1 RAMADHAN 1436 - EPISOD PERTAMA (18 Jun 2015) RAMADHAN DATANG LAGI

RAMADHAN DATANG LAGI
Dari malam menjelangnya Khamis 18 Jun 2015 dia telah berniat akan berpuasa esok. Bukan hanya niat berpuasa esok hari sahaja, malah niat untuk berpuasa sebulan bulan Ramadhan tahun ini "kerana Allah Ta'ala", takut-takut dalam berpuasa Ramadhan nanti, terlupa niat, tertidur, maka niat sebulan puasa, mengikut fatwa yang di dengarnya, sudah cukup.

Tidur malam pertama Ramadhan tahun ini, sama sahaja seperti tahun-tahun yang lalu, kerana Ramadhan kali ini bukanlah Ramadhan pertama yang menjelma di dalam hidupnya sebagai orang mukallaf yang wajib berpuasa, malah bulan ibadat ini telah menjelang buat kesekian kalinya di dalam hidupnya yang agak lanjut masanya ini.

Dia sengaja cuba melupakan bayang-bayang orang kesayangannya yang telah pergi, yang secara tiba-tiba menjelma di dalam ingatannya, setibanya malam awal Ramadhan ini, dan terbayang di dalam kepalanya, seolah-olah orang yang telah pergi itu kembali bersamanya.....

Bagaimana pun, hal ini tidaklah  dapat dielakkan, kerana setiap kali menjelangnya Ramadhan, setiap kali pulalah hal ini berlaku, terutamanya ibu bapa dan adik beradik kandung yang telah pergi dulu, seolah-olah kembali bersamanya.

Dia membaca Al-Fatihah dan ayat al-Kursi untuk ruh mereka, sambil mencuba untuk melelapkan matanya, supaya dapat bangun pada masanya untuk bersahur esok, apa bila telefon bimbitnya berbunyi mengikut masanya yang telah di rakamkannya, iaitu jam 4.45 subuh.

Ketika dia masih kecil dulu, di rumah kampungnya pada pagi Ramadhan begini, dia tidak perlu bimbang, kerana waktu akan bersahur, dia akan dikejutkan oleh ibu atau bapanya. Kadang-kadang dia telah terjaga mendengar ibu menggoreng ikan kering, dan baunya menusuk masuk ke dalam hidungnya, tetapi dia sengaja menunggu ibu memanggilnya, barulah dia akan bangun. Setelah bangun,  terhoyang hayang menuju ke dapur tempat basuh  pinggan mangkuk, untuk membasuh mukanya. Pada masa itu tidak ada air paip, dan tidak ada lampu letrik, malah tidak ada pun dapur gas.

Kini dia berdua sahaja dengan isterinya. Bangun sahur, dan sama-sama turun ke dapur, tanpa perlu memasak nasi, menggoreng ayam atau ikan seperti yang dilakukan ibunya ketika dia kecil di kampungnya dulu, kerana kini mereka hanya membakar roti, menyediakan jus, dan bersahur ala kadar, ringan dan tanpa banyak lemak, minyak dan bahan-bahan berat lainnya, yang kini di katakan "makanan yang kurang sihat" menyebabkan kegemukan, kolestrol, dan entah apa-apa penyakit lagi, yang pada masa itu tidak pernah dikenali sangat oleh orang kampung...

Ketika bersahur, mereka berdua hanya saling pandang memandang wajah, satu dengan yang lain, tidak banyak berkata-kata. Hanya TV di depan sahaja yang berbicara, entah apa tajuknya tidak di sedarinya, namun yang diketahuinya ialah pembicaraan tentang kelebihan Ramadhan, yang telah di dengarnya kesekian kali juga, berpusat kepada fadhilat akhirat dan ibadat...

Mereka berdua akhirnya turun menuju ke surau berhampiran untuk bersolat Subuh pada pagi pertama Ramadhan ini. Di dalam keretanya, yang hanya memakan masa dua tiga minit ke surau itu, dia rupa-rupanya mengalirkan air mata, yang dia sendiri tidak mengetahui sebab musababnya, kerana dia tidak dapat memastikan kenapakah dia harus menangis pagi itu.

Suasana pagi terlalu hening, suara bilal melaungkan azan subuh amat mendayu-dayu, subuh pertama Ramadhan ini, dan air matanya semakin lebat turunnya, berbalam-balam matanya, seolah-olah ia sedang memandu di dalam hujan yang lebat....

Astaghfirullahal-Azim, la ilaha illallah...ia  bersuara di dalam sepi...Ya Allah, Engkaulah yang mengetahui perasaanku...terlalu banyak yang terlintas dan terbayang...kuat dan tetapkan imanku ya Allah..

Dia memasuki surau pagi itu, seperti pertama kalinya dia menjejaki ke sana, sedangkan dia telah lama berjemaah di sini. Rupa-rupanya pagi Ramadhan hari pertama ini menjelma dalam wajah baru dan suasana baru, tanda bermulanya satu episod baru dalam hidupnya kini, walau pun Ramadhan telah kesekian kalinya menjelma di dalam hidupnya.. 

Ramadhan membuka tirai hidup yang baru...babak baru..yang harus di manfaatkan sebaik-baiknya....semuanya kelihatan seakan-akan baru di situ menjelang subuh pagi itu....pada hal segala peralatan surau adalah lama dan yang telah sedia ada....itulah agaknya hikmah Allah yang menentukan ketibaan bulan mulia untuk umat Islam menyedari bahawa hidup ini sentiasa berubah-ubah, dan sememangnya terdapat rahsia di dalam kejadian Allah itu....

Dia mengambil tempat di dalam saf untuk sembahyang sunat qabliyyah Subuh, tiba-tiba bahunya di tepuk dari belakang, dia segera menoleh, rupa-rupanya seorang insan, lebih muda darinya, tersenyum kepadanya, antara kenal dan tidak kenal, dia berjabat tangan, dan anak muda itu memeluknya,,,,baru akan ditanya asal usul dan hubungan mereka, apa bila bilal telah melafazkan iqamah untuk sembahyang Subuh....

Lepas solat Subuh mereka akan bertemu dan berbual,,,,Sementara itu dia akan cuba mengingatkan siapakah gerangannya anak muda ini...??








Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....