HARI KE-20 PUASA - 25- 6- 2016
Gelagat orang2 tua kampung saya ketika mengerjakan solat terawih di surau kami kira2 40 tahun dulu kadang2 menggelikan hati mengingatinya kini. Dulu tidak pernah timbul isu terawih lapan atau dua puluh rakaat. Masa itu belum ada orang yang membawa pembaharuan di dalam ibadat solat terawih tentang bilangan rakaatnya. Semua mengikut adat turun temurun, iaitu solat dua puluh rakaat.
Ketika menunaikan solat terawih ketika itu, imam tidak membaca ayat2 yang panjang seperti sekarang iaitu ketika imam kadang2 membaca surah tertentu dari al-Quran memakan masa sehingga 15 - 20 minit atau lebih untuk membaca satu juzu' al-Quran
Imam membaca Al-Fatehah dan ayat lazim mulai dari surah Al-Takathur (Al-Hakumuttakathur)....sehingga surah Al-Masad (Tabbat Yada Abi Lahab), cukup dua puluh rakaat, kemudian sambung dengan witir 3 rakaat dua salam, sama seperti solat witir yang di amalkan sekarang.
Cuma orang kampung yang telah agak berumur, sering kali mencuri tulang ketika sembahyang terawih. Umpamanya ketika imam telah bangun memulakan solat terawih, maka dia terus lagi duduk di atas tikar, sehingga imam habis baca Al-Fatehah dia pun bangun menyahut Ameen, kemudian barulah dia mengangkat takbir dan menyertai solat itu hingga salam.
Tiba solat seterusnya juga dia membuat begitu, berehat secukupnya ketika imam baca Al Fatehah, dan bila habis baca dan makmum semuanya menyahut dengan Ameen, barulah kelihatan dua tiga orang bangun mengangkat takbiratul-ihram dan menyertai solat itu hingga akhir.
Malah ada juga makmum tua yang telah agak keletihan akan mengundurkan diri dari saf sembahyang i pertengahan jalan, dan duduk bersandar di dinding surau sebelah belakang, sembang2 dengan kawan sebaya, atau menghisap rokok daun, releks, berlunjur kaki, dengan baju yang lusuh dan songkok hitam yang tidak lagi berwarna hitam kerana terlalu lama usia songkok itu, kemudian setelah merasa selesa sedikit, akan menyertai semula saf belakang untuk meneruskan solat terawih seterusnya....
Demikianlah bebasnya orang kampung menunaikan solatnya dulu2, tak ada sesiapa pun yang kata apa2, atau mengeluarkan fatwa boleh tak boleh, bid'ah dan tidaknya, tetapi masing2 kerjakanlah mengikut keselesaannya. lapang dada dan tidak di ganggu orang...
Sebab itulah saya katakan bahawa mengerjakan amal ibadat 40 - 45 tahun dulu agak selesa dan mudah, tidak banyak orang yang mengacau daun, mengambil hirau tepi kain orang, kerana itulah ibadat yang dia tahu dan amalkan turun temurun dari nenek moyangnya...
Dulu pun tak kelihatan songkok memuteh penuh surau, atau jubah labuh di pakai orang seperti Arab. Songkok Melayu hitam kekuning-kuningan, dan baju Melayu yang tidak ketahuan warnanya, yang kadang2 ternampak bekas benda tajam yang menikam baju itu dari dalam, di atas lehernya. Tanda itu ialah bekas tikaman tanduk rusa yang sering dijadikan penyangkut baju oleh orang kampung ketika itu, dan bajunya berbekas tajam itu kerana telah lama tersangkut di situ sebelum dari bulan Ramadhan lagi, yang sebelum ini hanya di gunakan untuk solat Jumaat.
Tiba bulan puasa, maka baju itulah satu2nya yang di pakai untuk ke surau...
Nostalgia itu masih segar di dalam ingatan, dan amat jauh bezanya dari sekarang, tetapi semuanya amat menyeronokkan kita mengenagkannya..
Comments
Post a Comment