3 RAMADHAN 1436 -EPISOD KETIGA (20 JUN 2015) DEBAT TENTANG IMAM SOLAT


Pak Hariri mengambil tempat sebagai pengerusi perbahasan di Surau selepas terawih. Telah sedia dua orang pembicara, atau pembahas. Pak Hariri duduk di tengah-tengah, dan dua orang pembicara duduk di sebelah kiri dan kanannya, telah bersedia untuk memulakan perdebatan dengan disaksikan oleh sekumpulan jemaah.
"Baiklah" Pak Hariri membuka sidang, sambil membetulkan posisi duduknya agar dapat di lihat oleh semua jemaah, lelaki dan perempuan. Wajah berusianya agak serius tetapi penuh ketenangan. Dia lah yang mencadangkan tadi supaya perbahasan diadakan secara yang lebih terurus, bukan bertengkar dan berkonflik seperti orang yang tidak bertamadun..

"Kita mulakan bicara dengan Haji Riduan" 

"Saya mulakan dengan hujah yang telah saya ketengahkan tadi sebelum kita rasmikan perdebatan ini" Haji Riduan memulakan bicara. "Saya, kebetulan Jumaat tadi pergi solat Jumaat di sebuah masjid ternama di Ibu Kota, dan saya akan perkatakan pandangan saya tentang imam solat Jumaat itu" sambung Haji Riduan.

Jemaah bersetuju dengan Pak Hariri agar perdebatan  di adakan secara rasmi, kerana sebelum berbuka puasa di Surau ini tadi, ada dua suara yang berbeza tentang isu imam solat. Oleh itu jemaah bersetuju supaya satu perdebatan terbuka, seperti debat calon Presiden Amerika Syarikat, di adakan selepas Terawih.

"Saya menjadi makmum solat Jumaat itu" sambung Haji Riduan "tetapi imamnya tidak membaca Bismillah ketika membaca ayat di rakaat yang pertama dan demikian juga di rakaat yang kedua, selepas membaca surah Al-Fatehah" Haji Riduan mulai mengangkat suaranya...

"Apa kata Pak Kutik dalam isu ini?" Pak Hariri bertanyakan pembicara kedua .

"Imam membaca Bismillah ketika membaca Al-Fatehah kan?" Pak Kutik mula bertanya.

"Ya !" jawab Haji Riduan

"Jadi, tidak ada apa-apa yang salahnya bagi kita" jawab Pak Kutik tegas. "Membaca ayat tidak mengapa tanpa Bismillah" tegas Pak Kutik lagi...

Rupa-rupanya jemaah surau ini berkonflik tentang Imam Jumaat tadi yang terdiri dari orang Arab, yang sering datang ke negara kita untuk menjadi imam terawih di dalam bulan Ramadhan, dan turut mengimamkan solat Jumaat sepanjang bulan puasa ini.

"Selalunya kalau imam itu orang kita, dia tidak pernah tinggal Bismillah ketika membaca ayat..Yang dibacanya itu ialah ayat lazim...apa namanya tu?...Alam Nasyrah? kemudian, Hal Ataaka Hadithul...kenapa tak Bismillah, bukankah Bismillah itu maknanya Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani...?" Haji Riduan meneruskan hujahnya, ketika Pak Kutik belum lagi menghabiskan cakapnya.

"Itu cara dia" balas Pak Kutik. "Di Makkah pun kalau kita solat di sana, Imam tak baca Bismillah, malah di dalam bacaan Al-Fatehah pun Imam tidak baca Bismillah secara nyaring" tambahnya... 

"Itu di Makkah!" tiba-tiba terdengar suara halus dan tinggi seorang wanita dari ruang  jemaah wanita. "Datang ke sini buat macam sinilah. Ni kita tenguk macam-macam jenis orang kita yang dah nak ikut orang lain...masa baca Tahiyyat pun jarinya berpusing-pusing, duduk  tahiyyat akhir pun dah tak ikut macam adat kita dah, doa ramai-ramai pun dah tak mau lagi, ni nak tunjukkan pula pada kita masa baca ayat tak payahlah Bismillah lagi..." sambung jemaah wanita ini di sambut dengan pekikan Allahu Akbar para jemaah wanita dan riuh rendah sokongan dari mereka.

Pak Hariri meminta jemaah bertenang. Tak perlu emosi dan sentimen, tambahan pula perbincangan tentang isu ijtihad, bukan isu yang jelas hukumnya....Tetapi para jemaah yang mengambil bahagian dan bercakap selepas jemaah wanita tadi masih meneruskan tentang model dan "mungkin juga ajaran Mazhab kita" di sini yang merupakan satu legasi ulamak Melayu yang haruslah di ikuti seterusnya...

"Mengapa tidak kita teruskan cara imam kita di sini? Dulu semua makmum ikut saja imam kita. Ini dah mula kecoh, sehingga ada imam kita yang dah tak mau baca Bismillah lagi ketika baca Al-Fatehah" kata Haji Riduan

"Bohong" kata Pak Kutik "mana ada imam kita tak baca Bismillah masa baca Fatehah?" tanya Pak Kutik dengan suara garang..

"Ah, ah. Maksud saya masa baca ayat.." Haji Riduan mencuba untuk membetulkan kenyataannya.

"Kenapakah kita orang Islam keturunan Melayu nak tiru orang Arab?" tiba-tiba menjerit suara dari seorang muda kacak di kalangan jemaah. Semua kepala memaling ke arahnya "Apa contoh baik orang Arab yang boleh kita tiru sekarang ini? Perang, bunuh, pelarian perang, kroni Amerika dan orang puteh, Isis, .....?"

"Anak muda" tegur Pak Hariri "tolong jangan sebutkan hal ini. Ia tidak berkaitan dengan tajuk perbincangan kita"

"Mana boleh" jawab anak muda itu lagi. "Tuan Pengerusi tenguk tak pada hari ini sehinggakan pakaian dalam program agama TV pun semua pakaian Arab. Penceramah dan ustaz banyak yang pakai Arab. Islam itu Arab sajakah?" tambah anak muda ini tanpa mempedulikan amaran Pak Hariri....

"OK. Cukup anak muda. Kita bukan bincang hal itu" Pak Hariri memotong cakap anak muda itu. Kemudian setelah melihat jam di dinding dia membuat kenyataan berikut:

"Jam pukul sepuluh lebih dah. Kita berhenti saja di sini" katanya lagi sambil mahu bangun dari kerusi.

"Tak boleh berhenti tanpa keputusan" bunyi suara dua tiga orang jemaah.

"OK. OK. Malam esok kita SAMBUNG, SETUJU?"

"Setuju, setuju!!" jawab Jemaah ramai-ramai.... 

Esok sambung.... 


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....