HIDUPKAN SEMULA LEGASI MELAYU ISLAM.


Tidak hairanlah ketika kita membaca ayat-ayat Allah pada lisan Nabi Ibrahim yang memohon Allah SWT supaya membangkit (mengutuskan) seorang Rasul dari kalangan bangsa mereka sendiri (bangsa Arab) yang akan membaca ayat-ayat (Firman) Allah, mengajar mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (kebijaksanaan) dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (Surah Al-Baqarah ayat 129)

Ayat yang merupakan permohonan Nabi Ibrahim supaya Allah mengutuskan seorang Rasul yang mampu membetulkan keadaan masyarakat Arab Jahiliyyah yang sedang menghadapi kemusnahan itu, telah dengan sendirinya menjelaskan kriteria seorang manusia amat ideal bagi merubah masyarakat yang liar dan tidak berperadaban itu, iaitulah seorang pemimpian yang berilmu dan berhikmah, yang dapat bertindak mengajar dan menjadi tauladan kepada umatnya supaya berilmu, bijaksana, berakhlak sihat jasmani serta rohaninya, berpaksikan ajaran dan pengabdian dirinya kepada Allah swt.. 

Untuk memenuhi sifat pimpinan yang unggul inilah maka Allah SWT telah mengtuskan Nabi terakhir, Muhammad SAW kepada masyarakat Arab Jahiliyyah yang sedang parah itu, dan baginda telah berjaya membentuk sebuah masyarakat manusia yang berilmu, berhikmah dan bertamadun, bersih dari segala kesyirikan, kekufuran, mempunyai ilmu dunia akhirat dan berperwatakan mulia, dengan akhlak yang tinggi, berdasarkan ajaran agama Allah swt yang terkandung di dalam kitab suci, Al-Quran.

Saya menyebut hal ini, kerana apa bila masyarakat manusia telah terhakis dari ajaran Allah tentang ilmu dan hikmah, mengalami kerisis rohani dan jasmani, kemelut kerosakan akhlak dan budi pekerti, kesakitan jiwa dan emosi, maka masyarakat itu akan mulai kembali di cemari dengan berbagai-bagai musibah dan bala bencana.

Di negara kita, telah berapa kali terdapat ajaran sesat yang amat serius, iaitu ketika terdapat orang yang mengakui dirinya sebagai Nabi, malah ada yang mengakui dirinya sebagai Tuhan, masya' Allah. Namun kerana tanpa ilmu dan hikmah, jiwa yang sakit dan rohani yang kosong, maka terdapat orang-orang yang mempercayai dan mengikutnya, termasuk mengakui akan kehadiran Nabi dan Tuhan yang baru (walau pun bilangan pengikut itu amat sedikit). 


Mereka yang bertindak demikian, sebenarnya sedang mengalami penyakit kejahilan dan kehakisan akhlak dan hikmat, hilang nilai-nilai budi pekerti dan kejiwaan, malah ketika orang mengalami sakit jiwa dan emosi, maka akan terjadilah kejadian yang di luar kawalan akal yang bijaksana dan jiwa serta emosi yang sihat, sehingga pada hari ini kita sering juga membaca dan melihat anak yang membunuh ibu atau bapanya, kawan yang memukul hingga mati teman di sekolahnya, dan berbagai-bagai perbuatan kejam dan dosa besar, yang amat jarang kita temui dalam masyarakat, terutamanya masyarakat Islam, satu dua dekad yang lalu.

Panduan yang diberikan oleh Nabi Ibrahim ketika berdoa kepada Allah SWT supaya diutuskan seorang Rasul yang bijaksana itu adalah amat baik kita kaji, analisa, dan selidik dengan mendalam pada hari ini, terutamanya dalam sistem pendidikan kita sekarang bagi menjawab persoalan bagaimanakah kita mampu mengeluarkan anak-anak didik, para bijak pandai kita yang berilmu dan bijaksana, yang mampu menterjemahkan ajaran Allah dari dalam Al-Quran, dan Sunnah Rasul-Nya juga yang mempunyai keperibadian yang sihat jasmani dan rohaninya, fizikal dan spiritualnya...

Inilah cabaran yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam di seluruh dunia, isu sejagat yang sedang kita hadapi sekarang ini, seperti di Iraq, Syria, Yaman, Afghanistan, Libya dan dunia Timur Tengh yang amat bergolak, malah kelahiran gerakan Islamic State (IS) yang di gerakkan oleh seorang lagi yang mengakui dirinya  sebagai khalifah dan keturunan Nabi, Abu Bakar Al-Baghdadi, dan amat ramai orang yang mengikutinya dalam gerakan pembunuhan dan peperangan yang sedang berlaku ketika ini.

Harap sekurang-kurang masyarakat umat Melayu yang masih berbaki dengan keilmuan dan kebijaksanaannya selama ini, yang masih bernafas di dalam suasana dan udara yang masih aman dan damai, harap dapatlah umat kita sendiri menyedari akan hal ini, sekurang-kurang nya akan dapat kita hidupkan semula bidang ke ilmuan dan wisdom dalam legasi Melayu ini, berteraskan ajaran Islam dan budayanya yang amat kaya dengan ilmu dan hikmah, akhlak dan nilai-nilai murni yang tinggi....

Marilah kita hidupkan legasi dan ketamadunan Melayu serantau ini dengan berpaksikan ajaran Islam dan nilai-nilainya yang universal. Kita harus buktikan dari sejarah dan tamadun, cara hidup dan tradisi Melayu Islam yang unggu dan penuh legasi itu...


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....