11 RAMADHAN 1436 - EPISOD KESEBELAS (28 JUN 2015) APA ITU AGAMA?


"Silakan saudara Kasim memulakan bicara tentang puisi yang telah saudara perkatakan semalam"  Pak Hariri menjemput pelajar Universiti tersebut ke depan dan menyambung "Oleh kerana saya tidak pandai bercakap tentang bidang bahasa dan sastera, saya menjemput penulis muda kita saudara Sufian untuk mengendalikan majlis ini"

Kasim dan Sufian sama-sama berjalan ke hadapan. Kasim dengan perawakan sasterawan yang berambut agak panjang, tidak bersikat rapi, dan Sufian dengan rambut bersikat rapi, tetapi terhias dengan janggut sejemput di dagunya.

Kasim membaca puisi Nizar Qabbani dalam bahasa Arab yang fasih, dan orang yang tidak memahami bahasa Arab, mulai merasa mengantuk, mahu memejamkan mata setelah kenyang memakan moreh tadi....Oleh itu Sufian meminta Kasim menterjemahkan puisi yang di bacakannya itu ke dalam bahasa Melayu.

"Ya" jawab Kasim "Saya ada terjemahannya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris" lalu membacakan terjemahannya dalam bahasa Melyu :

"Sudikah Anda Mengizinkan Saya?

"Di negara yang para pemikirnya di bunuh
Para penulis dianggap murtad dan buku-buku dibakar
Di dalam masyarakat yang orang lain di singkir
Di paksa membisu mulutnya, dan pemikirannya di larang
Malah bertanya adalah satu dosa
Saya mesti memohon maaf dan sudikah anda mengizinkan saya ?

Sudikah anda mengizinkan saya
 membesarkan anak-anak saya menurut cara saya
 tanpa di ganggu gugat dengan corak dan perintah anda?

Sudikah anda mengizinkan saya untuk mengajar, bahawa agama itu utamanya ialah untuk Tuhan
Dan bukan untuk ketua agama, para ulamak dan orang lain?

Sudikah anda mengizinkan saya mendidik anak kecil saya
Bahawa agama itu adalah untuk kebaikan, perilaku, perangai yang baik, akhlak mulia, jujur dan ikhlas,
Sebelum saya mengajarnya
dengan kaki manakah ia harus memulakan langkah 
masuk ke tandas
dan tangan manakah menyuapkan makanan ke dalam mulut"

Setelah selesai membacakan puisi itru, Kasim terus memberikan ulasan dengan berkata "Terdapat beberapa persoalan yang hendak dikemukakan oleh penyair Nizar Qabbani di dalam ungkapan yang saya bacakan tadi" kata Kasim, di samping menjelaskan bahawa puisi ini agak panjang, masih berbaki lagi selepas ini.

"Nak baca semua malam ini?" tanya seorang jemaah wanita "kami semua di sini dah mengantuk" sambungnya bergurau

"Tidak" jawab Kasim "saya hanya akan menyentuh beberapa pokok persoalan yang saya bacakan itu sahaja" sambungnya.

"Saya perkenalkan dulu penyair ini secara ringkas. Dia berasal dari negara Arab yang sedang bergolak sekarang, Syria, pernah berkhidmat sebagai diplomat. Dia juga penerbit dan penulis. Lahir pada 21 Mac 1923 seperti yang saya jelaskan semalam dan meninggal pada 30 April 1998 ..kira-kira tujuh belas tahun yang lalu, ketika saya baru berumur 5 tahun"

"Ertinya Kasim sekarang berumur 22 tahun. Bila nak kawin?" mencelah Sufian, pengerusi majlis pada malam ini, di sasmbut dengan deraian ketawa para jemaah. Hilang sedikit rasa mengantuk para jemaah warga emas di dalam majlis ini, yang kelihatan terhangguk-hangguk.

Kemudian Kasim menambah, "Pokok perbicaraan yang diperkatakan oleh penyair di dalam ungkapan yang saya bacakan tadi ialah mengenai pandangan umum yang mungkin diperhatikannya di negaranya dan negara jirannya pada satu ketika dulu, iaitu ketika ramai para pemikirnya di hukum, termasuk dihukum bunuh, buku-buku di bakar entah kerana apa, pemerintah hanya menjalankan dasarnya sendiri tanpa mengambil pandangan ramai yang dianggap orang luar, malah terdapat pula para ulamak yang tidak boleh dibantah, malah bertanya pun telah dianggap murtad, jadi pada ketika inilah Nizar ingin meminta izin untuk bertanya, bolehkah dia mendidik anaknya mengikut caranya tersendiri, tanpa terikat dengan segala ajaran dan pemikiran yang sering dipaksakan kepada ibu bapa dalam hal pendidikan ini, termasuk tentang pandangan yang agak taksub dalam agama"

"Saudara Kasim" tegur seorang jemaah muda yang duduk tidak jauh dari nya "Bilakah senario ini sebenarnya berlaku? Dan di mana?"

"Maaf, saya pun tidak pasti" jawab Kasim "Tetapi dalam sejarah negara Arab, pernah satu ketika dulu, semasa dua kuasa besar, iaitu Amerika dan Soviet Union, masih bersaing agak sengit, maka negara-negara Arab banyak yang terpengaruh dengan kuasa besar Soviet Union berliran kiri, sosialis, komunis" tegasnya "Tetapi maaflah saya tidak begitu pasti" tambahnya "mungkin kita harus pastikan hal ini. Kerana pada pandangan saya, ketika aliran sosialis menguasai negara tersebut, maka sebarang pemikiran yang bertentangan dengannya, terutamanya aliran kapitalis Barat, para penyokong Barat ini, mungkin akan di hukum termasuk di hukum bunuh kerana sesuatu kes" 

"Habis tentang pendirian alim ulamak yang di sebutkan oleh penyair sebagai taksub itu, siapa pula?" tanya jemaah yang sama

"Pada ketika itu memang timbul gerakan Islam, termasuk gerakan bawah tanah yang agak radikal, menentang dan memberontak terhadap pemerintah, dan gerakan ini memerlukan para penyokong yang tegar, fanatik, lalu timbullah fatwa yang keras terhadap pemerintah, malah mereka juga akan memaksa para penyokongnya mengikut mereka tanpa perlu bersoal jawab lagi, maka sebab itulah penyair ini berkata bahawa dia perlu mendidik anak-anaknya mengikut caranya sendiri, tanpa di paksa dengan ajaran yang mungkin tidak tepat dengan kehendak agama"

"Ya betul Kasim" celah pengerusi, Sufian "Dalam ungkapan puisi ini seterusnya saya dapat melihat idea ini ketika penyair menyebutkan bahawa dia boleh mendidik anak-anaknya tanpa dipaksa dengan ajaran dan pandngan orang lain, yang mungkin di maksudkan pandangan ekstrem ahli agama, kerana dia menyebut lagi bahawa terdapat ajaran agama yang seharusnya diberikan keutamaan iaitu tentang tingkah laku dan akhlak yang baik, tanggung jawab keluarga dan sosial, jujur dan ikhlas"

"Habis apakah kena mengenanya dengan masuk tandas dan menyuap makanan dalam konteks ini?" tanya Ustazah Mariam agak marah "Apakah salah mengajar anak-anak masuk tandas dengan kaki kiri dan keluar dengan kaki kanan, malah makan dengan tangan kanan? Salah kah?" sambungnya agak emosional

"Tidak salah" jawab Kasim 

"Habis kenapakah dia persoalkan hal ini?" kata Ustazah Mariam lagi

"Penyair tidak marah atau bantah pada pandangan saya" sambung Kasim "Tetapi dia memberikan bidang penekanan yang seharusnya diutamakan dalam mendidik anak-anak kita tentang agama. Bukan terus-terus saja mengajar dia tentang masuk tandas sedangkan dia belum pun lagi membuang air di dalam tandas, masih pakai lampin lagi umpamanya. Ajarlah dia terlebih dulu supaya jangan pukul orang, jangan ludah orang umpamanya, iaitu nilai baik dalam kehidupan seperti yang di ajar mak bapa kita dulu"

"Baiklah Kasim" mencelah Sufian "setakat ini saya rasa kita telah dapat menagmbil kesimpulan dari perbincangan malam ini, bahawa mengikut penyair ini, setiap keluarga mempunyai tanggung jawab mendidik akhlak dan budi pekerti anak-anaknya sejak kecil lagi, termasuk dalam pendidikan agama" tambahnya, kemudian menyambung "ajaran pertama tentang Tuhan dan agama ialah mendidik anak-anak supaya berperangai baik, berakhlak mulia, kerana Allah itu adalah Maha Pengasih dan Penyang, lafaz Basmalah yang pertama kita ajarkan anak-anak kita. Sayangkan orang lain, kasihkan emak bapa dan adik beradik, tidak bercakap bohong, tidak menipu, dan sebagainya"

"Habis apa kena mengenanya dengan masuk tandas dan suap makanan" marah Ustazah Mariam lagi

"Boleh diajar" jawab Kasim pula " Tetap hal-hal personal ini perlu diajar ketika kanak-kanak ini telah memahami hikmat dan falsafahnya, kenapa masuk kaki kiri umpamanya? Kanak-kanak sukar nak faham sikit, pada pandangan sayalah" jawab Kasim lagi.

"Beginilah" tiba-tiba Pak Hariri mencelah "Saya nak tutup saja majlis ini. Tetapi sebelum itu ingin saya jelaskan apa-apa yang saya faham dari perbincangan kita pada malam ini, bahawa dalam kehidupan ini mungkin lah penyair ini hendak menekankan bahawa ajaran akhlak, nilai-nilai yang baik dalam kehidupan mestilah ditanamkan sejak dari kecil lagi, maka sudut pendidikan inilah yang seharusnya diberikan keutamaan, soal peribadi masuk jamban keluar jamban itu bolehlah diajarkan apabila sampai masanya. Mungkin penyair melihat di dalam dunianya bahawa kerosakan moral, kelakuan jahat, perbuatan tipu menipu, tidak berdisiplin, hati busuk, tidak berperangai dengan perangai yang diajarkan agama, amat berleluasa di dalam masyarakat, maka hal inilah yang perlu diberikan penekanan di dalam pendidikan kita yang berteraskan agama sejak dari awal lagi...Itulah agak saya, sebab saya tidak pandai hal sastera-sastera ni, baca buku "Perukunan" saya tahulah" 

"Dengan itu majlis di tutup" tegas Pak Hariri, dan menyambung "Sehingga bertemu lagi malam esok"

Majlis bersurai agak kecoh dan bising, ramai yang mengerumuni Kasim dan Sufian, dan ramai pula jemaah wanita yang hingar bangar dengan Ustazah Mariam. tak jelas apakah yang mereka bicarakan....


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....