7 RAMADHAN 1436 - EPISOD KETUJUH (24 JUN 2015) HALIM DAH BALIK?

Pertanyaan pertama yang ditanyakan oleh ramai jemaah sebelum berbuka puasa ialah: Adakah Halim yang di bawa anggota keselamatan semalam telah balik untuk berkongsi pengalamannya pada malam ini dengan para jemaah selepas terawih nanti?

Tetapi tidak ada seorang jemaah pun yang mengetahui jawapan bagi persoalan itu. Malah Pak Hariri sendiri pun tidak kelihatan sehingga hampir menjelangnya waktu Isyak, dan bilal telah pun melaungkan azan.

"Mungkin Pak Hariri sendiri juga di bawa oleh pihak keselamatan negara, kerana peranannya mengaturkan pertemuan dengan Halim semalam" bunyi perbualan umum pada malam itu "Sebab itulah dia juga hilang" tambah beberapa orang jemaah lain. 

Selesai Terawih pada malam itu, terdapat jemaah yang maju ke depan pentas untuk meninjau sendiri, apakah Halim telah datang, juga Pak Hariri? Tetapi kelibat mereka tidak kelihatan langsung, yang dengan itu menguatkan lagi spekulasi bahawa Pak Hariri juga mungkin telah di tahan bersama Halim di Balai Polis yang tidak di ketahui lokasinya.

"Aduhai kesiannya" merungut beberapa orang jemaah wanita dengan sedikit emosi. "Yalah" sahut yang lain di dalam jemaah yang sama " 

"Tuan-Tuan dan Puan-Puan jemaah sekelian" tiba-tiba terdengar suara dalam pembesar suara. Ada jemaah di luar surau yang segera berlari masuk sambil berkata "Ha, itu dia Pak Hariri"

Tetapi apabila di pandang wajah orang yang memulakan pengucapannya itu, ternyata manusia itu bukanlah Pak Hariri, dia seorang jemaah yang agak aktif juga terlibat dengan aktiviti surau. terutamanya dalam memperomosikan surau untuk mendapatkan sumbangan wang bagi jamuan berbuka puasa dan moreh sejak sekian lama.

Tahun ini setelah hanya tiga hari berpuasa, nampaknya dia telah berjaya mendapatkan sumbangan orang ramai di sekitar surau ini hampir 15,000 ringgit, agak lumayan.

Namanya Haji Yasin, dan dia sering juga bersyarah di depan jemaah sebelum sembahyang Terawih untuk mengumumkan jumlah derma yang di kutipnya dari penduduk sekitar, yang terkenal sebagai kawasan penduduk elit. 

Antara lain dia memberikan ucapan tahniah kepada para penderma yang bermurah hati, dengan merujuk kepada kemewahan penduduk kawasan ini. Dia selelu juga menyebut kemewahan penduduk di sini yang di buktikan dengan jenis kenderaan mewah yang mereka bawa ketika datang ke surau.

Pada hari Ahad lepas, dia telah bangun di dalam satu majlis tazkirah subuh di surau ini, apa bila penceramah tazkirah pagi itu menyebut "Bahawa orang-orang kaya adalah bakal penghuni neraka, kerana mereka hidup bermewah-mewah di atas dunia ini, hartanya melupakan mereka terhadap Allah, mereka asyik melakukan maksiat, lalai dari ibadat, dan selama-lamanya memuja kebendaan...tidak ingat lagi orang susah, anak yatim, ibu tunggal, mabuk harta........"

Setelah penceramah selesai memberikan ceramahnya pagi itu, dan setelah Pengerusi membuka majlis kepada soal jawab, Haji Yasin bangun, dan berkata "Ustaz penceramah, terimakasih di atas penjelasan ini. Memang satu ingatan yang baik dan bermakna. Cuma ingin saya nyatakan satu sahaja, iaitu Ustaz tidak seharusnya memberikan komen negatif terhadap orang hartawan di daerah ini, tidak seharusnya diberikan penghakiman yang amat umum seperti itu, seolah-olah semua orang kaya adalah bakal penghuni neraka" katanya agak geram, tetapi masih mampu ia menahan ketenangannya.

Ustaz itu pun agak tenang, hanya kelihatan merah padam mukanya, mungkin menahan kemarahannya, kerana selama ini tidak pernah ada pendengar yang membantah segala percakapan dan ceramahnya di mana-mana pun. Dia telah berceramah di ratusan surau, masjid, perjumpaan, multaqa, ijtimak dan sebagainya, semua orang memuji-mujinya. "Tetapi entah siapa orang ini, tiba-tiba nak membantah pula..." rungutnya di dalam hati

"Saya rasa orang-orang kaya di sini, tuan punya BMW, Porche, Mercedez, dan entah apa-apa lagi brand kereta mewah mereka, maka merekalah yang telah banyak mendapat pahala dari kemurahan hati mereka, menderma, membantu, menyumbang kewangan dan kebendaan lain untuk surau ini" sambung Haji Yasin dengan lantang. Pengerusi mencuba untuk memotong cakap Haji Yasin, tapi di marahi oleh orang ramai "Pengerusi biarkanlah Pak Haji Yasin selesai bercakap" kata mereka ramai-ramai.

Memang hal ini disedari oleh masyarakat sekeliling. Ketika pungutan derma dijalankan di kawasan ini untuk mendirikan surau yang berharga satu juta setengah, dua tahun yang lalu, terdapat penderma yang tidak mahu dikenali namanya telah memberi derma sehingga setengah juta ringgit, dan puluhan ribu pula oleh anak-anak kawasan ini sendiri.

"Saya berjaya mengumpul lima belas ribu ringgit dalam masa tiga hari bulan Ramadhan ini dari orang-orang kaya yang saya kenal di sini, di samping banyak ribu lagi yang dimasukkan kedalam peti besi surau ini tanpa diketahui penyumbangnya" sambung Haji Yasin pagi itu.

Itulah sebenarnya hakikat yang cuba dikemukakan oleh Haji Yasin, dan sekali gus menafikan kenyataan penceramah pada hari itu. Malah Haji Yasin ingin menyebut lagi bahawa pada setiap minggu, iaitu pada hari Jumaat selama dua tahun surau ini berdiri sebagai surau Jumaat, hasil kutipan tiap minggu semakin meningkat, sehingga jumlah itu telah sampai ke angka 4 atau 5 ribu ringgit seminggu, sedangkan jemaahnya tidak melebihi 7 - 8 ratus orang sahaja, tetapi Haji Yasin tidak menyebutnya.

"Mungkin penceramah hanya mengulang-ulang apa-apa yang difikirkannya selama ini tentang orang kaya dan berharta di dalam masyarakat kita. Tetapi pada hari ini, orang hartawan kita telah berubah, mereka kembali beragama dengan baik, mungkin lebih baik dari kebanyakan orang biasa, sebab itu merekalah yang sanggup mengorbankan harta benda mereka untuk agama kita" sambung Haji Yasin agak tenang semula

"Saya minta maaf Tuan Penceramah..." Haji Yasin menutupkan ucapannya. Pengerusi juga menjelaskan maksud sebenar penceramah, tetapi tidak banyak orang yang memberikan perhatian kepada komen Pengerusi..

Itulah ketegasan Haji Yasin kepada jemaah surau pada pagi itu. Ada Jemaah yang terlelap mendengar tazkirah subuh ini dari awal tadi, tiba-tiba terbangun semuanya, celek hingga bulat biji mata mereka mendengar suara nyaring Haji Yasin....

=============

Kembali kepada Haji Yasin pada malam ini, jemaah tertanya-tanya apakah yang hendak di ucapkan oleh Haji Yasin. 

"Begini Tuan Puan" sambungnya "Kita tidak mendengar berita tentang Pak Hariri dan pemuda Halim yang sepatutnya mengambil bahagian di dalam majlis dialog kita pada malam ini" agak hampa suara Haji Yasin, dan menyambung "Kita doakanlah sahaja semoga mereka berdua selamat, dan akan balik semula ke majlis kita esok lusa"

Namun, seorang jemaah setengah umur yang baru tiba, mengambil mikropon dari Haji Yasin lalu mengumumkan ".......saya baru balik dari menziarahi mayat suami isteri dan ibu si suami itu yang meninggal dalam kemalangan jalan raya di pantai timur" katanya sedih. "Pak Hariri ada di sana. Bila dia sedar saya akan balik ke surau, dia pesan supaya saya memberi tahu jemaah bahawa dia tak dapat datang ke majlis kita. Halim juga tidak dapat dikesannya di mana. Dia minta kita berdoa untuk kesejahteraan semua. Dan malam ini kita bolehlah bersurai sahaja balik ke rumah masing-masingsambung jemaah ini dan menyerahkan kembali mikrofon kepada Haji Yasin
"Siapa yang meninggal di dalam kemalangan itu Haji?" soal seorang jemaah.."Di mana rumah nya?" tanya yang lain pula...

Haji Yasin menyerahkan kembali mikrofon itu kepada jemaah tersebut yang menjawab ringkas "Panjang ceritanya" jawabnya "Saya pun tidak mengetahui sangat tentang sebab kemalangan dan korbannya ini, mungkin Pak Hariri lebih mengetahui" Dia menyerahkan kembali mikrofon kepada Haji Yasin, yang terus berkata " Malam esok kita cuba minta Pak Hariri menceritakan perinciannya. Kesian dan malang sekali, kemalangan ini telah meragut nyawa suami isteri dan ibunya, ketiga-tiga sekali. Al-Fatehah"

Para jemaah mambaca surah Al-Fatehah, dan bersurai...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....