SABAH - GEMPA BUMI - PERKIM - TUN M


Pagi 5 Jun 2015 muncul dengan serba ketidak tentuan...Tiket pesawat telah saya beli untuk ke Kota Kinabalu (KK)..pagi itu baca akhbar on line yang memberitakan bahawa pantai barat Sabah di landa gempa bumi 6.0 skala rektar, yang kesannya dapat di rasakan juga di ibu kota Sabah, KK.
Tujuan ke KK ialah untuk menghadiri Mesyuarat Agong PERKIM atas sifat saya sebagai Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM. Di samping itu terdapat juga beberapa acara lain yang akan diadakan sempena dengan Mesyuarat tersebut.
Pada mulanya terlintas di hati untuk membatalkan sahaja perjalanan ke Sabah, kerana gempa bumi sering juga berlaku sebagai ulangan kepada gempa yang telah terjadi.
Akhirnya setelah berfikir berulang-ulang kali, dan berdasarkan gempa bumi yang telah melanda pada pagi hari itu agak kecil dan tidak menjangkau kemusnahannya ke KK, maka bertawakallah saya kepada Allah untuk meneruskan perjalanan ke KK.
PERKIM merupakan pertubuhan dakwah Islamiah yang ditubuhkan sejak zaman Perdana Menteri pertama Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putera. Pada peringkat awalnya saya turut terlibat dengan aktiviti PERKIM ketika menjadi tenaga pengajar di Institut Dakwah Islamiah PERKIM yang  mula beroperasi juga ketika Al-Marhum Tunku.
Kebijaksanaan Tunku ternyata mempunyai strategi dan berdiplomasi ketika Tunku tidak menamakan Pertubuhan ini sebagai Pertubuhan Dakwah (missionary) yang mungkin pada ketika itu agak sensitif, namun Al-Marhum menamakannya sebagai Pertubuhan Kebajikan Islam Malaya, supaya nama ini membayangkan fungsi dan matlamatnya sebagai sebuah pertubuhan kebajikan, tetapi dalam masa yang sama segala aktiviti dapatlah di salurkan melalui kebajikan seperti aktiviti dakwah dan pendidikan.
Sebagai meneruskan penyertaan saya di dalam pertubuhan ini yang telah begitu lama, maka saya merasa agak kerugian sekiranya saya tidak turut serta menghadiri persidangan di KK kali ini. Dilemanya apakah KK selamat?
Alhamdulillah pesawat saya terbang dengan lancar, dan bila menghampiri lapangan terbang KK, saya mengintai ke bawah, nampaknya semua bangunan, tinggi atau rendah, tertegak sahaja, tanpa kelihatan yang condong atau rebah ke bumi...Insya' Allah selamat KK dan selamatlah orang yang berada di KK...
Malamnya juga tidak terasa sebarang gegaran, atau kedengan lampu serta perkakas di dalam bilik hotel berbunyi atau berlanggar sesama sendiri, maknanya keadaan adalah biasa...Al Hamdulillah.
Paginya, Sabtu 6 Jun, KK masih berwajah biasa, cuaca panas menyinar, tidak ada tanda-tanda gempa atau kedudukan muka bumi yang berubah, semuanya biasalah...Cuma dapat mendengar korban jiwa beberapa orang pendaki Gunung Kinabalu....dan usaha menyelamatkan yang lain sedang di usahakan...

6 Jun 2015 jam 10 pagi bermula sesi pagi dengan majlis ilmu tentang Amanat Dakwah oleh Yang Dipertua PERKIM Tun Dr Mahathir Mohamad. Tun amat bijak menyampaikan syarahannya, tanpa sepatah kata atau pergerakan badan yang menunjukkan bahawa beliau sedang berbicara tentang kerisis politik dan hal ehwal negara yang selama ini menenggelamkannya dalam kancah konflik dan ribut.
Dia bersahaja menyampaikan ucapannya tentang tajuk kesukaannya, iaitu kefahaman Islam...!!!

Pagi ini Tun sampai terlewat setegah jam, semalam Tun berada di PWTC dengan peristiwa sendiri yang berlaku di sana. Tun tentu merasa keletihan, tetapi masih bertenaga untuk datang ke KK bagi Majlis ini dan mempengerusikan beberapa mesyuarat yang lain pada 6 dan 7 Jun 2015.

Itulah secebis kisah PERKIM, KK, Sabah dan Tun M.

Sama seperti tahun-tahun yang lalu, Mesyuarat PERKIM tetap berlangsung. Cakap-cakap, makan-makan, hujah menghujah, dan masa akan berjalan seterusnya....sehinggalah tahun depan apabila satu fasa baru PERKIM akan di buka semula....




Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....