DI BAWAH LINDUNGAN KA'BAH - HAMKA


DI BAWAH LINDUNGAN KA'BAH ialah novel karya HAMKA yang diterbitkannya dalam tahun 1938. Hamka, atau nama penuhnya: Haji Abdul Malik Karim Amrullah, dilahirkan di Kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, pada 17 Februari 1908, dan meninggal dunia pada 24 Julai 1981 di Jakarta.

HAMKA terkenal sebagai ulamak, intelektual Islam, sasterawan, aktivis masyarakat dan politik yang dinamik. Buku "Ayah" yang di hasilkan oleh anak beliau Irfan Hamka, menceritakan Pak Hamka ketika "masa muda, dewasa, menjadi ulamak, sasterawan, politikus, kepala rumah tangga, sampai ajal menjemputnya ketika berusia 73 tahun"

Saya mencari semula beberapa karya asli Pak Hamka ketika saya berkunjung  ke Bandung baru-baru ini. Malah saya tertarik untuk menulis semula tentang Pak Hamka, atau lebih terkenal dengan panggilan Buya Hamka oleh teman-teman kita di Indonesia, kerana semasa hayatnya Arwah sering juga berkunjung ke negara kita, muncul dalam bicara-bicara di TV dan Seminar/Kongres di sini.

Saya ketika itu masih remaja, dan pernah sekali dua berbicara bersama-sama dengannya tentang beberapa isu semasa ketika itu, terutamanya tentang agama dan bahasa, yang ada kalanya disertai juga oleh seorang teman kita yang masih saya ingat iaitu Dato Senator Prof Dr Firdaus Abdullah, dan lain-lain.

============

Novel Pak Hamka "Di Bawah Lindungan Ka'bah" menjadi popular dan di baca oleh banyak kalangan masyarakat Melayu di negara kita. Penonjolan nama Ka'bah mungkin merupakan tarikan istimewa kepada novel ini, malah tema cinta suci dan ledakan emosi para pelaku novel ini juga merupakan satu tarikan lain kepada umat kita.

Watak utama novel ini ialah Hamid. Hidup di Sumatra. Dua tahun selepas kematian bapanya, Hamid ketika itu berusia 6 tahun, dijadikan anak angkat oleh Haji Jaafar, seorang hartawan kelas atasan yang di panggil Engku, dan tinggal di rumah besar. Hamid dan ibunya pindah ke rumah Haji Jaafar, yang ketika itu mempunyai seorang anak perempuan, Zainab, sebaya dengan Hamid, di samping anak-anak yang lain.

Hamid yang berkawan dengan Zainab dari awalnya sebagai "abang" dan "adik", akhirnya sama-sama memendam rasa mesra, walau pun Hamid kadang-kadang merasa tidak senang dengan perbezaan "kelas" di dalam keluarga barunya ini, malah Zainab sering memisahkan dirinya dari tradisi ini.

Hamid dengan emaknya kemudian pindah ke Padang Panjang kerana menyambung pengajiannya di sekolah agama di sana. Di dalam bulan puasa, Hamid berkunjung juga ke rumah Haji Jaafar dan dapat bertemu dengan Zainab, tetapi anak perempuan ketika itu telah menjadi gadis pingitan, yang terkurung di dalam rumah, maka Hamid hanya dapat sekejap-sekejap saja bertemu dan berbual dengannya, itu pun dalam keadaan yang amat formal.

Hamid bercerita "Setelah puasa habis, saya kembali ke Padang Panjang. Sebelum berangkat, , saya datang ke rumahnya menemui Zainab, menemui ibu dan ayahnya. Dari ayahnya saya dapat nasihat 'belajarlah sungguh-sungguh Hamid, mudah-mudahan engkau lekas pintar dalam perkara agama dan dapat hendaknya saya menolong engkau sampai tamat pelajaranmu'. Insya Allah Engku" jawab saya"

"Setelah itu, saya berangkat. Seketika saya melengong yang penghabisan ke belakang, nyata kelihatan oleh saya Zainab berdiri di pintu tengah, melihat kepada saya. Di situ pula timbul kembali sifat saya yang pengecut. Saya menghadap ke muka dan saya pun pergi...."

Setelah Haji Jaafar meninggal dunia, keluarga Hamid berpindah  dari Padang Panjang, kembali ke rumah Haji Jaafar. Adik Hamid (Asiah) meminta Zainab berkahwin dengan abangnya...tetapi ternyata bahawa sistem "kelas" di dalam keluarganya mengatasi segala perasaan emosi dan agama, perkahwinan itu tidak dibenarkan, dan dalam kekecewaan itulah Hamid membawa  diri dan hatinya ke Mekah.

Setahun kemudian, Hamid bertemu dengan kawan sekolahnya, Saleh, di Mekah, yang pergi dengan isterinya Rosnah. Mereka suami isteri menceritakan kepada Hamid tentang penderitaan Zainab yang masih terus membujang, kerana hatinya hanyalah untuk Hamid sahaja.

Hamid bercadang akan kembali ke tanah air selepas musim haji. Tetapi dia jatuh sakit dan meninggal di sana.

Novel ini menceritakan saat-saat terakhir Hamid bertawaf di keliling Ka'bah dengan di usung oleh Arab badwi dan di iringi oleh Saleh...

".........Ketika sampai yang ke tujuh kali, di isyiratkan kepada Badwi yang berdua itu, menyuruh menghentikan tandunya di antara pintu Ka,bah dan Batu Hitam (Hajar Aswad) di tempat yang bernama Multazam, tempat segala doa makbul. Saya (Saleh) lihat pula muka Hamid, sudah tampak terbayang tanda-tanda dari kematian. Sesampai di sana, di hulurkannya tangannya. Di pegangnya kiswah kuat-kuat dengan tangannya yang kurus, seakan-akan tidak akan dilepaskannya lagi. Saya dekati dia, kedengaran oleh saya dia membaca doa......."

"Setelah itu, suaranya tiada kedengaran lagi. Di mukanya terbayang suatu cahaya yang jernih  dan damai, cahaya keredaan Ilahi. Di bibirnya terbayang suatu senyuman dan sampailah waktunya. Lepas ia dari tanggapan dunia yang mahaberat ini dengan keizinan Tuhan nya. Di Bawah Lindungan Ka'bah"

Di kampung, Zainab juga jatuh sakit, dan meninggal juga tidak lama selepas itu.

Ketika Zainab melangkah hari-hari akhir hidupnya di kampungnya, dia pernah menulis surat kepada Hamid di Mekah:

"Hanya kepada surat abang itu, surat yang hanya sekali itu dinda terima selama hidup. Adinda tumpahkan air mata kerana hanya menumpahkan air mata itulah kepandaian yang paling penghabisan bagi orang perempuan. Tetapi surat itu bisu. Meskipun ia telah lapok dalam lipatan,  dan telah layu kerana kerap di baca, rahsia itu tidak juga dapat dibukanya....

"Sekarang abang, badan adinda sakit-sakit. Ajal entah berlaku pagi hari, entak besok sore, gerak Allah siapa tahu. Besarlah pengharapan bertemu...Dan jika abang terlambat pulang, agaknya bekas tanah penggalian, bekas air penalkin, dan jejak mejan yang dua, hanya yang akan abang dapati....Adikmu yang tulus, Zainab"

=============

Buya Hamka menulis novel ini ketika bekerja di Medan sebagai Penyunting sebuah majalah mingguan Islam. Novelnya ini telah dijadikan filem beberapa kali, dan di pentaskan juga di negara kita baru-baru ini. Bagaimana pun saya merasakan bahawa pementasan Novel ini yang saya tonton di Panggung Negara, tidak sebenar-benarnya menjiwai gerak laku, emosi dan cita rasa pelaku-pelakunya yang hendak di sampaikan oleh penulisnya, Hamka. Namun ianya merupakan satu percubaan yang baik.

Buya Hamka, mempersembahkan ceritanya di dalam bentuk novel. Kandungannya yang bertemakan percintaan menarik pembaca muda dan tua untuk membacanya. Saya merasakan bahawa karya-karya kelasik seperti ini haruslah dari masa ke semasa di dedahkan kembali untuk menarik minat pembaca muda.

Karya sastera seperti cerita pendik dan novel banyak sekali membawa mesej yang mempunyai motif tersendiri, inilah sebenarnya nilai novel ini, mesejnya berbenetuk kemasyarakatan, kekeluargaan, adat tradisi, pendidikan, keagamaan, yang tempang dan kuno, baik atau buruk, untuk masyarakat mempelajari dan membangunkannya secara yang lebih bertamadun seperti ajaran Islam yang sebenarnya.

Tema dan pengolahan seperti inilah yang amat ketandusan di dalam dunia sastera kita pada masa kini....sehingga sastera telah dianggap sebagai satu medan usang, terpencil dari dunia moden...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....