ISLAM BUKAN AGAMA BERMUSIM

Memang kita akui bahawa bulan Ramadhan yang sekarang ini berada di ambang pintu setiap rumah orang Islam di seluruh dunia ini adalah bulan mulia, bulan ibadat dan satu bulan yang mempunyai erti kerohanian dan ketaqwaan yang amat tinggi. Oleh itu Ramadhan seharusnya menjadi satu bulan penghayatan yang sebaik-baiknya kepada seluruh peringkat generasi orang Islam untuk beramal, berbakti dan beribadat, yang semuanya itu dilakukan adalah dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Dalam keghairahan untuk merealisasikan matlamat suci dan mulia bulan Ramadhan inilah nampaknya umat Islam sendiri seolah-olah menganggap bahawa bila tibanya sahaja Ramadhan maka mereka harsulah segera mengubah rutin hidup mereka dalam konteks dosa pahala, makruf dan mungkar, sama seperti mereka mengubah rutin makan minumnya mengikut masanya, siang dan malam.

Perkembangan terbaru yang berlaku di Kedah dan Selangor, iaitu ketika Kedah telah mencuba untuk menguatkuasakan undang-undang bagi mengharamkan operasi pusat hiburan sepanjang malam bulan puasa, dan ketika Selangor membenarkan penganjuran konsert MTV menjelang ketibaan bulan Ramadhan, maka alasan yang diberikan di Kedah untuk mengharamkan pusat hiburan tersebut, serta bantahan yang disuarakan dengan hebatnya oleh kalangan Islam menentang ppenganjuran konsert MTV itu, ialah kerana ketibaan bulan puasa, bulan mulia Islam, yang masyarakat Islam seharusnya menjauhkan diri mereka dari pusat hiburan, dan di Selangor pula pada lahirnya bantahan yang dikemukakan oleh beberapa kalangan terhadap penganjuran konsert tersebut ialah kerana pementasan ini dianggap tidak sesuai kerana berhampiran dengan ketibaan bulan puasa.

Sekurang-kurang nya alasan inilah yang nampaknya ditonjolkan bagi dua peristiwa di Kedah dan Selangor itu, yang memberikan gambaran kepada orang ramai, bahawa apabila tibanya bulan puasa maka orang Islam haruslah menahan dirinya bukan hanya dari makan dan minum, tetapi juga dari amalan dosa yang lain. yang sekali gus juga menimbulkan implikasi pemikiran awam bahawa hal ini bolehlah dilakukan semula selepas bulan Ramadhan, sama sahaja sperti kembali makan dan minum pada siang hari selepas bulan Ramadhan.

Saya amat memahami hikmah cadangan Kerajaan Kedah mengharamkan pusat hiburan, dan bantahan terhadap konsert pementasan konsert di Selangor berhampiran bulan Ramadhan,iaitu kedua-dua insiden ini ditonjolkan adalah sebagai mengahayati kesucian bulan Ramadhan, supaya dengan itu masyarakat Islam sendiri akan menyedari kepentingan menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam yang seharusnya dimulai dalam bulan puasa ini, yang diharapkan hal ini akan memberikan kesedaran supaya sesuatu yang mungkar itu akan berterusan dielakkan sama ada di dalam atau di luar bulan Ramadhan juga.

Namun hikmah ini mungkin tidak sampai kepada orang awam, termasuk masyarakat umat Islam sendiri, kerana terlalu banyak ditonjolkan, termasuk oleh kalangan bukan Islam dan ahli politik, bahawa kerisis yang ditimbulkan di Kedah dan Selangor adalah kerana sensitiviti umat Islam terhadap kesuciaan bulan Ramadhan, sehingga hal ini yang lebeh dipolemikkan dalam media, termasuk dipolitikkan sebegitu rupan, sedangkan matlamat asal yang mencetuskan kontroversi ini tenggelam begitu saja.

Oleh itu saya berpandanngan bahawa untuk menghilangkan kesalah fahaman masyarakat umum yang sekarang ini telah merumuskan bahawa pperistiwa yang berlaku di Kedah dan Selangor itu adalah kerana hal itu berlaku berhampiran bulan Ramadhan hendaklah dihapuskan segera, dengan memberikan kefahaman kepada orang ramai, termasuk orang Islam sendiri, bahawa melakukan amal ibadat dan menjauhkan diri dari maksiat dan dosa, bukanlah hanya terbatas dalam bulan Ramadhan sahaja, kerana penghayatan Islam bukan satu penghayatan dan amalan yang bermusim.

Oleh itu bagi saya memanglah amat malang sekali bahawa kontroversial yang berlaku di Kedah dan Selangor itu telah terlalu banyak ditekankan alasannya kerana menghormati bulan puasa, sedangkan pada hakikatnya bukanlah begitu. Sepatutnya disamping menghormati kemuliaan Ramadah dalam semua perkara yang ditimbulkan itu, maka masyarakat Islam dan bukan Islam di negara kita ini juga haruslah memahami tentang amalan dan penghayatan Islam yang sebenarnya berlaku sepanjang masa, sepanjang bulan, sepanjang tahun dan sepanjang zaman.

Inilah akibatnya kesalahfahaman umat kita pada umumnya yang menekankan tentang pemahaman Islam, seolah-olah Islam itu hanya pada amal ibadat khusus sahaja, tidak lebeh dari itu, maka Islam juga seolah-olah hanya diamalkan dalam waktu dan masa yang tertentu sahaja, bukan sepanjang zaman.

Lagi satu masalah yang kita hadapi sekarang ini, bukan hanya di negara kita, malah di seluruh dunia Islam, ialah kerana Islam itu sering didakwa hanya menjadi kepunyaan sekelompok orang yang tertentu, bukan kepunyaan semua orang Islam, dan paling serius lagi apabila Islam itu dipolitikkan secara yang amat sempit, seolah-olah Islam itu juga adalah kepunyaan parti politik yang tertentu, dia saja yang mahu Islam, sedangkan parti politik lain semuanya tidak islamik, tidak mahu Islam dan sebagainya. Inilah tragedi umat Islam pada hari ini.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....