8 RAMADHAN 1436 - EPISOD KELAPAN (25 JUN 2015) MAYAT-MAYAT YANG PULANG


"Alhamdulillah saya dapat bersama jemaah lagi malam ini" Pak Hariri memulakan percakapannya pada malam ini kepada para jemaah sekelian. Disambut dengan ucapan yang sama oleh kebanyakan hadirin "Alhamdulillah Pak Hariri"

"Saya hilang semalam bukan kerana apa-apa, tetapi kerana saya mendengar satu tragedi yang serius menimpa komuniti kita" sambung Pak Hariri. 

"Sebenarnya kita baru mula berpuasa selama seminggu sahaja, tetapi satu fenomena sedih berulang lagi di dalam masyarakat kita, iaitu peristiwa kemalangan jalan raya yang memakan korban nyawa telah mulai meningkat....dan semalam tragedi inilah yang menimpa anggota masyarakat kita di sini..."

"Ya Samad, ada nak cakap apa-apa?" Pak Hariri menujukan percakapannya kepada seorang anak muda yang mengangkat tangan meminta untuk bercakap. Hal ini berlaku kerana Pak Hariri selalu juga mengingatkan jemaah supaya meanggap majlis ini adalah majlis bersama. Sesiapa yang hendak memberikan fikiran, dia boleh lah berbuat demikian tanpa rasmi-rasmi lagi, sebab itulah majlis ini di namakan majlis dialog.

"Betullah Pak Hariri dan jemaah sekelian" kata Samad sebagai permulaan. Kemudian dia menyambung "Kemalangan atau sebarang bencana yang menimpa kita memanglah sudah takdir Allah yang seharusnya kita menerima dengan sabar. Tetapi di samping takdir yang tersurat, manusia diberikan Allah akal fikiran dan usaha sendiri untuk mengelakkan kecelakaan. Kalau telah diusahakan mengelak kemalangan atau kecelakaan, maka pada masa itu sekiranya berlaku kemalangan juga, barulah kita berserah kepada Allah" Samad berhenti seketika, dia takut juga kalau sekiranya dia bercakap tak betul

Lalu dia berkata lagi "Itu lah pandangan saya secara peribadi, saya ni bukannya ustaz yang mahir dalam ilmu agama" sambungnya. "Tetapi memang betul kata Pak Hariri tadi, peristiwa sedih sentiasa berlaku sekarang ini. Saya baca akhbar semalam tentang berita sedih bertajuk Bayi Maut Dilanggar MPV Ibu yang berlaku dalam negara kita. Saya rasa hal ini telah banyak kali berlaku di sana sini, tetapi masih terus terjadi" sambung Samad lagi

"Ibu itu sedang mengeluarkan kenderaannya secara mengundur ke belakang, tanpa disedarinya bahawa bayinya yang berumur setahun itu mengekorinya keluar dan berada di belakang kenderaan" sambung Samad dengan nada sayu. "Dan segala ratapan Ibu ini tidak membawa makna sama sekali, kerana bayi ini mengalami kecederaan parah, darah memancut keluar dari seluruh badannya, dan akhirnya lesu tidak bernyawa lagi"

"Baiklah Samad, kita semua ambillah pelajaran dari kejadian sedih ini" Pak Hariri berkata. "Itu kejadian tidak sengaja, tetapi sebenarnya boleh dielakkan sekiranya orang yang mempunyai anak kecil sentiasa mempastikan bahawa anak itu berada dengannya, atau dengan orang lain yang dipastikan, kemudian barulah mengundurkan kenderaannya." tegas Pak Hariri lagi. 

"Begini Pak Hariri" tiba-tiba sampok seorang jemaah wanita separuh umur "untuk mengelakkan kejadian sedih inilah, kebanyakan kereta sering juga di parkirkan dengan mengundur ke belakang, dan apa bila hendak dipandu keluar, kita akan memandunya ke hadapan, dan dapat melihat dengan jelas tiada sebarang halangan di hadapan" tambahnya 

Tetapi seorang jemaah wanita lain berkata pula "Namun begitu pun, semasa mengundur untuk di parkirkan, mungkin juga ada kanak-kanak di belakang dan boleh juga berlaku kejadian ini" sambungnya.

"Memang berkemungkinan. Tetapi kita seharusnya pastikan tidak ada sesiapa di luar rumah. Kalau perlu turunlah dulu dari kereta, dan periksa di depan belakang, seperti orang yang hendak mencuri kereta..." jawabnya dengan disambut oleh ketawa kecil oleh orang lain

"Baiklah Pak Hariri. Saya malam ni nak balik cepat juga sebab nak makan cucur udang di rumah" seorang lelaki beruban mencelah, dan menyambung "Pak Hariri ceritalah kejadian malang yang memakan korban semalam tu" tegasnya ringkas. 

"Ya sungguh menyedihkan" tegas Pak Hariri "saya sedih semalam kerana Halim tidak dapat saya jejakinya. Tetapi kisah kemalangan ini lebih menyedihkan kerana melibatkan tiga nyawa sekali" Pak Hariri berhent sekejap sambil menundukkan kepalanya seperti akan menangis

Dia kemudiannya menyambung dalam suasana yang amat hening dan sepi "Ketika kemalangan berlaku, si isteri yang memandu kenderaan, suaminya duduk di sebelah dan ibu suami ini duduk di belakang. Isteri dan suami ini masih muda, masing-masing berumur 29 tahun" 

Cerita Pak Hariri seterusnya ialah memberikan senario kemalangan ini, iaitu apa bila sampai di satu selekoh, kenderaan yang bergerak agak laju itu telah terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri, lalu di sambar api, mengorbankan ketiga-tiga penumpangnya.

Sampai di sini Pak Hariri meminta semua jemaah membacakan surah Al-Fatehah untuk dihadiahkan pahalanya kepada semua arwah yang menjadi korban kemalangan tersebut.

"Sebenarnya cerita kemalangan ini tidak hanya setakat itu sahaja" Pak Hariri menyambung percakapannya...Jemaah semua menjadi agak hairan, apakah yang terjadi di sebalik kemalangan ini.

"Apabila mayat-mayat ini di bawa ke hospital, kaum keluarga telah datang melihatnya dan membuat persiapan untuk di bawa balik ke rumah" jelas Pak Hariri, dan menyambung "di antara keluarga itu terdapat seorang wanita muda berumur 28 tahun, yang juga datang untuk menziarahi mayat-mayat ini. Tetapi dia tidak kenal siapakah si isteri yang terkorban itu, yang dia kenal ialah si suami itu dan ibunya, kerana si suami itu adalah suaminya, mereka telah berkahwin lebih dari setahun, dan dia sedang mengandung dua bulan hasil perkongsian hidup mereka"....

"Macam mana Pak Hariri?' seorang jemaah wanita mencelah "Wanita yang datang ini ialah isteri kepada lelaki yang terkorban itu?" soalnya.

"Ya, betul. Dia isteri nya, dan apa bila dia melihat bahawa isteri yang terkorban itu adalah juga isteri suaminya, tahulah dia bahawa suaminya telah berkahwin dengan wanita ini secara sulit, kerana hanya pada malam itulah sahaja dia mengetahui hal ini..."tambah Pak Hariri. 

Isteri pertama ini menceritakan kepada keluarganya bahawa sehari sebelum kejadian, suaminya memberitahunya bahawa dia ada mesyuarat di luar daerah, dan akan bermalam di sana. Pada malam itu, dia cuba menghubungi suaminya, kerana ada sesuatu yang hendak dikabarkan, tetapi suaminya tidak menjawab panggilannya. Sehinggalah pagi esoknya, pihak Polis menghubunginya, menyatakan bahawa suaminya meninggal kemalangan. Bila sampai ke hospital, barulah dia mengetahui ceerita yang sebenarnya.....

"Kita tak perlu komen apa-apa" pesan Pak Hariri "Kita hanya tahulah bahawa hidup ini memang terlalu banyak mistri di sekeliling kita...Kita doalah untuk kesejahteraan arwah-arwah yang meninggal ini.

"Jadi semalam Pak Hariri tahulah semuanya ini?" tanya seorang wanita muda dengan penuh sinikal.

"Ya saya dengar sendiri cerita ini dari isteri muda yang sedang mengandung itu. Saya menangis sepanjang malam, hingga sampai ke rumah. Malah saya tidak tahu kenapakah saya merasa terlalu sedih, sedangkan ketika menziarahi mayat lain, saya tidak sangat menagis seperti ini...." kata Pak Hariri sebagai penutup bicara, dan sambil berharap juga agar esok malam Halim akan dapat kembali ke surau meneruskan pembicaraannya.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....