SYURGA DAN NERAKA - DUNIA DAN AKHIRAT....
Syurga dan neraka sebenarnya dialami oleh manusia di dunia dan di akhirat. Di akhirat orang yang masuk syurga akan mengalami berbagai-bagai nekmat dan keseronokan, dan orang yang masuk neraka akan menderita berbagai-bagai siksaan dan balasan yang pedih.
Sebenarnya di dunia juga kita perlu hidup di dalam syurga, yang dinamakan syurga dunia. Hidup di dalam syurga dunia ialah hidup yang damai, aman, mewah makan minum, pekerjaan dan kehidupan yang baik, rezeki yang banyak, keluarga yang bahagia, malah negara yang aman damai, bebas dari ketakutan, peperangan dan ancaman terhadap fizikal, mental dan spiritual, terlepas dari kerisis sosial, ekonomi dan politik yang mengancam kesejahteraan kita..Itulah sebenarnya kehidupan dunia yang selesa dan diperlukan oleh manusia.
Kita seharusnya tidaklah segera memberikan persepsi negatif terhadap orang-orang yang hidupnya serba mewah dan senang di dalam dunia ini, iaitu dari segi kebendaan dan pangkat, nama dan keturunan, sebagai orang yang lupakan akhirat dan bakal menjadi penghuni neraka,
Orang yang mewah dan berharta di dunia tidak semestinya terdiri dari orang-orang yang lupakan Allah, lupakan agama dan lupakan akhirat. Malah sekiranya mereka mewah dan berharta, sebenarnya peluang mereka untuk mendekatkan diri dengan Allah, dan berbakti kepada ajaran agama, adalah lebih besar dari orang-orang yang hidupnya dalam kesempitan, miskin dan merana, yang hanya mengharapkan bantuan orang lain untuk hidup agak selesa di dalam dunia ini.
Oleh itu perkara pokok yang seharusnya kita fahami dalam perbincangan kehidupan dunia akhirat, syurga dan neraka di dunia dan akhirat ini, adalah niat, amalan dan kaedah penghidupan manusia itu dari perspektif ajaran dan penghayatan agamanya.
Tidak semestinya seorang itu seharusnya menjadi miskin, tak punya wang dan harta yang banyak untuk dia mengingati Allah dan bakal menghuni syurga di akhirat nanti. Malah tidak semestinya pula orang-orang yang kaya, berharta, berumah besar dan pekerjaan yang memberikan pendapatan yang lumayan itu akan masuk neraka di akhirat nanti.
Orang yang kaya dan berharta di dunia ini, yang tidak meninggalkan amal ibadatnya, yang mengeluarkan zakat, malahan memberi sadakah jariah, pemurah dan gemar menolong orang lain kerana dia mempunyai kemampuan kebendaan, maka dia sebenarnya mendapat kebahagian di dunia dan harapnya dia juga akan mendapat syurg Allah kerana ibadatnya yang banyak dan kemurahannya kepada sesama manusia.
Oleh itu kita tidaklah seharusnya terus mengecam orang yang senang dan kaya dengan persepsi yang negatif tentang sumber kekayaannya, dan gaya hidupnya yang kita anggap lalai dari menunaikan ibadat, juga melupakan ajaran Allah, lalu kita memandang mulia pula kepada orang yang miskin, tidak punya harta dan kekayaan dunia, seolah-olah mereka yang hidup beginilah yang sering mengingati Allah dan melakukan ibadat terhadap Allah.
Memang tidak dapat kita nafikan bahawa biasanya orang yang kaya dan hartawan, hidup mewah dan makmur, maka harta kekayaannya sering menjadikannya lupa kepada Allah. Tetapi dalam zaman ini kita haruslah ingat bahawa telah ramai orang kaya dan berharta yang telah menginsafi diri mereka, mengingatkan Allah, mengeluarkan zakat dan mewaqafkan harta mereka untuk jalan Allah tanda kesyukurannya di atas nekmat Allah yang dikurniakan kepada mereka.
Orang yang berharta inilah yang mampu menunaikan haji dan umrah, mengeluarkan zakat dan sumbangan kebajikan, membantu anak-anak yatim dan orang fakir miskin, yang semuanya ini adalah merupakan amalan yang bakal menerima ganjaran pahala yang banyak dari Allah.
Akhir-akhir ini bilangan jemaah umrah dan haji kita bertambah berkali-kali ganda, jumlah kutipan zakat telah menjangkau berbilion ringgit setiap tahun, pembinaan masjid, surau dan sekolah sering dibantu oleh orang-orang kaya ini di sana sini.
Orang-orang begini mungkin akan merasai kehidupan syurga dunia dan insya' Allah akan merasa kehidupan yang nekmat di dalam syurga Allah di akhirat kelak.
Manusia mewah dan hartawan beginilah yang amat kita perlukan sekarang ini, iaitu yang berharta dan mempunyai kesenangan dunia, maka dalam masa yang sama mereka juga bersifat dengan sifat taqwa, beramal dan beribadat kepada Allah sentiasa, serta menggunakan kekayaan mereka pada jalan Allah SWT.
Kaya di dunia ini dengan segala kemewahannya, tidak semestinya akan miskin di di alam akhirat, dan akan ditempatkan di dalam neraka, iaitu sekiranya orang kaya ini insaf, bersyukur dan melakukan infaq pada jalan Allah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah.
Malah orang miskin di dunia, tanpa harta kekayaan, rumah dan kereta yang bernama, tidak semestinya akan mendapat syurga Allah di akhirat kelak, seperti yang selalu di sebut-sebutkan oleh ahli agama selama ini, sekiranya ia tidak bertaqwa, tidak menunaikan ibadat khusus dan umum kepada Allah, malah kufur nekmat dan tidak bersyukur kepada Allah, dengan menunaikan kewajipan yang asas kepada Allah.
Malah orang miskin di dunia, tanpa harta kekayaan, rumah dan kereta yang bernama, tidak semestinya akan mendapat syurga Allah di akhirat kelak, seperti yang selalu di sebut-sebutkan oleh ahli agama selama ini, sekiranya ia tidak bertaqwa, tidak menunaikan ibadat khusus dan umum kepada Allah, malah kufur nekmat dan tidak bersyukur kepada Allah, dengan menunaikan kewajipan yang asas kepada Allah.
Senario zaman lampau, dan zaman kini telah jauh berbeza, oleh itu ahli agama dan mubaligh, tidaklah harus mempunyai gambaran yang stereo type dalam hal ini.. .
Comments
Post a Comment