4 RAMADHAN 1436 -EPISOD KEEMPAT (21 JUN 2015) DEBAT IMAM SOLAT SIRI 2


Pak Hariri tiba terlambat untuk Terawih hari ini, dia sakit perut, banyak sangat makan bubur kacang sahur semalam. Jemaah mulai berfikir, mungkin Pak Hariri tak sanggup lagi menjalankan debat tentang imam sembahyang yang agak sengit semalam. Kaum ibu dan generasi muda mulai menunjukkan taring, berterus terang mengeluarkan pandangan, di luar jangkaan para jemaah veteran dan warga tua.

Tetapi menjelang Terawih, Pak Hariri muncul. Wajahnya berkerut-kerut, mungkin terasa stress juga semalam, dan mungkin juga merasa menyesal kerana mencadangkan di adakan perdebatan fasal imam Arab datang ke Malaysia bulan puasa ini.

"Baiklah. Mana Haji Riduan dan Pak Kutik, saya tak nampak" bersuara Pak Hariri sambil matanya berpusing keliling surau mencari para pembicara itu.

"Ada sini" jawab Haji Riduan di sebelah luar tempat solat lelaki...
"Pak Kutik mana?". Pak Hariri bertanya sambil kelihatannya agak cemas, kerana hampir lima minit tak berjawab dan tidak kelihatan kelibat Pak Kutik. Kalau Pak Kutik tak ada macam mana nak berdebat lagi, kalau dah mengaku kalah, fikirnya...

"Sekejap Pak Hariri" tiba-tiba Pak Kutik bersuara, baru keluar dari bilek air, mungkin mengambil wuduk pula untuk berdebat seterusnya. "Baru keluar tandas" tambahnya sambil menggulung-gulung kain sarungnya yang dipakainya agak singkat hampir mencecah lutut.

Mereka bertiga segera menganbil tempat dan Pak Hariri tanpa melengahkan masa, memulakan majlis.

"Saya nak ringkaskan perbincangan kita semalam begini" tegas Pak Hariri, dan menyambung "Kita bincang pasal Imam solat, terutamanya solat terawih dalam bulan Ramadhan ini. Persoalannya, apakah kelebihan atau kelemahannya, kita membawa imam Arab ke negara kita? Kedua apakah kedatangan mereka akan menambahkan berkat ibadat kita?..Ketiga, apakah para imam dan pelajar sekolah atau kolej tahfiz kita tidak setanding dengan para imam impot ini?."

"Biarkan saya mula" Haji Riduan mencelah tanpa dapat di tahan-tahan lagi oleh Pak Hariri "Imam Arab ada yang baik, bagus bacaannya, dan ada yang kurang baik, terutamanya tidak menguasai ruh dan acara kita bersembahyang, doanya, zikirnya, malah bersalaman dengan jemaah setelah selesai solat, juga tak tentu hujung pangkalnya....dia tak faham budaya kita, macam mana nak jaidi ketua, imam solat?"

"Sabar Haji Riduan" celah Pak Hariri "Saya akan bagi peluang Haji bercakap, tetapi kerana dah mula bercakap, sekarang silakan Pak Kutik menjawab".

"Kalau pun tak ada berkat pada orang Arab, tetapi imam ini biasanya datang dari Makkah dan Madinah, tempat suci, tentu ada berkatnya...Kemudian mereka ini sedap bacaannya, suaranya berdengung dan nafasnya panjang...orang kita tak dapat ikut macam tu...bacaan pula berirama Imam Sudais!! Apa lagi yang kitak nak?"

"Tapi bagaimana dengan Imam Arab yang datang dari tempat lain?" Tanya Haji Riduan, "Dari Palestin, Syria, Mesir dan sebagainya" sambungnya lagi "Mereka datang dari negara yang berperang, yang tak kenal bulan puasa atau bukan bulan puasa untuk berbunuhan, menumpahkan darah, apa kah berkat namanya negara-negara itu?..."

"Negara mereka saja yang berperang dan mengalami kerisis, tetapi mereka orang alim, banyak ilmu, hafal Quran, pandai tajwid, sebutan dan makhrajnya tepat, itulah  yang kita mahu" Pak Kutik mematahkan hujah Haji Riduan...

"Baiklah saya akui semuanya itu, Tetapi apakah imam kita tak menguasai bacaan, tajwid, makhraj dan tidakkah juga menghapal Quran?" Jawab Haji Riduan. "Kita ada ratusan sekolah tahfiz, berselerak di sana sini, dengan bilangan murid yang banyak, apakah mereka ini nak di simpan di dalam peti sejuk sahaja ketika tibanya bulan Ramadhan?" tambah Haji Riduan. "Saya pernah dengar imam kita membaca ayat-ayat Al-Quran dalam solat terawih, tak ubah seperti suara dan lagu imam Sudais, sehinggakan banyak orang mengatakan Imam Sudais datang Malaysia" tambahnya, disambut dengan ketawa oleh para jemaah

"Tapi Haji Riduan" potong Pak Kutik pula, "taukah kita bahawa ada kalanya para pelajar sekolah tahfiz itu tidak berani tampil menjadi imam terawih apa bila di minta? Kenapa?"

"Sebab tidak di beri peluang" jawab Haji Riduan...

"Di beri peluang, malah di pelawa, tapi mereka tak berani...dan yang senior pun buat syarat, kalau panggil tiga orang tak mengapa, seorang jadi imam, dua orang lagi back up" jelas Pak Kutik pula..."Nampaknya kita kena tinjau kenapakah sekolah atau kolej tahfiz ini mempunyai pelajar yang tidak yakin diri...." tambah Pak Kutik

"Tapi saya tetap tidak setuju nak bawa imam luar datang sini, kita kena berdikari...Arab pula tu..."kata Haji Riduan.

Tiba-tiba terdengar bunyi jeritan orang ramai di pintu masuk surau, bising dengan suara gerun dan takut, seorang anak muda berbadan sasa kelihatan meluncur lari menuju kepada Haji Riduan sambil membawa tongkat yang imam gunakan untuk baca khutbah Jumaat, sambil berlari dia memekik "Nah ini dia Haji Riduan anak Arab yang kamu bencikan itu...ambik ini" katanya sambil mengangkat tongkat itu untuk memukul kepala Haji Riduan, tetapi jemaah segera menyerbu menghalangnya, dan ada yang merampas tongkat itu sambil menenangkannya...

"Sabar, sabar Syed..." kata seorang jemaah muda kawan orang yang mengamuk "Dia pandai-pandai mengata orang Arab, mencerca orang Arab, aku ni keturunan Arab,  aku anak Arab" berbunyi suara anak muda yang di panggil "Syed" itu, memekik dengan lantang, sehingga akhirnya suara bisingnya lesap di luar surau apa bila jemaah memimpinnya keluar majlis.

Semua orang amat terperaanjat dengan peristiwa ini, terutamanya Haji Riduan yang hampir pecah kepalanya sekiranya pukulan tongkat tadi menghinggap di ubun-ubunnya..


Pak Hariri rupa-rupanya hilang dari kerusinya, dia berlari menyelamatkan diri kerana sangkanya pemuda tadi akan membelasahnya...

Setelah selesai pergelutan, dan suasana kembali tenteram, barulah Pak Hariri masuk ke dalam menuju kerusinya. Dalam keadaan yang panik dan takut, dia bersuara "Bagi saya masa untuk minum air, dan kita bercakap lagi selepas ini. Tunggulah" katanya sambil bangun, namun dia kembali bersuara "Apakah jemaah setuju kita sambung lagi, atau tutup sahaja majlis ini di sini?"

"Sambung lagi Pak Hariri. Sambung sampai selesai...." pekik suara orang ramai, lelaki dan perempuan...

Tunggu Episod seterusnya...














Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....