SOKONG "IS"?
APAKAH YANG MENDORONG RAKYAT KITA MENYERTAI KUMPULAN "IS" ?
Agak menghairankan kita di Malaysia apabila mendapat berita bahawa terdapat para muda mudi Malaysia yang ingin hendak pergi ke Timur Tengah untuk menyertai perjuangan ISIS atau IS di sana. Perjuangan kumpulan ini pada umumnya adalah berdasarkan kekerasan, pembunuhan dan pertumpahan darah. Mereka membunuh orang bukan sekadar dengan tikaman dan tembakan, tetapi dengan cara menyembelih leher mangsa mereka seperti orang menyembelih lembu atau kambing. Inilah berita dan gambar-gambar yang sering di paparkan oleh berita antarabangsa, terutamanya sumber berita antarabangsa Barat, yang boleh di percayai atau boleh juga di persoalkan kebenarannya.
IS ialah singkatan Islamic State, dan ISIS ialah singkatan bagi Islamic State of Iraq and Al-Sham. Sebelum nama IS ini digunakan, nama lainnya ialah ISIL, Islamic State of Iraq and the Levant. Namun apa-apa saja nama yang diberikan, tujuan penubuhan negara ini ialah untuk menyatukan Iraq dengan negara Lebanon, Syria dan beberapa buah negara lain yang terkenal dengan Al-Sham.
Islamic State (IS) nama terbarunya, adalah merupakan negara yang diketuai oleh seorang Khalifah yang bernama Abu Bakar Al-Baghdadi, yang mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah, dan mendakwa bahawa ia adalah keturunan Nabi Muhammad SAW. Tugasnya ialah untuk membentuk sebuah kerajaan Khilafah yang merangkumi beberapa buah negara, tetapi akan berdiri sebagai sebuah negara Islam yang tidak mempunyai sempadan seperti sekarang.
Kita menjadi hairan kenapakah rakyat kita sendiri juga tertarik untuk menyertai gerakan ini yang terkenal dengan keganasan dan peperangan, yang telah pun memakan korban yang banyak dalam pertempuran, terutamanya peperangan sesama Islam seperti yang berlaku di Syria dan Iraq.
Apakah anak-anak muda kita mempercayai dakwaan Al-Baghdadi ini bahawa ia adalah Khalifah keturunan Nabi Muhammad SAW? Atau pun mereka meyakini juga bahawa peperangan anjuran IS itu adalah merupakan Jihad pada jalan Allah, sehingga para pejuangnya merupakan Jihadis, yang akan mati syahid dan terus ke Syurga, sekiranya mereka mati di dalam pertempuran, kerana mereka amat yakin bahawa perjuangan mereka sebenarnya adalah perjuangan fi sabilillah menentang musuh-musuh Allah?
Saya percaya bahawa kekurangan ilmu dan hikmah, serta kerisis keyakinan pada diri sendiri, adalah merupakan di antara ciri-ciri yang mendorongkan mereka untuk menyertai gerakan maut di negara luar itu.
Saya menyebut begitu, kerana para pejuang yang datang dari negara-negara lain untuk berjuang dengan IS adalah terdiri dari mangsa peperangan saudara di negara sendiri, atau yang sememangnya menghadapi tekanan dari negara mereka seperti yang berlaku di sesetengah negara Barat yang meletakkan syarat yang ketat tentang cara berpakaian dan beribadat di negara asing itu.
Selain dari itu, terdapat juga para pejuang yang pergi menyertai IS ini adalah terdiri dari kumpulan warga negara yang dihimpit oleh tekanan ekonomi yang serius, yang mengakibatkan kemiskinan, kebuluran, dan mereka juga menjadi mangsa kehilangan rumah tangga dan sanak saudara kerana menjadi korban perang di negara mereka sendiri, sebab itulah mereka merasa amat putus asa dengan kehidupan yang mendesak, lalu mereka merelakan diri mereka untuk pergi menceburkan diri mereka di dalam peperangan di luar negara mereka, sebagai para Mujahid yang berjuang di dalam peperangan jihad, dengan balasan syurga yang menanti mereka.
Semuanya ini adalah merupakan dorongan yang tidak berasaskan ajaran Islam tentang konsep peperangan yang di bolehklan oleh agama kita, dan menyeleweng dari makna asal jihad yang sebenarnya, malah tidak memahami dengan sebaik-baiknya tentang erti peperangan yang diizinkan oleh Allah SWT seperti yang tersebut di dalam Al-Quran, malah para pejuang itu sendiri tidak mencerminkan perjuangan Nabi Muhammad SAW ketika baginda diizinkan oleh Allah untuk berperang dan berjuang melawan orang kafir ketika baginda dalam perjuangan menyebarkan agama Islam yang maha suci.
Anak-anak muda kita mungkin terlalu terpengaruh dengan longgakan wang dan ajaran yang disebarkan melalui media sosial dan internet yang begitu mudah di masuki oleh sesiapa sahaja, termasuk oleh orang-orang yang mendakwa menjadi Rasul dan Khilafah, mendakwa berjuang kerana Allah dalam peperangan suci, dan mengeluarkan hukum dan fatwa bahawa sesiapa yang menyertai kumpulan itu adalah merupakan para pejuang perang jihad kerana Allah.
Mungkin dorongan melalui media sosial inilah yang sebenarnya mempengaruhi anak-anak muda kita untuk turut serta berjuang melawan sesama Islam, dan menyerahkan nyawa mereka kepada takdir, dan berlagak seperti pejuang dalam tentera Allah untuk melawan musuh Allah, walau pun sebenarnya mereka akan berperang dan membunuh sesama Islam.
Sepatutnya anak-anak muda kita tidak seharusnya menyertai perjuangan IS ini, kerana mereka di dalam negara ini tidak mengalami tekanan kemiskinan melampau, kekurangan makanan dan minuman, atau tidak mempunyai tempat perlindungan dan rumah tangga sendiri, malah mereka juga tidak mengalami tekanan untuk pergi ke sekolah dan universiti, malah mereka mempunyai peluang yang luas untuk beribadat dan mempelajari agama dengan luas dan bebas di dalam negara sendiri yang aman damai tanpa berlaku peperangan.
Oleh itu saya merasakan bahawa mereka tentunya mendapat dorongan untuk menyertai kumpulan ganas itu, yang tidak sangat kita fahami dengan erti kata yang sebenarnya. Maka dalam keadaan inilah saya rasa mereka amat kurang kefahaman tentang ajaran agama kita, dan segala pelajaran yang mereka terima di institusi pendidikan akademik dan agama selama ini tidak berjaya membentuk kefahaman yang berkesan tentang hukum dan akhlak Islam yang sebenarnya.
Oleh itu, satu usaha penyelidikan dan tinjauan yang mendalam dan menyeluruh haruslah dilakukan oleh para bijak pandai kita untuk menyelami jiwa dan mentaliti anak-anak muda kita yang terpengaruh dengan seruan IS itu sehingga sanggup menggadaikan nyawa dan keselamatan diri mereka sendiri.
Apabila kita memahami segala dorongan dan alasan yang menyebabkan mereka sedia berkorban untuk menceburkan diri mereka di dalam kumpulan seperti IS itu, maka barulah kita akan mendapat petunjuk dan mekanisme yang berkesan untuk menyelesaikan masalah ini.
Comments
Post a Comment