AJARAN ISLAM YANG GLOBAL DAN HOLISTIK



Tekanan dari masyarakat agar Islam benar-benar diamalkan seperti zaman Nabi Muhammad SAW sering juga menjadikan ajaran agama berada dalam kotaknya sendiri, dan dengan itu maka ulamak Islam menjadi terasing dari kehidupan orang awam yang biasa.

Penumpuan kepada amal ibadat dalam bentuk yang amat ideal, begitu sempurna dan salin tak tumpah seperti amalan Islam pada zaman awal kedatangannya, seperti yang difahami dan di ajarkan oleh segelintir ulamak Islam, sering juga menjadi satu aliran yang mungkin dalam beberapa keadaan, amalan agama menjadi terpisah dari pola masyarakat dan realiti kehidupan manusia semasa pada hari ini, dengan latar belakang sosial, ekonomi, politik dan suasana yang telah melalui perkembangan yang amat pesat.

Perkara-perkara yang seharusnya diberikan penekanan pada zaman ini bukanlah tumpuan kepada ibadat kerohanian dan fardu 'ain sebagai amalan individu yang terpisah dari urusan semasa, malah ajaran itu adalah mempunyai hubungan rapat dengan pemerintahan negara, penglibatan politik, urusan keadilan sosial, dan yang paling pentingnya hubungan sosial, bermasyarakat, tata susila awam serta persaudaraan yang sepatutnya diberikan penekanan, melampaui amalan ibadat khusus dan fardu 'ain yang perpusat hanya kepada individu, seolah-olah manusia ini hidupnya di dalam dunia ini hanya berkewajipan menghubungkan dirinya dengan Allah semata-mata tanpa mempunyai sebarang komitmen dengan tanggung jawab sosial, etika bermasyarakat, akhlak dan nilai-nilai murni sejagat yang sesuai dengan ajaran agama itu sendiri.

Memang kita akui bahawa ibadat khusus dan amalan fardu 'ain adalah merupakan asas yang penting pada peringkat awal kanak-kanak, maka dalam kehidupan sepanjang hayat manusia Muslim, tetapi jika hal itu sahaja yang ditekankan tanpa melampaui ke peringkat tanggung jawab sosial dan etika kemasyarakatan yang melampau peringkat awalan itu, maka kita mungkin tidak mampu untuk membina kekuatan umat dalam segala bidang peradaban dan kemajuan sebagai umat yang kompetatif dengan umat lain.

Mengajar kanak-kanak membaca dan menghafal Al-Quran, ibadat sembahyang, puasa dan sebagainya, juga berdoa dan berzikir merupakan asas penting dalam kehidupan insan Muslim, tetapi pendidikan ini hendaklah di teruskan ke peringkat yang lebih tinggi, sehingga kanak-kanak akan terdidik di dalam suasana dan persekitaran yang memerlukan tanggung jawab sosial dan keluarga, etika dan interaksi yang beradab serta lebih bermakna dengan ahli keluarga dan jiran serta anggota masyarakat yang lain, juga memahami falsafah ibadat khusus, seperti sembahyang dan mengeluarkan zakat dalam pengertian sivik dan etika kerja, serta adab dan pengurusan jemaah sebagai satu pasukan..

Kanak-kanak sendiri tidaklah seharusnya dibesarkan di dalam kefahamannya bahawa kehidupan "beragama"nya hanyalah di dalam ibadat khusus semata-mata, malah kalu di sebutkan tentang kehidupan bermoral dan berakhlak, maka dia akan menyangka bahawa menunaikan ibadat khusus itu telah pun  termasuk di dalam kehidupan bermoral dan akhlaknya.

Islam mendidik umatnya menjadi umat yang terbaik, seimbang dan holistik di dalam keperibadian dan syakysiahnya, ibadat fardu 'ain dan fardu kipayahnya, akhirat dan dunianya, kerohanian dan fizikalnya. 

Tidak ada maknanya beradab dan menjaga peraturan yang ketat ketika bersembahyang sekiranya dalam kehidupan di luar sembahyangnya dia tidak beradab, tidak berdisiplin, menjaga peraturan dan menghayatai segala falsafah dan hikmah dari ibadat khususnya itu.

Perkara ini telah banyak diperkata dan dibincangkan oleh para bijak pandai Islam, tetapi penghayatan yang sebenarnya masih ketinggalan, yang akhirnya segala aktiviti yang di namakan aktiviti agama hanyalah dalam bentuk ibadat, mengikut pengertiannya yang amat terhad....

Pada zaman permulaan Islam pun sebenarnya ajaran Islam telah menegaskan tentang kehidupan dunia dan akhirat, jasmani dan rohani. Kalau dikatakan mengikut ajaran Rasulullah SAW pun, maka Nabi kita sebenarnya pernah menegur tiga orang sahabat yang telah menumpukan kepada ibadat yang mereka anggap itulah ibadat sebenarnya yang harus mereka lakukan untuk menjadi Muslim yang ideal, iaitu ada yang tidak berkahwin, berpuasa sepanjang masa, dan menghabiskan masa sepenuhnya di dalam masjid.

Kepada mereka semua, Nabi menjelaskan bahawa baginda adalah orang yang paling taqwa kepada Allah, tetapi dia berkahwin, berpuasa dan berbuka, malah kepada sahabat yang hanya menghabiskan masanya di dalam masjid, baginda bertanya siapakah yang memberikannya makan, ketika di jawab bahawa ada orang lain yang memberikannya makan, maka baginda bersabda bahawa orang yang memberikannya makan adalah lebih baik dari dia yang sepanjang masanya beribadat di dalam masjid.

Inilah sebenarnya pendekatan holistik yang dianjurkan oleh Islam, kehidupan yang seimbang dan amalan wasatiyyah yang sebenarnya, yang seharusnya di fahami oleh semua lapisan umat Islam, iaitu ketika kita ingin mengikut jejak langkah baginda Rasulullah dalam kehidupannya yang amat ideal itu.


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....