PEMIKIR DI BUNUH ?





KETIKA PEMIKIR DI BUNUH...

Ketika dunia menghadapi banyak cabaran dan tekanan pada masa kini, maka negara yang ingin mengatasi segala cabaran dan tekanan itu hendaklah mempunyai para pemikir yang bijaksana dan mampu membawa perubahan positif. Para pemimpin negara haruslah terdiri daripada para pemikir yang berilmu dan berhikmah.

Penyair Syria Nizar Qabbani yang lahir pada 21 Mac 1923 dan meninggal pada 30 April 1998 telah mengungkapkan syair tentang hal ini, ketika beliau membawa beberapa contoh yang mungkin di tujukan kepada ahli politik yang memerintah negara, dan para ulamaknya yang bersikap kuno terhadap rakyat jelata yang berada di sekeliling mereka. 

Tajuk Syairnya berbunyi Sudikah Anda Mengizinkan Saya? 
Dalam pendahuluan syairnya ini, dia menulis begini (Syairnya ditulis di dalam bahasa Arab, dan telah saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu), begini bunyinya :

Dalam sebuah negara yang para pemikirnya dibunuh
para penulis di anggap murtad dan kafir
buku-buku di bakar,
dalam masyarakat yang menolak "orang lain"
memaksa mulut  supaya membisu
dan pemikirannya di tutup rapat-rapat
malah hanya bertanya telah dianggap satu dosa,
sudikah anda mengizinkan saya
untuk membesarkan anak-anak saya seperti yang saya mahu
tanpa dipaksakan kepada saya pemikiran dan arahan anda?

Sebagai seorang penulis, mungkin Nizar Qabbani, selaku pencatat sejarah negaranya, dalam karyanya ini telah meluahkan pandangan pengalamannya di negara beliau, atau di dalam masyarakat yang sama budaya serta pemikiran rakyatnya, maka sebab itulah beliau telah menyuarakan kebimbangannya tentang tragedi yang berlaku di dalam masyarakatnya.

Amat nyata sekali beliau menumpukan kepada banyak anasir paksaan politik dan kefahaman agama yang sempit yang berlaku di dalam masyarakatnya, yang mungkin juga berlaku di dalam masyarakat dan negara lain, dengan mentaliti yang sama, sehingga beliau mengungkapkan bahawa di dalam negara seperti itu, para pemikirnya tidak mempunyai peranan, malah di bunuh dan di jauhkan sama sekali dari terlibat di dalam pembangunan negara tersebut.

Membunuh para pemikir tidak bererti hanya mengambil nyawanya seperti biasa yang dilakukan dengan jenayah membunuh, namun mungkin juga dimaksudkan membunuh karier dan perwatakannya, dan  menyekat dari pergerakan untuk negara dan bangsanya.

Apabila para pemikir tidak terlibat di dalam pemerintahan negara, dan amalan agama lebih banyak dipaksa dengan pandangan peribadi dan hukum atau fatwa para agamawan yang tertutup pemikirannya, maka masyarakat tidak akan membangun secara sihat dan maju, mungkin jauh sekali dari pembentukan masyarakat dan negara yang berperadaban serta benar-benar beragama seperti yang selayaknya.

Sebab itu di dalam syair ini beliau memohon keizinan dari keadaan politik sempit dan amalan keagamaan yang mundur itu, agar dia diberikan kesempatan untuk menggunakan budi bicaranya sendiri di dalam pendidikan anak-anaknya tanpa paksaan dan tekanan dari orang lain yang menggunakan otoritinya yang sempit.

Cubalah bandingkan terjemahan Melayu syair tersebut dengan terjemahan Inggerisnya yang telah dilakukan di dalam buku kumpulan puisinya yang berbunyi begini:

Would You Permit Me?

In a country where thinkers are assassinated
and writers are considered infidels and books are burnt
in societies that refuse the other
and force silence on mouths and thoughts forbidden
and to question is a sin
I must beg your pardon, would you permit me

Would you permit me to bring up my children as I want
and not to dictate on me your whims and orders?

Pernyataan pemikiran dan perasaan pemuisi ini tidak semestinya mencerminkan pemikiran semua orang. Namun segala-galanya yang dibimbangkan itu sebenarnya telah menjadi kenyataan di negaranya dan di beberapa buah negara sebangsanya, ketika taksub agama dan perpecahan mazhab telah mengakibatkan berlakunya konflik yang membawa kepada pertumpahan darah. Perpecahan umat Islam akibat daripada perpecahan mazhab seperti syiah dan sunni telah mengurbankan para pengikutnya dengan gerakan keganasan yang hebat, termasuk perkembangan akhir-akhir ini bermula dari Iraq, membawa kepada Libya, Syria, dan akhirnya Yaman dan negara-negara sekitarnya.

Para pemikirnya hampir tidak akan muncul dalam pergolakan politik berat sebelah dan kuku besi dalam negara yang rata-rata rakyatnya sentiasa menggunakan senjata dan kekerasan untuk menyelesaikan masalah di antara mereka.

Mungkin hal ini ada kebenarannya ketika Nizar Qabbani menyatakan bahawa banyak negara sekitarnya yang dapat disaksikan bahawa para pemikirnya di bunuh atau di hukum bunuh, buku dan khazanah ilmu dan hikmah di bakar atau di buang ke tepi, para "ulamak"nya asyik mengeluarkan fatwa dan doktrin agama yang menyeleweng, dan pelbagai kekecohan lagi yang berlaku di dalam masyarakat itu, sehingga timbul gerakan dan organisasi radikal seperti IS dan ISIS.

Para penulis biasanya mempunyai pandangan yang tajam sehingga dapat menembusi alam semasa ke alam akan datang, dan pandangan yang ikhlas itu sering di ungkapkan dalam karya sastera yang berdasarkan pemikiran dan pandangan yang jauh. Keikhlasan perasaan dan pemikiran para pujangga haruslah dikaji dan diteliti, supaya kebenaran akan dapat dibuktikan....

Ketika bumi para Rasul dan Para Ambiya' sedang bergolak dalam keadaan yang amat genting dan menuju kepupusan tamadun dan peradabannya, maka kita perlukan pemerintah atau "umarak" serta "ulamak" yang seimbang, berpadu, terbuka dan sentiasa memahami agama serta ajaran Allah dan RasulNya dengan betul dan membangun.....  

Inilah yang cuba di utuskan kepada kita oleh penyair ini, agar masyarakat Islam segera berubah dan berusaha menghindarkan diri dari musuhnya yang sentiasa mencuba untuk meruntuhkan agama dan tamadun kita............







Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....