebenarnya.

Ketika berlaku kerisis dan konflik, semua pihak yang terlibat mempunyai kelemahan dan kekhilafannya, dan semua pihak yang terlibat tidak seharusnya menuding jari kepada pihak lawannya sahaja sebagai pihak yang bersalah tanpa bermuhasabah tentang dirinya sendiri.

Mungkin ramai para ulamak dan ahli agama yang dapat memberikan pandaangan mengenai kerisis yang merosakkan nama baik agama dan umat Islam itu, malah sepanjang ingatan saya terdapat hadith yang mengatakan bahawa orang yang membunuh dan yang dibunuh ketika mereka berlewanan, maka kedua-duanya akan masuk neraka. Dan ketika ditanya mengapakah orang yang dibunuh itu juga masuk neraka, jawabnya kerana dia juga sedang berusaha untuk membunuh rakannya itu.

Di sinilah terletaknya kebijaksanaan pimpinan dan Kerajaan sesebuah negara itu, apa lagi bagi negara Islam, tentulah banyak agenda keutamaan yang seharusnya di berikan perhatian, khususnya ketika berlaku kerisis yang mempunyai potensi akan membawa bahaya pertumpahan darah dan pembunuhan, yang dikutuk oleh agama.

Sayangnya bumi para anbiya' dan rasul itu kini bermandikan darah. Malah sayang sekali segala bijak pandai dan kebijaksanaan rakyatnya turut terlibat dalam keji mengeji, salah menyalaahkan, dan hasilnya mereka semua terlibat dalam kekerasan dan keganasan sebagai satu jalan penyelesaian, yang semuanya itu tidak mungkin akan tercapai...

Kita yang berada dalam negara ini, berwaspadalah, dan ambillah iktibar dan pelajaran dari peristiwa yang amat menyedihkan itu.


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....