Siapakah Yang Paling Keliru di Negara Kita?

Soalan di atas boleh di ungkapkan semula, iaitu yang berbunyi begini: diantara semua kaum di Malaysia ini, siapakah yang paling keliru dan kebingungan sekarang ini? Satu soalan lagi: di antara semua para pengikut agama yang banyak di Malaysia ini, pengikut agama manakah yang juga paling keliru dan bengung sekarang ini?

Dua persoalan ini bukan mudah untuk di jawab. Tetapi kalau dilihat kepada keadaan dan perkembangan politik, sosial dan kefahaman agama dan budaya bangsa pada masa kini maka nampaknya jawapan bagi kedua-dua soalan itu ialah : Melayu dan orang Islam.

Orang Melayu dan Islamlah yang paling keliru dalam masyarakat Malaysia sekarang ini. Salah satu sebabnya ialah kerana kemelut yang diciptakan oleh orang-orang agama sendiri, iaitu mungkin para ulamak, sarjana Islam, pendakwah, bukan ulamak tetapi mencuba melantik dirinya sebagai ulamak, dan berbagai-bagai golongan agama Islam yang lain lagi yang terlalu cenderung untuk menjadi mufti atau hakim, bagi mengeluarkan fatwa dan hukum.

Ulamak Islam sering mengeluarkan pandangan agama dalam berbagai-bagai masalah berdasarkan politik kepartian, iaitu berdasarkan ideologi kepartian sekiranya mereka menyertai parti politik yang tertentu. Contohnya kalimah Allah, Injil Bahasa Melayu, orang bukan Islam membaca Hadith atau Quran dan menjelaskan tentang pengertian Hadith atau Quran itu.

Ulamak dari parti politik yang memberi hukuman dan pandangannya itu akan melihat kepentingan politiknya. Kalimah Allah, kalau ulamak dari satu parti Melayu-Islam lainnya mengatakan "tak boleh" maka musuh politiknya yang juga ulamak akan mengatakan "boleh"

Ahli DUN atau Parlimen umpamanya juga akan melihat kepada siapakah yang akan dihukum itu. Sekiranya seorang ahli bukan Islam DUN dari kelompoknya membaca Hadith atau memetik ayat Quran (tak kira salah atau betul) maka ia akan kata "OK, apa salahnya?" dan ahli Islam DUN dari parti lawannya akan mengatakan "Mana boleh, salah tu".

Seorang ahli politik bukan Islam, terutamanya wanita tak berpakaian kemas, masuk surau memberi ceramah, maka tenguk dulu siapa dia. Kalau dia dari parti politik yang bersekutu dengan parti orang Islam tertentu, maka ulamak dan ahli parti sekutunya itu akan kata "Apa salahnya?" tetapi ahli dari parti lawannya akan kata "Tak boleh!"

Jadi dari sudut ini sahaja kita telah dapat mengambil kesimpulan bahawa yang nyata sekarang ini orang ramai akan berhadapan dengan percanggahan dalam mengeluarkan pendapat dan pandangan dari orang Islam sendiri, malah kadang-kadang melibatkan ketua dan alim ulamak sendiri, berdasarkan parti yang mereka anggotai, dalam memberi pandangan atau kadang-kadang mengeluarkan "fatwa" dalam isu-isu yang di pertikaikan dalam masyarakat kita, dalam negara kita sendiri.

Hal ini melarat sehingga ke peringkat rasmi, iaitu terdapat khutbah dari masjid-masjid yang membawa Hadith dan ayat Quran tentang kesalahan tindakan "Bersih" membuat perhimpunan haram yang boleh mengganggu keamanan, maka akan terdapat pula pandangan "ulamak" dan "sarjana" Islam yang akan menyanggahnya, Jakim dan orang yang membuat khutbah itu telah tersalah petik dan tersalah tafsir untuk menjustifikasikan pengharaman terhadap "Bersih 2.0" "Hadith, Fatwa abused to justify Bersih ban" kata tajuk berita internet yang terkenal dengan pendiriannya menentang kerajaan.

Ini hanya beberapa contoh terbaru bagaimanakah perkembangan pemikiran dan pandangan orang-orang agama dan bukan agama yang cenderong kepada mengeluarkan fatwa dan hukum, telah bercanggah, berselisih pandangan dengan amat ketara dan hanya menjadi berita sensasi dalam media, bukan menjadi tajuk dialog atau perbincangan ilmiah di dalam bilik kulliah atau majlis rasmi yang berperaturan, berdisiplin dan berdasarkan keilmuan.

Hal ini menjadi bahan media, malah media sendiri juga terbahagi kepada beberapa bahagian dan jenis mengikut kecenderungannya masing-masing untuk menyokong politik kepartian dan partisan.

Yang keliru ialah orang awam, orang Islam yang ramai, yang tidak faham apakah hujung pangkalnya pokok persoalan dan perbalahan ini.

Saya percaya golongan muda dan belia akan muak dengan perbalahan ini, dan akhirnya mungkin akan merasa benci terhadap pertikaian yang amat nyata ini. Dan akibat dari rasa frustrated dan hatred ini mereka mungkin akan lari saja dari agama, biarlah orang agama golongan "the so called" ulamak ini berbalah sesama mereka, tuduh menuduh, dan kita lari saja dari agama ini yang terlalu banyak pertikaian dan "dispute" nya itu.

Kita akui bahawa perselisihan pendapat dan pandangan itu adalah agak lumrah dalam agama, terutamanya dalam hal-hal ijtihad dan penggunaan akal dalam feqah harian dan melaksanakan hukum-hukum tertentu. Tetapi pertikaian itu mempunyai dasar dan asas yang kukuh yang juga merujuk kepada Quran dan Hadith serta ijmak ulamak. Tetapi yang ada sekarang ini, apabila ulamak bertikai, maka masing-masing mengeluarkan hadith yang sesuai dengan pandangannya saja, tanpa melihat isu itu secara menyeluruh dan menggunakan kebijaksanaannya yang berhikmah berdasarkan kaedah-kaedah dan hikmah syariah itu sendiri.

Dr Yusuf Al-Qaradawi dan Sheikh Muhammad Al-Ghazali sering mengambil jalan tengah dalam mengeluarkan fatwa dan pandangan mereka. Orang bertanya apakah hukumnya wanita mendedahkan wajahnya di hadapan awam, termasuk di dalam kaca TV? Maka kedua-duanya menjawab sekiranya hal itu untuk kebaikan apa salahnya. Kalau terdapat fatwa yang mengatakan wajah wanita itu aurat, ambil saja fatwa yang mengatakan bahawa wajah wanita itu bukan aurat, iaitu ambillah pandangan ulamak yang lebeh dekat kepada mentafsirkan bahawa Islam itu mudah, dan dalam keadaan yang tidak bercanggah dengan hukum yang jelas dan asasi.Dalam zaman sekarang ini tak kan pula wanita nak muncul dalam kaca tv dengan menutup wajahnya, hanya tinggal dua biji matanya saja?

Itu pun ramai jugalah para ulamak lain yang membantah pandangan mereka ini, dan mengatakan bahawa wajah wanita mesti sentiasa di tutup, malah pandangan Al-Qaradawi ini tidak semestinya di ikut.

Oleh itu perselisihan pandangan dan pendapat memang wujud, tetapi bukanlah dalam isu dasar dan hukum fundmental agama itu sendiri, malah perselisihan pandangan dalam agama adalah berdasarkan ruh dan makna sumber syariah, iaitu al-Quran dan Hadith, bukan berdasarkan politik kepartian. Ulamak mesti meletakkan kepentingan syariah itu di atas kepentingan politik dan lain-lain. Kalau berselisih pandangan, mereka seharusnya boleh mengadakan muzakarah, berbincang dengan sihat, dan mencari kepentingan agama, bukan kepentingan lain.

Para ulamak dan cerdik pandai Islam seharusnya lebeh banyak menjadi ilmuan yang menjelaskan tentang agama, bukannya menjadi hakim yang hanya pandai mengeluarkan hukum kepada orang lain dengan memilih bulu pula. Kalau demikianlah keadaannya maka artinya mereka masing-masing mempunyai kepentingan tertentu, yang hanya mereka saja yang tahu, malah kadang-kadang amat ketara kepada masyarakat umum motif dan tujuan mereka.

Ulamak haruslah mengelakkan pertentangan yang ketara sesama sendiri, terutamanya mengelakkan sikap konfrantasi dan bermusuh dengan orang lain. Dalam Islam terdapat banyak jalan penyelesaian, sulh (mengambil jalan tengah, berdamai), dialog, syura dan sebagainya. Kenapakah kita tidak menggunakan saluran ini untuk membicarakan sesuatu isu sebagai orang yang berkecuali, daripada hanya membuat isu dalam media, yang hanya mengelirukan orang awam, orang Islam kita sendiri.

Saya fikir pihak Kerajaan haruslah melakukan sesuatu yang konkrit dan jujur bagi mencari jalan ini. Malah pihak NGO's Islam yang berkecuali, masyarakat Islam dan para ulamak, serta individu dan para sarjana, haruslah memikirkan mulai sekarang bagaimanakah caranya untuk kita mengatasi kemelut agama yang amat mengelirukan ini.

Tetapi yang paling pentingnya sekali ialah sikap orang Islam, para ulamak dan sarjananya, iaitu merekalah yang seharusnya menyedari kedudukan mereka dalam masyarakat sekarang ini, dan mereka mestilah jujur untuk mempertingkatkan amalan agama, penghayatannya dan kefahamannya yang betul tentang Islam sebagai cara hidup mereka yang satu. Islam bukan dua, tiga atau lebeh berdasarkan kelompok penganutnya sama ada dalam ideologi politik, mazhab feqh, dan sebagainya. Islam itu tetap satu, tetapi kenapakan umatnya harus berpecah dan bermusuhan seolah-olah mereka bukannya dari agama yang satu?

Kita ambillah iktibar dari insiden dan peristiwa berbunuhan, serangan, peperangan sesama Islam yang sedang berlaku sekarang ini di merata-merata dunia Islam kerana konflik dan permusuhan sesama mereka, masing-masing mengatakan mereka saja yang betul, masing-masing mendakwa bahawa merekalah yang "berjihad" masing-masing memekik "Allahu Akbar" masing-masing menunjukkan jari tanda kemenangan, dan berperanglah serta berbunuhanlah terus menerus. Mereka tidak tahu atau tidak mahu menguruskan konflik dan perselisihan mereka secara baik. Pembunuhan dan keganasan menjadi alat untuk menyelesaikan masalah dan kes mereka masing-masing. Sampai bilakah keadaan ini akan berterusan di kalangan dunia dan masyarakat Islam ini? Allah saja yang mengetahuinya, kalau kita tidak melakukan sesuatu yang berhikmah dan berilmu.

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....