TAHALUF SIYASI TERKINI: PENDIRIAN TIMBALAN PRESIDEN PAS


Saya menulis tanpa sebarang perspektif peribadi, termasuk peribadi saya yang menulis. Saya juga tidak melihat isu ini dari dasar kepartian yang sempit. Malah saya melihat dari sudut kemaslahatan umum, kesejahteraan ummah dan keagongan agama sendiri.

Pendirian yang disebutkan oleh Tuan Ibrahim tentang gabungan politik dengan parti lain, (menurut kefahaman saya dari kenyataannya pada 8 Jun sebagai reaksi terhadap kemungkinan kerjasama dengan UMNO), merupakan satu kenyataan yang menegaskan bahawa kerjasama politik, apa lagi gabungan dan kerjasama parti politik bagi tujuan mendapatkan kemenangan politik, contohnya di dalam Pilihan Raya dan mendapatkan kuasa, haruslah dilakukan dengan berhati-hati.

Saya mengambil kenyataan ini sebagai satu pendirian yang positif dari pimpinan sebuah parti politik dan satu kenyataan tegas berdasarkan prinsip dan maslahah umum bagi negara dan bangsa serta agama kita di negara yang amat unik ini.

Saya menyebut begitu kerana sekiranya kepimpinan politik membuat satu keputusan, terutamanya dengan matlamat untuk kepentingan politik atau mendapatkan  political mileage dan mendapatkan kuasa semata-mata, maka ketika itu mungkin keputusan ini tidak mencerminkan prinsip dan falsafah perjuangan sebuah parti politik itu apa lagi perjuangan asalnya yang berdasarkan matlamat parti itu ditubuhkan.

Keputusan pimpinan politik bagi partinya adalah amat penting untuk perjuangan jangka panjang dan jangka pendeknya. Tersilap langkah, maka akibatnya akan berlakulah berbagai-bagai kepincangan dan kecelaruan perjuangannya ketika berpakat dengan parti-parti yang lain berdasarkan kerjasama yang telah di janjikan.

Mungkin ahli-ahli dan para pengikut parti tidak semuanya dapat melihat wajar atau tidak wajarnya kesepakatan politik berbagai parti ini. Oleh itu segala kesilapan dan keterlanjuran gabungan yang mengakibatkan kesan buruk dan negatif terhadap sesebuah parti itu adalah merupakan dosa yang ditanggung oleh kepimpinan parti itu sendiri, dan sekali gus merupakan penipuan perjuangan terhadap ahli dan penyokong parti tertentu itu malahan melibatkan seluruh ummah sendiri sekiranya kesilapan itu berkaitan dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiah sendiri.

Sikap positif yang di ambil oleh PAS kali ini ialah mendapatkan keputusan berdasarkan syura atau perundingan ramai. Hal ini amatlah penting untuk mengelakkan keputusan peribadi pimpinan parti yang mungkin dipengaruhi oleh emosi atau kepentingan lain, kerana Islam sendiri sentiasa berpegang kepada dasar syura ketika mengambil sesuatu keputusan, supaya dalam jangka pendek dan jangka panjangnya keputusan itu tidak memerangkap diri sendiri, atau menyebabkan orang lain menangguk di air keruh

Pandangan saya di sini hanyalah tentang modes operandi dan kaedah mengambail keputusan yang seharusnya di amalkan oleh mana-mana parti politik ketika bersetuju untuk bergabung atau tidak bergabung dengan kumpulan atau parti politik lain. Saya tidak bermaksud di sini untuk memberikan justifikasi saya sama ada keputusan yang di buat dalam kes ini betul atau tidak, kerana hal ini adalah mengikut pertimbangan pimpinan PAS dan para ahlinya. 








Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....