5 RAMADHAN 1436 - EPISOD KELIMA (22 JUN 2015) DEBAT IMAM SOLAT SIRI 3
Selesai terawih, Pak Hariri, maju ke hadapan dan mengumumkan bahawa debat tentang imam solat bulan Ramadhan di teruskan. Kali ini kelihatan beberapa orang pemuda yang tegap badannya, siap berdiri di dekat kerusi Pak Hariri, Haji Riduan dan Pak Kutik. Just in case....
Pak Hariri tiba-tiba menangis terisak-isak di dalam sepi, dan beberapa orang lain turut menangis, mungkin tanpa mengetahui sebabnya. Orang boleh menangis tanpa sebab sekiranya merasa sedih melihat orang di hadapannya menangis.
"Mungkin dia sedih dengan peristiwa perlanggaran Syed Monir semalam" fikir beberapa orang jemaah, sambil berbisik-bisik sesama sendiri.
"Maaf saya" tiba-tiba Pak Hariri bersuara dalam nada tangisannya. "Ada beberapa perkara yang saya tangiskan. Pertama kerana tadi saya melihat TV kita menayangkan peristiwa langsung seorang bukan Islam yang memeluk agama Islam. Seorang Muslim kita mengajar orang bukan Islam itu membaca dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab, kemudian menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Selesai mengikuti syahadah itu, maka mereka yang hadir menangis terisak-isak menyambut kedatangan saudara baru itu" sambung Pak Hariri, sambil terisak-isak lagi
"Pak Hariri menagis masa itu?" tanya seorang jemaah
Pak Hariri menjawab " Ya. saya menangis dan isteri serta anak-anak saya juga turut menangis. Gembira bercampur rasa terharu yang amat sangat" sambungnya.
"Peristiwa kedua tu apa dia Pak Hariri?" tanya pemuda itu lagi
"Peristiwa kedua ialah masa saya terima satu video dalam watsup kumpulan kami" jawab Pak Hariri.
"Pandangan kemalangan jalan raya yang membunuh tiga beranak itu kah Pak Hariri?" tanya seorang jemaah wanita dari ruang solat mereka
"Tidak. Hal itu dah jadi pandangan biasa di negara kita ini" jawab Pak Hariri
Dia menyambung "kali ini tentang video di dalam gereja Kristian di Amerika, ketika beberapa orang penganut Kristian pencinta keamanan telah berpakat untuk memilih laungan azan bagi diperdengarkan di dalam gereja itu, memandangkan bahawa azan mempunyai irama dan pengucapan keamanan yang menyelinap masuk ke dalam ruh manusia, pada pandangan mereka"
"Seorang muazzin yang nyaring dan merdu suaranya di panggil. Saya menangis mendengarnya. Irama azan dan kemerduan suara tukang azan amat mendayu-dayu, menegakkan bulu roma saya. Saya amat terharu, terutamanya bila mengenagkan bahawa mungkin banyak orang Islam sendiri yang tidak menyedari hal ini, malah tidak menghayati makna dan mesej keamanan azan ini.." tambah Pak Hariri
Pak Hariri kemudiannya tersedar bahawa dia telah membuat acara pendahuluan kepada debat malam ini agak panjang, dan mohon maaf kepada semua jemaah, terutamanya kerana telah menangis begitu yang menyebabkan orang lain juga turut menangis...
"Sekarang saya menjemput Pak Kutik untuk memulakan majlis kita" kata Pak Hariri "Tetapi sebelum itu saya ingin mengubah sedikit tajuk dan tema majlis kita" bersuara Pak Hariri seterusnya.
"Ubah tajuk pasal imam Arab dan Melayu Pak Hariri ?" datang pertanyaan dari seorang jemaah. "kalau ubah tajuk saya tak setuju" sambungnya "saya nak balik saja, makan cucur udang goreng di rumah lagi best" kata jemaah itu lagi sambil berjalan menuju pintu keluar
"Nanti dulu saudara" kata Pak Hariri "Tajuk tak ubah. Cuma nama program kita di ubah, bukan debat, tapi dialog. Dialog maknanya perbahasan cara sihat untuk mendapatkan satu pemikiran yang baik, dan setiap orang yang berdialog akan hadir dengan fikiran yang terbuka, malah sanggup menerima pandangan yang terbaik, maknanya bukan pandangannya saja yang paling baik" terang Pak Hariri panjang lebar. Kawan tadi tidak jadi keluar, mungkin dia tangguh dulu tujuannya hendak balik untuk makan cucur udang di rumahnya itu
"Ok Pak Kutik. Bagaimana pandangan seterusnya?" Pak Hariri memandang kepada Pak Kutik.
"Terimakasih Pak Hariri" sambut Pak Kutik
"Saya menyambut baik perubahan nama program kita ini" sambungnya. Kemudian meneruskan "memang debat selalunya di gemari oleh ahli politik yang tegar, kerana dia akan hanya mengemukakan pandangannya, yang pada anggapannya pandangan itulah saja yang benar dan paling baik, walau pun banyak orang lain tidak bersetuju"
"Pak Kutik lepas geram nampaknya!" tiba-tiba bersuara seorang jemaah berjanggut panjang.
"Tidak geram" jawab Pak Kutik "Tetapi sebagai ahli jemaah surau ini, saya rasa tidak ada apa-apa fahaman politik secara partisan dan fanatik. Buktinya kita semua menunaikan solat dan program ilmu di sini tanpa konfrantasi. Aman damai dan amat konstruktif" balas Pak Kutik.
"Haji Riduan macam mana?" Pak Hariri menujukan pertanyaannya kepada peserta kedua.
"Betul kata Pak Kutik tu" jawab Haji Riduan "kita berbicara secara bebas, tanpa perkauman, fanatik keagamaan dan sebagainya" sambung Haji Riduan. Kemudian meneruskan kata-katanya "Saya minta maaf kepada jemaah, khususnya teman kita semalam...Tuan Syed Monir. Saya tidak bermaksud untuk membangkitkan sebarang rasa perkauman, atau suku bangsa dalam hujah saya, sehingga menyebabkan Tuan Syed Monir merasa terhina. Saya keturunan Bugis, dan saya tetap merasakan bahawa saya adalah orang Islam anak Malaysia yang jati, sebab itu kalau orang menyebut tentang keturunan Bugis sebagai lanun dan sebagainya, saya tidak terasa di hina. Kita semua, terdiri dari banyak keturunan Jawa, Kadazan, Bajau, Banjar, Melayu dan lain-lain, tetap merupakan masyarakat Malaysia dan hidup dalam aman damai di negara kita. Bersatu dalam kepelbagaian. Kata orang Puteh "Unity in Diversity"
"Bagus Haji Riduan" potong Pak Hariri.
"Sebenarnya begini Pak Hariri" sampuk Pak Kutik pula."Saya ingin membuat satu pengumuman" sambungnya, disambut dengan suara seorang jemaah muda kaum wanita "Pengumuman apa pula? Pengumuman puasa telah di buat. Pengumuman Hari Raya? Itu tugas penyimpan Mohor Raja-Raja Melayu" di sambut dengan ketawa oleh jemaah.
"Saya dan Haji Riduan telah bersetuju untuk tidak meneruskan perbahasan ini" umum Pak Kutik "Kami telah cukup memberikan hujah dan pandangan kami"sambungnya
"Betul tu Pak Hariri" sambut Haji Riduan "enough is anough, cakap Mat Saleh sikit. Jemaah di sini keseluruhannya berotak geliga seperti kata P. Ramlee, jadi kami berdua merasakan cukuplah dengan pandangan yang telah kami berikan dua malam ni, malah kepala saya nasib baik di pelihara Allah tidak pecah dek tiongkat khutbah tu" sambung Haji Riduan dengan senyuman. "Kita fikirkanlah sendiri, bawa Imam luar patut atau tak patut, berikan peluang kepada guru-guru dan para murid tahfiz juga perlu atau tidak perlu. Kami dah sebut semua pro dan kontranya. Kami bukan pembuat dasar untuk nak paksa JAKIM buat macam mana, atau Majlis Agama patut buat itu dan ini, kalau tidak kami akan bantah dan protes. Itu tugas mereka dan mereka tentu punya orang bijak pandai sendiri."
"Ya betul Pak Hariri" tambah Pak Kutik lagi "saya juga bukan nak bodek sapa-sapa. atau pro Arab dan anti bukan Arab. Kalau pandangan saya salah, tak payah ambik, itu saja" kata Pak Kutik.
"Jadi kita berhenti sajalah majlis kita ini" kata Pak Hariri.
"Kesimpulannya macam mana?" bersuara serentak dua tiga orang jemaah di barisan belakang
"Dalam kepala masing-masing" jawab Pak Hariri
Jemaah terdiam sebentar.."Nanti dulu Pak Hariri" tiba-tiba satu suara kedengaran dari pintu besar surau, rupa-rupanya Syed Monir yang bersuara, dan dia berjalan masuk ke depan, kali ini tak ada tongkat di tangannya, namun dua tiga orang anak muda yang berdiri dekat Pak Hariri dan dua orang pembicara kelihatan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Dia mara ke hadapan, dan tiba-tiba memeluk Pak Hariri, di ikuti dengan memeluk Pak Kutik, dan akhirnya memeluk Haji Riduan. Dia mengambil mikropon dari Pak Hariri, dan dalam suara yang terharu, tertahan-tahan dia memulakan bicara "Ya saya mohon maaf atas emosi semalam yang mendorong saya berlaku kasar. Mohon maaf terutamanya kepada Haji Riduan, It was very silly behaviour of mine" katanya dalam bahasa Inggeris, yang entah betul atau tidak nahunya. "Mulai malam ini saya belajar bahawa kita orang Islam adalah satu. Tindakan kita selalunya berkonsepkan keamanan dan bertolak ansur, sebab itulah kita masih boleh bertahan dan mempertahankan cara hidup aman damai masyarakat kita..." sambungnya, disambut dengan pekikan Allahu Akbar oleh semua jemaah lelaki dan perempuan dalam surau itu" terhenti sekejap Syed Monir, apa bila dia pula yang merasa sebak, macam Pak Hariri tadi, mulai terisak-isak.
Pada saat ini ramai jemaah yang datang memeluknya, menyapu-nyapu wajahnya yang tampan, dan dia sempat menjeling ke arah jemaah wanita, terpandang dia kepada ibunya, yang sedang menyapu air mata dengan sapu tangan, dan disebelahnya, seorang anak gadis iras gadis Arab, tunangnya, cantik rupawan
"Terimakasih Syed Monir, Haji Riduan, Pak Kutik dan semua ahli jemaah" tutup kata Pak Hariri..."Tapi sebelum kita bersurai, dan balik makan cucur udang di rumah....."
"Cucur udang apa Pak Hariri?" kata seorang jemaah nakal, tetapi Pak Hariri tidak melayannya.
"Saya nak umumkan, yang saya telah menerima panggilan anak muda yang datang jumpa saya tempoh hari, dia akan datang berkongsi pengalaman dengan kita malam esok"
"Pengalaman makan cucur udang?" satu suara lain berbunyi di ikuti ketawa yang berderai-derai oleh kawan-kawannya..
"Pengalamannya berjuang di Syria dengan ISIS" tegas Pak Hariri
"malam esok insya' Allah"
Comments
Post a Comment