BERDOA UNTUK IBU ........
Mengingati ibu atau ayah yang telah pergi telah menjadi warisan kepada orang Islam di negara kita. Banyak surau dan masjid di negara kita yang mengadakan majlis tahlil dan doa arwah pada hari Khamis malam Jumaat. Ramai-ramai berkumpul membaca Yasin dan berzikir serta berdoa untuk arwah ibu dan bapa serta kaum keluarga yang telah pergi dulu, mudah-mudahan di makbulkan Allah SWT.
Bagi jemaah haji atau umrah yang berada di Makkah atau di Madinah, maka setiap kali selesai sembahyang fardhu, hampir pasti akan dilaungkan kehadiran jenazah seorang atau banyak jenazah untuk sama-sama disembahyangkan oleh para jemaah yang ramai itu.
Di dalam sembahyang jenazah, terdapat doa untuk mayat dengan ucapan memohon Allah SWT supaya mengampunkan mayat dan merahmatinya, menjadikan kuburnya sebagai satu taman dari taman-taman syurga.....dan seterusnya.....
Semua jemaah yang menunaikan sembahyang jenazah akan berdoa kepada mayat-mayat yang tidak dikenalinya. Maka alangkah bertuahnya mayat yang disembahyangkan di dalam masjid Al-Haram atau Masjid Al-Nabawi di Madinah, dengan ratusan ribu berdoa serentak untuk jenazah itu.
Kita di negara ini juga mengambil pendekatan dan amalan yang sama, iaitu ketika berlaku kematian, maka jenazahnya akan di sembahyangkan, di doakan, kemudian di bawa ke kubur, dan sering juga pada malamnya akan di adakan perkumpulan beramai-ramai untuk berdoa bagi jenazah yang baru saja pergi mengadap Allah.
Anak-anak si mati, kaum keluarga dan sahabat handai serta orang ramai, sama-sama membaca al-Quran dan berdoa untuk jenazah, kerana meneruskan doa yang telah dibacakan di dalam solat jenazah, semoga Allah SWT akan menerimanya.
Anak-anak terutamanya akan berdoa untuk ibu bapanya mengenangkan Hadith Rasulullah SAW yang menegaskan bahawa amalan manusia akan terputus dengan kematiannya kecuali tiga perkara, satu dari padanya ialah anak-anak saleh yang berdoa untuknya..
Harap-harap umat Islam di negara kita ini tidak perlulah ragu-ragu dalam mengamalkan amalan warisan kita ini, iaitu berdoa, bertahlil dan membaca Al-Quran untuk memohon Allah SWT mengkabulkan amalannya untuk ibu bapa dan sanak saudara atau teman kenalan masing-masing.
Apa-apa saja amalan kerana Allah yang kita lakukan di dunia ini adalah berdasarkan niat dan kepatuhan kita kepada perintah-Nya. Kita tidak perlu bersoal jawab sama ada amalan kita di terima atau tidak oleh Allah SWT, kerana hal itu terserahlah kepada-Nya. Kita hanya beramal dan berdoa agar amalan kita itu diterima oleh Allah dengan melengkapkan segala rukun dan syaratnya.
Maka dalam hal ini mungkin agar sukar untuk kita menerima fatwa-fatwa yang bercanggah tentang amalan kita, kerana terdapat orang yang mengatakan bahawa amalan kita tidak di terima, dan terdapat pula yang berkata bahawa amalan kita di terima. Kewajipan kita hanya beramal, tidak perlulah merasa keliru dengan beberapa fatwa yang bercanggah itu, tambahan pula kita mempunyai pihak berkuasa agama di negara kita yang bertanggung jawab mengeluarkan fatwa rasmi untuk semua orang Islam di negara kita...
Doa dan syukur kita termasuklah ketika kita merayakan hari ibu yang tidak kita kaitkan dengan akidah dan syariah orang kafir. Pada Hari Ibu lah kita semakin berdoa untuk ruh dan keibuan emak kita yang telah pergi. Malah bagi orang yang masih punya ibu, maka pada hari inilah dia menguatkan kasih sayangnya kepada ibunya, tanpa melibatkan amalan syirik atau menyeleweng dari ajaran agama.
Allah memerintahkan hamba-Nya jangan menyembah selain dari diri-Nya, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa...Maka kita berbuat baik kepada ibu bapa, pada hari ibu atau hari bapa, serta pada hari-hari yang lain juga, maka itulah maknanya kita telah menunaikan kewajipan kita kepada Allah SWT, sambil berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa kita.
Kita di negara ini mempunyai warisan ini yang amat baik, oleh itu tidak haruslah kita menafikan manfaat warisan ini, dan menjadi keliru dengan pandangan pihak-pihak yang tidak berotoriti...
Comments
Post a Comment