KENANGAN JALAN AMPAS, SINGAPURA, YANG DI TINGGALKAN



Secara langsung atau tidak langsung, saya dan beberapa orang teman, dalam lawatan ke Singapura pada 20 Mei 2015, tiba-tiba sahaja di pelawa oleh agensi pelancungan yang membawa kami, untuk meninjau sejenak ke Jalan Ampas, Singapura dalam perjalanan kami ke Markaz Jamiyyah di Singapura, kerana kami telah sampai ke kota Singa ini agak terawal dari temu janji kami dengan pihak Jamiyyah tersebut.
Bagi generasi saya dan yang terlebih muda sedikit, bila di sebut Jalan Ampas Singapura, akan teringatlah kembali sejarah tempat tersebut ketika P. Ramlee meneroka bidang seni lakon untuk menerbitkan filem-filemnya yang kekal legasinya hingga ke hari ini.
Tempat itu agak tertutup dan kelihatan di tinggalkan, usang dan tidak terpelihara seperti tempat bersejarah bagi Singapura, walau pun sebenarnya di dalam tempat yang ditinggalkan itu tersimpan sejarahnya yang tersendiri, ketika seawal dekad-dekad dulu telah menyerlah usaha beberapa orang seniman Melayu yang telah dengan gigihnya mengolah bakat dan kebolehan mereka untuk mengabadikan hasil seni mereka dalam menggambarkan beberapa revolosi pembangunan masyarakat Melayu dalam nukilan cerita masyarakat bangsa Melayu yang masih agak tertinggal di belakang dalam seni lakon dan persembahan cerita masyarakat ketika itu.
Di Jalan Ampas, dari luarnya tidak kelihatan sebarang tanda yang dapat menggambarkan bahawa tempat itu mempunyai sejarahnya yang tersendiri bagi bangsa Melayu. Di sekeliling dan di sekitarnya tertegak bangunan megah yang mencakar langit dan menunjukkan kemodenan kota Singapura.
Pagarnya dibina ala kadar dengan pokok-pokok yang tidak berjaga, malah pintu pagarnya, yang di buat dari papan tebal, tertutup rapat, seperti tempat yang ditinggalkan tidak berpenghuni.
Apabila pagar itu di buka, dan kami memasuki ke dalam kawasannya, barulah kelihatan tanda sejarah perfileman Melayu, yang diusahakan oleh Shaw Brothers dengan lambang SB yang tertegak di beberapa tempat di dalam kawasan yang agak besar juga.
Rumah setingkat tempat seniman Bujang Lapok dan Ibu Mertuaku di terbitkan itu kelihatan masih tertegak. Gambar-gambar bintang filem Melayu dalam bentuk hitam putih tertera di sana sini, di pamerkan dalam bentuk aslinya yang agak jelas menceritakan wajah-wajah orang Melayu yang berusaha mempersembahkan beberapa leganda dan kisah masyarakat mereka mengikut tradisi bangsa, malah kadang-kadang menggambarkan juga pengaruh agama Islam dalam kehidupan orang Melayu pada zaman lampau.
Tempat ini sekurang-kurangnya menceritakan tentang orang Melayu, bukan hanya dari bentuk lahirnya sahaja, malah tentang cita rasa, jiwa raga dan wawasan serta perubahan yang seharusnya berlaku di dalam masyarakat tradisional mereka ketika itu, iaitu dalam nilai budaya, cara hidup, pemikiran dan perubahan yang seharusnya berlaku di dalam kehidupan mereka ketika menghadapi cabaran perubahan waktu dan kepelbagaian kaum serta perjalanan sejarah ketika negara di landa peperangan, pendudukan tentera asing, kemiskinan, termasuk kepura-puraan watak-watak Melayu yang berbagai ragam, juga lagenda Hang Tuah, Mahsuri dan kebesaran Kerajaan dan Empayar kerajaan Melayu sendiri yang pernah terukir di dalam sejarah bangsa yang besar ini.
Kami sempat melihat di sekitar kawasan itu. Kami merasakan bahawa pandangan dan lipatan sejarah yang kami saksikan itu, mungkin agak tersembunyi, atau sengaja disembunyikan dari bangsa kami, orang Melayu, sehingga tidak langsung tersedar akan kewujudannya, dan sejarah penting itu hanya tertinggal di dalam kawasan yang agak terbiar itu, selain dari seorang yang mengenalkan dirinya "Wak" yang seolah-olah akan sehidup semati dengan sejarah dan legasi Melayu itu......
"Wak" ini menyebutkan bahawa dia sentiasa berada di situ, dan akan terus berada di situ. Kadang-kadang dia akan membuka pintu dan kawasan itu untuk sesiapa yang sudi menjenguknya, kerana dia seoranglah yang menjaganya, menyiram pohon-pohon bunga yang masih tumbuh di sana sini di dalam kawasan itu, malah makan tidur, mandi manda, serta kerjanya hanyalah di kawasan itu, kerana dia hampir mengenali semuanya tentang sejarah tempat dan para penggiat seni lakon pada zaman kecemerlangannya dulu, yang banyak memberikan impak kepada prestasi Melayu dan pemikirannya, walau pun tempat itu kini terbiar seperti terbiarnya rumah berhantu, tanpa mendapat tempat di dalam sejarah bangsanya, namun dia akan tetap bertapak di situ dengan dikelilingi oleh gambar-gambar lama, peralatan lakonan seperti telefon, kamera, rumah P. Ramlee dan peninggalan lain yang amat besar baginya, di Jalan Ampas itu.
Akhirnya kami beredar dari situ, dan selepas dari ini tentunya pintu pagar papan tebal itu akan tertutup kembali tanpa disedari orang bahawa di sebalik pagar usang dan pintu papan tebal itu tersembunyi kisah sejarahnya yang tersendiri, sejarah satu bangsa yang punya identitinya yang ternama.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....