2 RAMADHAN 1436 - EPISOD KEDUA (19 JUN 2015) KENANGAN LAMA DI KOLEJ

KENANGAN LAMA DI KOLEJ
Dia hampir tidak begitu kyusuk ketika menunaikan solat subuh hari pertama puasa ini, kerana tanpa disedari pemikirannya sedang bergelut berusaha untuk mengingatkan orang yang memeluknya tadi yang masih bermain di dalam kepalanya, siapakah gerangannya dia? 

Bagaimana pun apabila pemikirannya melayang jauh, dia segera kembali mendengar imam membaca ayat-ayat Al-Quran, dan cuba untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada solatnya. Dapatlah dia mengawalnya hingga ke akhir solat. Dia ingat pesan gurunya dulu, bahawa sekiranya kita melayang jauh di dalam solat, maka kembalilah semula kepada solat, iaitu dengan menundukkan kepala melihat tempat sujud, kumpulkan hati dan pemikiran untuk mengingatkan bahawa "saya sedang menyembah Tuhan, Allah yang maha besar". dan paling baik lagi cubalah mengikuti bacaan Fatihah dengan pengertian dan maknanya yang kita fahami.

Selesai solat dan zikir serta doa, mereka berdua duduk bersama di satu sudut ruang surau yang agak jauh dari orang lain, tambahan pula penduduk bandar ini akan segera pulang untuk terus pergi bekerja sebelum pergerakan lalu lintas menjadi sesak.......seawal jam enam setengah pagi mereka harus bergerak dari rumah, menghantar anak ke sekolah bagi yang tidak menyewa bas sekolah, kemudian terus ke pejabat.

"Saya Halim, anak Tok Mat dari kampung Pinang Sebatang, kawan Pak Cik Dulu.  Arwah bapa pernah berpesan kepada saya bahawa apa bila bapa telah meninggal, maka carilah kawan-kawan bapa, hubungi mereka, sambungkan kembali tali silatur rahim, dan sekiranya Pak Cik ada anak-anak, maka kita haruslah meneruskan hubungan silatur-rahim dengan anak-anak Pak Cik sendiri"

Dia puas juga mencuba untuk mengingati siapakah Tok Mat dari Pinang Sebatang yang di kisahkan oleh anak muda ini. Akhirnya barulah teringat bahawa Tok Mat itu namanya ialah Mohammad Mahdi, kawan lama di Kolej dulu yang pandai main bola, dan pernah sekali semasa diadakan pertunjukan kebudayaan, Tok Mat ni ada menunjukkan kehebatannya menari Canggung. Dia agak terperanjat, tetapi amat teruja mendengar kata-kata anak muda ini. Termenung panjang dia.....

"Maaf sebenarnya saya hanya mengingati Pak Cik dari bentuk rupa paras sahaja" tiba-tiba anak muda itu bersuara lagi "Saya sering melihat gambar-gambar hitam puteh dengan bapa dan kawan-kawan. Rupa Pak Cik tidak banyak sangat berubah, cuma rambut dan kulit wajah yang berbeza, menunjukkan umur yang meningkat..." tambahnya sambil memohon maaf sekiranya kata-katanya itu menyentuh perasaan Pak Cik.

Mendengar penjelasan anak muda ini, dia tersenyum seketika, tetapi kemudiannya dia merasa  sedih kerana kawan lamanya ini telah tiada lagi di dunia ini. Memang telah banyak kawan sepermainan dan sepengajiannya yang telah pergi mengadap Allah.

"Alhamdulillah. Rupa mu pun mengingatkan saya kepada seseorang yang saya kenal. Memang ada iras bapak, senyuman, dan rambut kerinting, kulit cerah, cuma anda berjambang,,," sambungnya sambil tersenyum bercampur duka...

"Nama Pak Cik ialah Hariri, panggil saja Pak Long...Sama sekelas dengan Bapak ...Siapa nama anak ini?"
"Suhaimi" jawab anak muda itu ringkas
"Terimakasih Suhaimi kerana mengingatkan saat-saat manis saya dan bapak Suhaimi semasa di Kolej dulu, juga saat-saat yang kadang-kadang muram yang kami alami bersama pada ketika itu. Semoga Allah merahmati ruh Bapak Suhaimi...Dia orang baik...dan kalau tak salah, telah hampir 20 tahun saya tidak menemuinya....Masya Allah dunia ini amat cepat berlalu...." 

Hariri termenung sendirian. Ingatannya ternyata amat jauh melayang ke belakang... kembali ke zaman lama ketika di Kolej. Dia melihat Suhaimi juga termenung panjang, mungkin sedang mengingati hayat bapanya,,,

"Saya tidak boleh lama di sini Pak Long" kata Suhaimi..."Saya harus pergi dulu" sambungnya sambil bangun dan bersedia untuk meninggalkan tempat itu..

"Ke manakah Suhaimi hendak pergi? Bila kita boleh bertemu lagi?"
"Panjang ceritanya Pak Long" jawab Suhaimi "Nantilah kita jumpa lagi, dan akan saya ceritakan beberapa perkara yang mungkin memeranjatkan Pak Long...." katanya ringkas...tetapi kesannya amat mendalam di hati Hariri.

Hariri memberikan nombor telefon bimbitnya, dan Suhaimi berjanji akan menghubunginya kemudian....

Riak muka Suhaimi memperlihatkan sesuatu yang mistri pada kelakuannya, dan dari bahasa jasadnya, Suhaimi nampaknya mempunyai cerita yang mungkin ganjil sekali...fikir Hariri...

"Assalamu alaikum" ucap Suhaimi sambil bersalaman dengan Pak Long Hariri

"Wa alaikumussalam ...." Jawab Hariri....Pandangannya terus mengekori Suhaimi, yang kemudian hilang dari pandangannya.



Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....