GUNUNG KINABALU - PESTA BOGEL - DAN APA LAGI?

Selesai majlis Mesyuarat Agong Perkim pada 7 Jun 2015, tanpa menunggu makan tengah hari lagi, kami ramai-ramai bersedia dan bergegas ke lapangan terbang KK untuk pulang ke KL. Anak-anak dan keluarga peserta dan perwakilan banyak menghantar mesej minta keluarga di KK segera balik saja bila telah habis urusan.

Sesampai di KL baru saya dengar rupa-rupanya banyak berita rasmi akhbar dan bisik-bisik media sosial yang menceritakan tentang gegaran susulan yang berlaku di Ranau dan sekitar Gunung Kinabalu, sehingga terasa sampai ke KK....malah TPM yang melakukan lawatan ke tempat bencana ini turut sama bergegas menyelamatkan diri ke tanah lapang apabila terasa gegaran bumi.

Agaknya rasa sayang dan kasih keluarga di Semenanjung terhadap orang tersayang di KK itulah yang menyebabkan agak lebat hujan mesej yang di hantar supaya segera beredar dari KK.

Orang Sabah, terutamanya di sekitar banjaran Gunung Kinabalu masih segar teringatkan kelakuan sumbang beberapa orang Mat Saleh yang bertindak membogelkan diri ketika berjaya menakluki gunung yang tinggi itu. Cara perayaan untuk meraikan kejayaan mereka ini menyinggung hati penduduk Sabah, tanpa mengira kaum dan agama. 

Yang percayakan hantu jembalang dan dewa-dewa akan segera memberi amaran bahawa perbuatan terkutuk itu akan mengundang bala bencana kepada pusat pelancungan yang terkenal itu....Tunggulah saja, kata mereka !!

Yang tidak percaya apa-apa agama pun, marah dan menyumpah perbuatan itu, kerana budaya mereka tidaklah sehingga menaggalkan pakaian kesleuruhannya, membogelkan diri, sungguh pun sesetengah kaum di Sabah sering bercawat dan berkemban ketika melakukan aktiviti tarian dan kesenian lainnya, tetapi mereka tidak buka semua...

Kelakuan berbogel itu telah berlaku seminggu yang lalu, atau lebih sikit...tiba-tiba berlaku gempa bumi yang amat ganjil ini, kerana selama ini mereka tidak mengalami sebarang gerak gempa begini, dengan mengurbankan banyak jiwa yang tidak berdosa, "itulah, kerana Mat Salih jahat itulah perkara ini terjadi.." kata mereka

Mengikut sumber keselamatan yang di siarkan TV Malaysia, Polis sedang menjejaki mereka yang berbogel itu untuk ditahan bagi di ambil kenyataan mereka, kerana perbuatan mereka adalah bercanggah juga dengan peruntukan undang-undang negara....Polis percaya mereka belum meninggalkan negeri Sabah..

Seorang yang tidak beragama berkata "Sepatutnya gempa itu berlaku ketika mereka berbogel di atas gunung itu, barulah mereka tahu langit tinggi rendahnya...cari mereka...tangkap mereka..." 

Orang Islam sememangnya di berikan amaran sentiasa oleh ajaran agama, bahawa manusia ini akan sentiasa di uji dalam berbagai-bagai bentuk, termasuk bencana alam dan bala bencana lain yang disebabkan oleh bumi, langit, yang mempunyai hubungan dengan kosmos dan sebagainya. Malah Al-Quran menjelaskan bahawa ketika bala bencana melanda, maka bala itu tidak hanya menimpa orang-orang yang melakukan kezaliman sahaja, malah menimpa kesemuanya...

Bala menimpa negara kita agak besar seperti banjir di beberapa buah negeri Pantai Timur baru-baru ini. Dan kini, negara kita yang tidak punya gunung merapi pun, tiba-tiba Gunung Kinabalu seolah-olah berubah menjadi gunung merapi dalam bentuk kecil sahaja, tetapi sudah cukup menggerunkan semua orang, sehingga saya pun hampir-hampiur tidak mahu ke KK pada hari kejadian itu, Jumaat lalu ....

Hingga ke saat saya hampir berangkat balik KL masih banyak cakap-cakap tentang gegaran susulan di Sabah, dan berbangkit semula cerita berbogel di atas puncak Kinabalu yang hampir-hampir reda itu...

Kita tidak mengetahui bilakah dan kenapa Allah menurunkan bala bencana kepada manusia... Yang kita tahu bahawa bala bencana sering diturunkan Allah untuk ujian dan keinsafan kita, sama ada kerana kita menzalimi diri sendiri atau menzalimi diri orang lain, namun oleh kerana bala bencana tidak hanya menimpa orang-orang yang membuat salah dan durhaka kepada Allah, maka setiap orang haruslah berusaha mengelakkan bala bencana ini dengan amalan yang  di tunjukkan oleh agama untuk kesejahteraan semua, dan berusaha memperbaiki keseluruhan sistem dan jentera kehidupan ini semuanya untuk setiap orang mengikut sunnah Allah dan sunnah alam yang ditentukan oleh Maha Pencipta, Allah yang maha berkuasa......

Namun KK tetaplah KK, dan Sabah tetaplah Sabah, akan aman dan tenteram, kerana bala bencana ini amat luas dan menyeluruh, muka bumi ini juga amat luas terbentang dengan gunung ganang, lautan dan sungainya, maka bala benana boleh turun di mana-mana saja di atas muka bumi ini....Berhati-hatilah kita dalam tindakan dan kelakuan masing-masing...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....