27 HARI BERPUASA: APAKAH KITA SENTIASA BERADA DI PIHAK YANG BENAR?

27 RAMADHAN 1434


Mengikut ajaran Islam, segala-segalanya yang ditentukan Allah SWT adalah benar. Hidup mati, dosa pahala, syurga neraka, adalah benar. Semuanya akan berlaku menurut yang ditakdirkan Allah. Maka dalam konteks ini, puasa Ramadhan adalah benar, satu ibadat yang diperintahkan oleh Allah SWT yang wajib dilakukan oleh orang-orang yang mencukupi syaratnya.

Bagaimana pun "benar" atau "salah" dalam arena kehidupan manusia seharian, kadang-kadang amat bersifat subjektif. Yang "benar" pada kita mungkin "salah" pada pandangan orang lain.

Manusia menghabiskan tenaga dan kekuatan mental yang banyak untuk membuktikan dirinya "benar" dan dalam masa yang sama  mencuba bersungguh-sungguh untuk membuktikan  pula bahawa orang lain itu, terutama musuhnya, sentiasa "salah".

Banyak kerisis yang berlaku di dalam masyarakat manusia pada hari ini, kadang-kadang sehingga membawa kepada pertumpahan darah dan pembunuhan, ialah kerana satu pihak merasakan dirinya "benar", dan menuding jari kepada pihak lain sebagai pihak yang "salah".

Namun satu perkara yang pasti, bahawa dalam sebarang konflik atau kerisis yang berlaku di antara dua atau beberapa pihak, maka mungkin sekali semua pihak tidak seharusnya mendakwa bahawa pihaknya sahaja yang benar, dan pihak lain semuanya salah.

Dalam kerisis diantara Ikhwan al-Muslimin dengan pihak tentera di Mesir umpamanya, kita mungkin tidak tahu apakah perkara yang benar yang diperjuangkan oleh kumpulan Ikhwan, dan apakah pula kesalahan mereka, dan demikian juga apakah kebenaran yang berada di pihak tentera Mesir, dan dalam masa yang sama, apakah kelemahan atau kesilapan mereka dalam hal ini.

Kita di dalam negara kita sendiri pun, terutamanya di dalam kerisis politik negara yang melibatkan parti politik dan pengikut yang partisan, persoalan ini juga amat relevan di tanyakan, apakah kebenaran sentiasa berada di pihak Kerajaan, atau Pembangkang? Apakah kesalahan sentiasa dilakukan oleh Kerajaan atau sebaliknya dilakukan oleh Pembangkang?

Bagi saya selagi isu perselisihan ini bukan isu agama yang punya nas yang jelas dari Al-Quran dan Hadis, maka kebenaran atau kesalahan isu itu sebenarnya adalah tertakluk kepada pemikiran yang rasional dan pertimbangan tentang kepentingan yang lebih utama kepada masyarakat sendiri.

Berdasarkan kepada kebenaran atau kesalahan yang tidak merupakan sesuatu yang mutlak kepada satu pihak sahaja, maka sering kali orang mengadakan dialog dan perbincangan yang sihat untuk mencari kebenaran yang boleh dikongsikan bersama oleh semua pihak, dan menolak kesalahan yang mungkin ada dalam semua pihak yang berselisihan.

Hal inilah umpamanya yang perlu dilakukan dalam kerisis politik yang dihadapi di rantau Asia Barat dan Afrika Utara sekarang ini yang sedang bergolak dengan kerisis berdarah dan pembunuhan sesama sendiri.

Hal ini juga telah dianjurkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

"Dan jika dua puak dari orang-orang beriman yang berperang, maka damaikanlah diantara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika ia kembali patuh, maka damaikanlah diantara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah) serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara) sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil"  Surah Al-Hujurat ayat 9.

Dalam hal inilah umat Islam seluruhnya haruslah mempunyai pihak ketiga yang mampu bertindak sebagai orang tengah dan yang menentukan siapakah yang berada di pihak yang benar dan di pihak yang salah, kemudian hendaklah dicarikan penyelesaian yang adil menurut hukum agama bagi kedua-dua belah pihak itu. 

Inilah kekurangan dan kelemahan yang dialami oleh masyarakat Islam sedunia sekarang ini, dan inilah kerisis yang paling besar yang sedang dialami oleh semua negara Islam sekarang ini, malah kadang-kadang orang ketiga yang diajak menjadi orang tengah itu ialah pihak yang tidak mengetahui hukum Allah, iaitu yang terdiri dari orang kafir Yahudi atau Nasrani dari Amerika Syarikat atau Eropah. Apakah mereka akan mencari perdamaian berdasarkan hukum agama?

Di negara kita pertelagahan yang berlaku di dalam arena politik nampaknya tidak ada pihak yang mampu menjadi pihak ketiga, yang berada di tengah-tengah untuk mendamaikan di antara pihak yang berselisih tentang politik.

Para ulamak yang sepatutnya berkecuali di dalam negara kita ini, tetapi mereka sendiri berpolitik, dan sering memihak kepada ideologi politik tertentu dalam karier mereka.

Oleh itu dalam mencari kebenaran, maka para ulamak haruslah berkecuali dari pergerakan politik partisan, atau yang berpecah kepada parti-parti politik yang tertentu.

Kita berharap pada satu ketika nanti, kita akan dapat menyaksikan angkatan ulamak yang benar-benar berwibawa untuk menjadi pihak ketiga dalam menyelesaikan masalah-masalah pengurusan negara dari segi politik, sosial, ekonomi, agama, bangsa dan sebagainya.

Puasa yang memasuki hari ke-27 amatlah penting dan istimewa kepada umat Islam. Marilah kita berdoa kepada Allah Azza Wajalla agar dikurniakan keamanan dan keselamatan kepada kita semua di negara kita ini, dan seterusnya dikurniakan keselamatan dan keamanan kepada umat Islam dan negara Islam lainnya. 

Amin, Amin, Ya Rabbal 'Alamin.







Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....