DOA DI AMBANG RAMADHAN: KELAHIRAN KEPIMPINAN YANG BERWIBAWA


Islam di negara-negara Islam Timur Tengah dan Afrika Utara nampaknya mulai berkecai, hancur dan runtuh. Tak ada lagi tamadun dan pembangunannya, apa lagi menjadi pegangan hidup yang mantap bagi umat Islam di sana. Perpaduan dan kesatuan tak mungkin menjelma lagi, atau mungkin juga hanya akan menjelma lagi selepas satu atau dua generasi yang akan datang. Masyarakat Islam kini menjadi masyarakat Jahiliyyah, berpuak-puak, berkabilah, bersengketa, pecah belah, berbunuhan, berperang, dan bermusuhan sepanjang masa.

Musuh Islam sering menyatakan bahawa sekiranya Islam hendak di lemahkan, di keliru dan di pesongkan dari umatnya, maka rosakkanlah generasinya, jauhkan mereka dari pendidikan dan pelajaran, pecah belahkan mereka, tanamkan rasa permusuhan di antara satu sama lain, maka dalam jangka pendek dan jangka panjangnya, masyarakat Islam akan runtuh dan mundur, tidak bermoral dan beretika, tidak relevan lagi dengan dunia moden, dunia global dan tamaddun.

Hal ini telah dapat kita lihat sekarang, ketika negara Islam yang bersengketa, menjadi tidak aman, tidak selamat lagi bagi nyawa dan harta benda masing-masing, maka para penduduknya akan mengangkat bungkus, melarikan diri dari kampung halaman mereka, meninggalkan rumah tangga, ladang tanaman, binatang ternakan dan negara sendiri, menjadi pelarian perang, mencari tempat yang selamat di mana-mana negara jiran, atau negara lain, sejauh negara Eropah. Mereka melarikan diri bagi menyelamatkan diri, keluarga, anak pinak, keturunan dan lain-lain lagi.

Di antara pelarian perang inilah terdapat bayi, kanak-kanak, murid sekolah segala peringkat: rendah, menengah dan kolej, malah pelajar Universiti. Mereka terpaksa melarikan diri, meninggalkan bangku pelajaran, dewan kulliah, buku dan perpustakaan, berpisah dengan guru-guru dan pensyarah masing-masing, malah tidak lagi meneruskan pelajaran dan pepereksaan, mengadap buku teks dan rujukan, jauh sekali dari membuat kerja sekolah dan kajian universiti.

Mereka melarikan diri dari pembelajaran dan pengajaran, sekolah dan Kolej, universiti dan gedung ilmu, berpisah jauh sekali, tinggallah segala bangku pelajaran, guru-guru dan pensyarah, buku dan esei, semuanya menjadi kenangan yang lalu, kerana mereka telah bertahun-tahun melarikan diri dari semuanya itu.

Jumlah mereka yang bersekolah, pelajar Kolej dan Universiti, juga meningkat ke angka jutaan, menjadi manusia miskin semula dari sudut ilmu pengetahuan dan moral etika, hikmat dan kebijaksanaan, rohani dan jasmani, hati dan jiwa mereka...

Inilah yang hendak di rosakkan, dan inilah matlamat menjauhkan diri generasi baru dari bidang persekolahan dan pendidikan, maka satu atau dua generasi ini akan hancur dan musnah, tidak berguna lagi.....kerana mereka tidak lagi akan mendapat pendidikan yang teratur dan bersistematik, pelajaran yang bakal membina budaya dan ilmu serta tamadun mereka...inilah generasi pelarian perang sekarang ini....

Latar belakang ini amat menyedihkan, dan amat merugikan umat kita, yang sekian lama mewarisi khazanah ilmu dan hikmah, ilmu wahyu dan ilmu akal sendiri, yang selama ini mengeluarkan para cendiakawan dan ulamak, ahli profesional dan penyelidikan, para fuqaha' dan ahli falsafah, tiba-tiba alam Islam tertinggal menyepi dan kaku akibat dari peperangan dan persengketaan sesama sendiri.

Maknanya, Ramadhan tahun ini sekali lagi menjelang dalam latar belakang ini, setelah hampir sedekad umat Islam menyambut Ramadhan dalam keadaan dan situasi yang sama. Maka pada tahun ini, sekali lagi Ramadhan datang ketika umat Islam sedang menghirup darah saudara-saudaranya sesama muslim, dan dalam kekalutan politik, ekonomi, sosial, pendidikan serta semua bidang kehidupan umat Islam sedang berada dalam kemelut kekecohan dan kekeliruan yang memanjang..... 

Dalam keadaan keganasan dan keruntuhan moral serta kemusnahan kemanusiaan yang berlaku pada zaman jahiliyyah, Nabi Allah Ibrahim alaihis-salam berdoa kepada Allah SWT seperti yang tersebut di dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 129:

"Wahai Tuhan kami, utuskanlah kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman) Mu, dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat) sesungguhnya Engkaulah yang maha kuasa, lagi amat bijaksana"

Doa ini dimakbulkan Allah SWT dengan di utuskan Rasul-Nya Nabi Muhammad SAW bagi negeri Makkah dan penduduknya, dari kalangan bamgsa mereka sendiri, iaitu bangsa Arab keturunan Nabi Ismail (Kaum Quraisy) penduduk Makkah, yang kemudiannya Rasullullah SAW di utuskan kepada umat manusia seluruhnya.

Kualiti Rasul kita yang diutuskan untuk menyelamatkan negeri Makkah dan penduduknya itu ialah ketokohan Baginda untuk mendidik penduduk Makkah dalam ilmu dan ayat-ayat Al-Quran, yang mengandungi hikmat dan kebijaksanaan, akhlak dan sifat-sifat moral yang mulia, malah penekanan adalah diberikan juga kepada membersihkan hati dan jiwa mereka dari sifat syirik dan maksiat, supaya menjadi umat yang bijak, berilmu, berakhlak mulia, serta bersih dari segala penyakit maksiat dan jahat dari hari nurani mereka. Ciri utama yang di doakan oleh Nabi Ibrahim ialah Rasul itu ialah dari kalangan bangsa mereka sendiri, iaitu bangsa Arab, kerana hanya anak bangsa sendiri sahaja yang sebenar-benarnya  dapat memahami dan menghayati cita rasa bangsa itu sendiri....

Inilah ciri-ciri ketamadunan manusia dan kekuatan umah Islam yang berpandukan kepada ajaran al-Quran serta contoh tauladan dari Rasulullah SAW sendiri. Malah inilah ciri-ciri kepimpinan yang unggul yang seharusnya menjadi sifat seorang pemimpin yang dapat menyelamatkan umat dan bangsanya sendiri. Inilah kualiti kepimpinan Rasulullah SAW.

Mungkin kah dunia Islam yang berkecamuk dengan maksiat dan dosa, noda dan keruntuhan akhlak sekarang ini akan dapat diselamatkan oleh kelahiran tokoh pimpinan seperti yang di doakan oleh Nabi Ibrahim itu?

Hanya masa dan takdir Allah SWT sahaja yang akan menentukan....Kita juga seperti Nabi Ibrahim hanya sanggup berdoa...dan berdoa....

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....