Mana Dia Ketua Parti Lain?

1. Saya nampak Ketua Pembangkang DSAI dan Presiden PAS saja yang menyertai perarakan Bersih. Mana dia Ketua DAP, Penasihat dan wira-wira mereka yang tertinggi? Adakah maknanya ketua-ketua dari parti politik Melayu-Islam saja yang bertindak melawan Melayu-Islam? Diatur supaya kita melawan sesama kita? Sehinggakan yang kena tangkap pun sama juga, Melayu-Islam, atau bukan Islam hanya anak-anak ikan kecil sahaja? Mana dia Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh dan "big guns" yang lain?

2. Perarakan Bersih bukan anjuran NGO's. Lebeh bermotifkan politik, kerana parti politik yang menyertainya, parti politik Melayu dan majoriti Islam ,kerana ketua-ketua politik yang menyertainya ialah orang Melayu-Islam seperti yang saya sebutkan di atas. Kalau hendak menyatakan perasaan, seluruh rakyat menyertainya seperti yang berlaku di dunia Arab. Kalau motifnya politik, maka terdapat mesej politik, iaitu semata-mata hendak menjatuhkan Kerajaan yang ada, supaya kuasa politik berpindah kepada mereka, jadi tujuannya itu tidaklah menyeluruh, bagaimanakah dengan rakyat majoriti yang lain, yang tidak menyokong parti politik secara partisan dan taksub, apakah mereka menyokong pembangkang?

3. Rakyat yang tidak berpolitik secara partisan akan melihat yang baik itu tetap baik, dan yang tidak baik itu tetap tidak baik, sama ada dilakukan oleh parti politik mana sekali pun, parti pembangkang atau parti pemerintah. Rakyat yang tidak partisan inilah yang melihat bahawa gerakan Bersih ini tidak baik untuk negara dan orang ramai mengikut tindakan penganjurnya yang tidak mahu bertolak ansur.

4. Banyak media baru yang sengaja mengambil sikap berat sebelah, menyebelahi penganjuran Bersih. Motifnya juga tentulah politik berat sebelah. Kalau tunjuk perasaan dijadikan alat politik, kemudian mendapatkan simpati rakyat kononnya kerana kepentingan rakyat, maka tujuannya tidak sihat, hanya akan menyebabkan perkembangan yang belum tentu baik untuk semua rakyat, kerana perjuangan politik partisan hanya mewakili sebahagian rakyat sahaja, bukan menyeluruh.

5. Saya bersetuju dengan pandangan PM supaya tidak perlulah di tahan sesiapa pun yang menganjurkan Bersih ini mengikut ISA, kecuali yang memang benar-benar melakukan kesalahan yang diperuntukkan untuk ditahan di bawah ISA.

6. Demikian juga tidak perlu sesiapa pun dilucutkan kerakyatannya, kerana mereka tetap rakyat negara ini, mereka lakukan demikian mungkin kerana masing-masing mempunyai kepentingan sendiri, tetapi masih mahu menjadikan negara ini sebagai tanah air mereka. Kalau mereka sendiri yang tidak mahu menjadi rakyat negara ini, maka hal itu terserahlah.

7. Ketua-ketua parti politik Melayu-Islam, atau mejoriti Melayu, bolehlah renong-renongkan secara ikhlas dan mendalam, tanya hati nurani sendiri, apakah mereka mahu Islam yang telah berjalan dengan baik, dan telah maju jauh ke hadapan di negara ini, mahu dikucar kacirkan? Apakah kita tidak cukup Islam lagi dalam keadaan sekarang? Apakah pembangunan dan kemajuan Islam yang telah jauh dilakukan dalam negara kita ini hendak kita rosakkan kerana kepentingan yang tertentu? Tambahan pula, PAS sendiri telah melonggarkan dan membawa agenda Islam ke arah yang lebeh moden dan terkini, negara kebajikan dan kesejahteraan untuk semua? Tahukah kita siapakah yang hendak merosakkan "Islam" kita sekarang? Tahukah kita apakah agenda tersembunyi untuk melemahkan Islam di sebalik apa-apa yang berlaku sekarang ini di sekeliling kita? Apakah kita nampak tangan-tangan ghaib yang sedang bermain di belakang kita untuk merosakkan agama kita masa kini?

8. Saya rasa, semua pihak sekarang perlu mengambil masa sedikit sebagai masa bertenang dan bermuhasabah diri. Semua pihak, iaitu orang politik, ketua dan pengikutnya, orang media, orang biasa dan orang awam, perlu bertenang dan berfikir, ambil iktibar, fahami dan renungkan dengan adil dan ikhlas, apakah kita peerlu berkonfrantasi atau berharmoni?

9. Sekurang-kurangnya sesama Islam, kita ambillah ajaran agama kita, berdamai, berharmoni, bersopan, berakhlak, beretika, mencari jalan tengah yang baik, "sulh" sesama kita, jangan memusuhi semua orang, jangan buruk sangka, syak wasangka yang keterlaluan. Fikir-fikirkanlah...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....