9 RAMADHAN 1436 -EPISOD KESEMBILAN (26 JUN 2015} KAKI MANA MASUK TANDAS?


"Siapakah antara para Jemaah yang tahu: kaki manakah yang kita langkah dahulu untuk masuk tandas?" Pak Hariri memulakan majlis dialog malam itu. Dia terpaksa memulakan pembicaraan tentang sesuatu, ketika harapan untuk mendengar Halim menceritakan pengalamannya tentang ISIS belum juga berjaya, kerana Halim belum lagi ternampak kelibatnya.

"Semua orang tahu" jawab Mat Nasir, seorang jemaah yang telah memasuki peringkat umur warga emas. "Kami tak tahu" jawab beberapa orang jemaah muda "masuk sajalah kaki kiri atau kanan pun. Sama saja" tambah mereka lagi

"Baiklah Mat Nasir" kata Pak Hariri menujukan cakapnya kepada Mat Nasir "Masuk tandas kaki mana?"

 "Masuk kaki kiri, dan keluar kaki kanan" jawab Mat Nasir dengan mudah sekali "Masuk ke tempat kotor eloklah masuk dengan kaki kiri. Dan keluar dari tempat kotor menuju ke tempat bersih hendaklah dengan kaki kanan..."

"Betul, betul Mat Nasir" seorang jemaah wanita, Mek Saodah bersuara dengan sekuat-kuat hatinya menyokong kata-kata Mat Nasir "Orang sekarang, terutamanya kanak-kanak, hampir melupakan budaya kita yang dipengaruhi oleh Islam tentang tangan dan kaki kiri atau  kanan yang di gunakan dalam hal-hal yang tertentu" sambung Mek Saodah, yang agaknya telah menjadi nenek dengan beberapa orang cucu.

"Yalah" sambung Mat Nasir lagi "banyak orang dewasa dan anak-anak yang tidak menggunakan tangan kanan ketika memberi atau menyambut pemberiaan orang" tambahnya "mereka gunakan tangan kiri, dan hal ini di lakukan oleh kanak-kanak juga kerana emak bapa mereka tidak menunjukkan teladan, atau tidak pernah menjelaskan kepada mereka tentang adab dan etika yang baik ini"

"Ustaz Nik nak kata apa?" kata Pak Hariri ketika Ustaz Nik membuat isyarat untuk memberikan pandangan. "Begini Pak Hariri" kata Ustaz Nik "ajaran al-Quran sebenarnya yang memberikan isyarat tentang kemuliaan "kanan" dibandingkan dengan "kiri" sambungnya, dan meneruskan "kita tahu kan di dalam ajaran Al-Quran diterangkan bahawa siapakah yang termasuk ke dalam "golongan kanan" dan "golongan kiri" yang kalau tak salah saya tersebut di dalam surah Al-Waqi'ah yang sempat saya semaknya sekarang" lalu Ustaz Nik membuka Al-Quran dan membaca kandungannya "ayat 27 sampai ayat 32 yang berbunyi : dan kumpulan kanan, alangkah bahagianya kumpulan kanan ini? Mereka bersenang lenang di antara pohon-pohon bidara tanpa duri, dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, dan naungan yang tetap terbentang, serta buah-buahan yang banyak..." 

Ustaz Nik berhenti sekejap, sambil membalik-balikan muka surat Al-Quran sehinggalah dia menyambung "ayat 41 pula menyebut begini : dan puak kiri, alangkah seksanya keadaan puak kiri itu? Mereka di seksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelgak..." bunyi sedih suara Ustaz Nik, lalu berkata "Tuan Puan bacalah sendiri surah ini..yang menjelaskan tentang kumpulan manusia yang dibahagikan kepada golongan kanan dan kiri, malahan di sebut juga di dalam surah Al-Isra' bahawa barang siapa diberikan kitabnya  di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya dengan sukacita.."

Banyak para jemaah yang menyedari tentang ayat-ayat Al-Quran yang memberikan isyarat tentang penyerahan kitab masing-masing pada hari akhirat nanti, iaitu yang diberikan di sebelah kanan atau kiri, serta isyarat baik atau buruknya berdasarkan yang kanan atau kiri ini. 

"Maaflah saya bergurau sedikit" tiba-tiba Pak Bakar mencelah. Pak Bakar ialah orang tua kawasan ini, yang suka bergurau, tetapi sungguh pun umurnya agak lanjut, namun kelihatannya masih tegap dan gagah kerana dia sentiasa menunggang motosikal berkuasa besar. Pak Bakar kemudian menyambung " Kalau begitu orang Amerika dan orang Eropah tergolong dalam golongan kanan, sebab mereka memandu kereta di sebelah kanan, dan orang Inggeris, juga kita yang mengambil cara orang puteh memandu, termasuk di dalam golongan kiri, kerana kita memandu di sebelah kiri" di sambut dengan ketawa oleh para jemaah

"Tetapi kita termasuk dalam golongan kanan ketika kita melalui tol" jawab Mat Saleh pula "Bukankah ketika kita melalui tol kita menggunakan tangan kanan untuk membayar tol atau mengambil tiket tol?" tanyanya...

"Baiklah" kata Pak Hariri sambil menutup dialog ini..."sekarang tahulah kita bahawa budaya kanan dan kiri adalah merupakan budaya Islam. Dan bagi kita orang Melayu, budaya ini menjadi  sebati di dalam darah daging kita. Kanan adalah baik, dan kiri, tidak baik. Sebab itulah arwah bapak saya pernah mengajar saya, kalau pakai kasut, stokin, seluar hendaklah mulai dengan kaki kanan, malah jurus air ketika mandi juga mulailah jurus kaki, lutut, pinggang, bahu dan badan di sebelah kanan, kemudian baru kiri" sambungnya...

Kita berwuduk pun mulai anggota yang kanan, kemudian baru yang kiri, dan banyak perkara baik yang lainnya di lakukan dengan yang kanan, bukan yang kiri, tangan, kaki dan sebagainya.

Akhirnya Pak Hariri membuat kejutan iaitu dengan menghulurkan buah kurma kepada para jemaah, kebanyakannya menyambut dengan tangan kanan, tetapi ada segelintirnya menyambut dengan tangan kiri, lalu Pak Habibi segera menegurnya dan menunjukkan isyarat supaya di terima dengan tangan kanan...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....