RAYA KE-4 PERISTIWA JENAKA DAN MENYAYAT HATI
5 SYAWAL 1434 HARI RAYA KE-5
Hajat hati hendak berkunjung ke rumah keluarga dekat Pasir Mas yang kehilangan dua anak gadis tersayang semasa dalam perjalanan balik ke kampung, yang saya ceritakan dalam entri saya yang lalu, tidak kesampaian, kerana batasan masa di antara kunjungan ziarah dan majlis perkahwinan, juga kerana kesesakan lalu lintas yang masih menghantui di jalan-jalan raya Kota Baharu dan jalan-jalan sekitarnya yang merupakan mimpi ngeri bagi pemandu dan penumpang kenderaan yang terpaksa beratur panjang dalam cuaca panas diselangi dengan gelagat gila-gila segelintir para pemandu yang kacau bilau tanpa disiplin, memotong kiri kanan dengan merbahaya, dan para penunggang motosikalnya mencuri masuk dan memotong sana sini di celah-celah kereta yang banyak.
Namun di celah-celah kegembiraan berhari raya dan bertemu sanak saudara itu, ada juga rasa sedih dan terharu apabila menziarahi tanah perkuburan tempat bersemadinya ibu bapa dan keluarga yang telah pergi dulu. Tanah perkuburan itu kelihatan aman damai, dengan pohon-pohon rendang pokok puding dan pohon rimbun lainnya, menaungi tanah perkuburan dan menyejukkan udara di sekitarnya yang panas terik.
Kami masuk dan duduk di samping kubur orang tersayang, menghadiahkan bacaan Yasin dan berdoa semoga ruh orang yang telah mendahului kami menemui Allah akan mendapat rahmat dan keredaan-Nya.
Ketika menjejaki kaki ke kubur, kita selalu memberi salam kepada ahli kubur, dan memberitahu mereka bahawa "kami juga lambat launnya akan menyertai anda semua, dengan kehendak Allah SWT"
"Assalamu 'alaikum ya ahlah-qubur, wa inna bikum, insya'Allah, lahiquun"
Suasana kemudiannya menjadi meriah kembali apabila selesai menziarah ke kubur dan beralih arah menuju rumah-rumah keluarga dan rakan taulan, dengan hidangan raya di rumah keluarga dekat dan jauh yang dikunjungi, dan majlis perkahwinan yang agak banyak juga diadakan di sekitar bandar dan kampung di Kelantan ini.
Pakaian berwarna warni yang diserikan dengan hidangan yang bermacam jenis, serta gelak ketawa di celah-celah lawak jenaka orang tua dan muda yang menyerikan perjumpaan sanak saudara dan kawan rakan itu amat menghiburkan. Saya sendiri amat terhibur mendengar lawak jenaka dan perbualan rancak orang Kelantan, dengan dialek Kelantan yang amat berwarna warni juga itu.
Pakaian berwarna warni yang diserikan dengan hidangan yang bermacam jenis, serta gelak ketawa di celah-celah lawak jenaka orang tua dan muda yang menyerikan perjumpaan sanak saudara dan kawan rakan itu amat menghiburkan. Saya sendiri amat terhibur mendengar lawak jenaka dan perbualan rancak orang Kelantan, dengan dialek Kelantan yang amat berwarna warni juga itu.
Orang Kelantan banyak mengadakan majlis perkahwinan dalam masa cuti raya ini, kerana sempena raya inilah banyak sanak saudara yang tinggal dan bekerja di luar akan balik kampung kerana berhari raya. Maka dalam kesempatan inilah mereka dapat merayakan sambutan pengantin serentak dengan kunjungan hari raya ke rumah keluarga dan teman-teman. Jimat masa dan cuti. Amat strategik orang Kelantan ini, fikir saya
Saya sebenarnya amat suka hati juga di Pasir Mas apabila keluarga terdekat memberitahu bahawa sekarang ini musim durian. Kami bolehlah makan durian, iaitu pada seawal jam 7 pagi kami telah mengadap buah durian dan memakan isinya yang lazat, ketepikan dulu kueh mueh dan juadah raya. Durian lebih penting.
Cuma ada satu cerita yang menggelikan hati, bahawa terdapat insiden di kebun durian kepunyaan keluarga isteri, yang pencuri bukan hanya mencuri buah durian, malah menebang beberapa pokok durian untuk di jual kayunya. Menurut kabar itu, dia menyedari kecurian itu setelah mendapati tiga batang pohon durian yang besar itu telah ditebang dan segala batang serta rantingnya telah lesap tanpa kesan.
Saya beritahu dia, itulah kemajuan zaman canggih teknologi tinggi hari ini, iaitu orang bukan hanya mencuri atau merompak wang secara terang, tetapi pencuri dan perompak sekarang akan bertindak .melarikan mesin ATM yang penuh dengan wang, dengan menggunakan segala kepandaiannya, maka demikianlah juga dengan dusun durian, orang bukan hanya mencuri buahnya, malah menebang pokoknya untuk dijual kepada sesiapa yang mahu menggunakan batang pokok durian itu untuk membuat rumah atau istananya!
Setau saya di masjid sekitar bandar juga, termasuk di KL dan Putrajaya, terdapat orang jahat dan tidak takutkan Allah, akan bertindak nekad masuk ke masjid atau surau tempat orang beribadat itu, dan melarikan peti besi kepunyaan masjid atau surau itu. Pagi besak tok bilal datang nak azan subuh, tiba-tiba dilihatnya peti besi itu telah lesap dilarikan "hantu iblis yang tidak lagi takutkan Allah"! "MasyaAllah, apa nak jadi dengan manusia syaitan ini" sungut pak bilal dalam kegelapan subuh yang meremangkan bulu tengkuknya! Dia pun segera membuka lampu terang benderang, baru azan di kumandangkan dalam suara yang agak terketar-ketar, gerun dan ngeri dengan bayangan rupa paras syaitan yang menghantuinya, yang melarikan peti besi yang tentunya tidak terdaya manusia biasa hendak mengangkatnya!.
Amat menyedihkan sekali tingkah laku dan gelagat manusia zaman ini, di samping mendukacitakan semua orang yang rasional kerana nampaknya manusia zaman ICT ini telah melampaui batasan moral dan akhlak Islam yang sebenarnya.
Demikianlah hari akhir raya saya di Kelantan dengan kisah suka dukanya yang menyelubungi benak kepala saya. Yang menyedihkan, dan yang menggelikan hati...
Selamat tinggal KB.
Selamat tinggal KB.
Comments
Post a Comment