HARI RAYA KE-2

  • 2 SYAWAL 1434
  • KENANGAN YANG HENDAK DILUPAKAN
Satu perkara yang sering saya elakkan semasa menyambut hari mulia Aidilfitri ini ialah mengenangkan orang-orang tersayang yang telah pergi, kerana mengenangkan mereka merupakan satu peristiwa yang mengundang emosi dan rasa sedih yang tidak terkira. Oleh itu saya lebih suka mengenangkan mereka dalam bentuk lain, iaitu berdoa dan menghadiahkan bacaan ayat-ayat suci tanpa terlalu banyak bercakap atau bersedih dengan membicarakan hal mereka dengan keluarga atau sanak saudara.
Bagaimana pun, tanpa mengenangkan arwah keluarga sendiri yang telah pergi, tetapi apa bila membaca dan mendengar berita terbaru, rupa-rupanya banyak peristiwa sedih dan duka yang berlaku kepada orang lain, yang amat meledakkan emosi dan mengocak perasaan kita yang mendengarnya.
Pada hari Raya Pertama, saya menjadi amat terharu apabila membaca berita malang yang menimpa dua beradik perempuan yang bernama Maala dan Taqwa, yang telah meninggal dunia di Grik dalam perjalanan mereka balik ke kampong mereka, Lati, Pasir Mas, dalam tragedi yang amat menyayatkan hati.
Maala pelajar cemerlang di MRSM, dan telah melanjutkan pelajaran di Nottingham Universiti sehingga ke peringkat Sarjana dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan sedang bekerja di Kulim.
Taqwa pula sedang bekerja di Pulau Pinang setelah tamat dari Institut Teknikal Jepun Malaysia dengan cemerlangnya.
Taqwa pergi ke Kulim untuk pulang bersama-sama dengan Maala, dan dalam perjalanan pulang pada pagi selasa sebelum Raya itulah mereka menemui kemalnagn yang amat menyedihkan itu, kedua-duanya terkorban di atas jalan raya di tempat kemalngan.
Yang amat menyayat hati, mereka telah berjanji dan membuat persiapan untuk memeriahkan hari raya dengan masakan dan wang raya, yang telah meeka nyatakan sendiri di dalam SMS, atau yang dapat dilihat di dalam barang-barang peniggalan mereka yang sedang mereka bawa pulang untuk beraya.
Salah seorang dari mereka telah pun memasukkan wang gaji pertamanya ke dalam beberapa sampul wang raya yang siap ditanda dengan nama adik beradik yang akan diberikan sampul itu.
Kesedihan melanda setiap orang yang membaca berita itu, ialah kerana kematian itu tiba pada waktu orang semua sedang teruja untuk merayakan kemenangan dalam menghadapi dugaan nafsu dan melawan tuntutan badani yang tidak seharusnya dipenuhi semasa seorang itu sedang berpuasa, malah semua anggota keluarga sedang mengejar masa untuk menemui ibu bapa, saudara-saudar serta kaum keluarga dalam suasana agama yang amat kudus itu. Tiba-tiba pada saat itulah terdapat insan yang telah tiba masanya untuk pergi menemui Tuhan terlebih dahulu.
Peristiwa ini, hanya satu saja contoh dari beberapa peristiwa sedih yang sama berlaku, amat menyentuh perasaan semua orang, walau pun kita tidak mempunyai tali persaudaraan dengan mangsa yang malang itu.
Taqwa Munira Abdullah baru berumur 20 tahun, dan kakaknya Maala Munira Abdullah berumur 25 tahun. Kedua-duanya merupakan tenaga kerja yang penting dalam membangunkan negara kita, malah perkhidmatan mereka tentunya mempunyai potensi yang amat baik untuk satu masa hadapan yang amat panjang, sekiranya mereka masih ada.
Maka dari sudut inilah, kedatangan ajal mereka yang terlalu cepat, selain dari menggoyang dan mencabar iman para ibu bapa dan saudara-saudara mereka berdua, negara juga kehilangan dua tenaga kerja yang cukup berpotensi bagi meneruskan sumbangan mereka kepada kerjaya masing-masing.
Kini, tiba-tiba mereka pergi meninggalkan hati-hati yang bersedih, dan khidmat bakti yang tentunya akan menjadi lompang dan kosong sementara menunggu tenaga lain yang akan mengisinya, yang mungkin akan mengambil masa yang agak lama untuk ditemui. 

Namun takdir dan suratan Ilahi tidak dapat di sekat dan di bendung lagi, cuma hikmahnya hanyalah Allah SWT sahaja yang maha mengetahuinya, namun bagi kita, manusia yang menerima takdir Tuhan ini, eloklah juga kita mengkaji dan menyiasat kenapakah mereka terlibat di dalam kemalangan maut itu, kerana kita perlu berusaha, supaya kalau boleh diikhtiarkan biarlah kemalangan itu dapat dielakkan, iaitu mungkin kerana jalan raya yang tersalah sana sini, mungkin kerana kenderaan yang mengalami kecacatan atau kerosakan, dan mungkin juga kerana bebeerapa orang manusia yang menjadi faktor kemalangan, wallahu a'lam.
Kita haruslah berikhtiar mengurangkan kemalangan, berdoa dan berusaha dalam percubaan mengelakkan kemalangan, setelah itu bagaimana pun kita serahkanlah kepada Allah bagi menentukannya.
Marilah kita ramai-ramai menghadiahkan Al-Fatehah kepada ruh dua beradik muda yang malang ini, dan kepada mangsa kemalangan lain yang telah menyahut panggilan Allah menjelang hari bahagia, Aidilfitri yang mulia ini.
Al-Fatehah....

Comments

  1. terima kasih atas perkongsian ini. Sebenarnya salah seorang mangsa iaitu Maala adalah junior saya di sekolah menengah seorang yang pintar.. 😢 lewat saya mengetahui berita kematiannya.. Al Fatihah.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....