TAK PERLULAH SAMPAI AGONG BERTITAH

Bagaimana pun kali ini tak mengapalah sehingga SPB Yang Di Pertuan Agong terpaksa masuk campur untuk mengelakkan perbuatan pihak-pihak tertentu yang menganjurkan perjumpaan Bersih 2.0 itu.

Rakyat sendiri sebagai warga negara yang matang dan rasional, yang mengetahui buruk baiknya tindakan mereka, itulah yang seharusnya menyedari akibat tindakan mereka yang ekstrem itu tanpa menunggu Agong sendiri yang menyatakan demikian.

SBD Yang Di Pertuan Agong, sebagai ketua di raja yang berdaulat, seharusnya tidak perlu lagi masuk campur mengingatkan rakyat tentang sesuatu tindakan mereka yang keterlaluan itu, yang sebenarnya amat jelas tindakan itu hanya akan mencetuskan huru hara dan suasana yang tidak aman dalam negara. Hal ini memang difahami oleh majoriti rakyat, malah mungkin kanak-kanak sekolah pun tahu akibatnya.

Baginda hanya mungkin perlu masuk campur dalam isu-isu negara yang lebeh penting dan lebeh bersifat global, daripada terpaksa masuk campur dalam tindakan segelintir manusia yang ingin melancarkan gerak gempur yang merbahaya itu. Pihak penganjur sendiri seharusnya telah dapat melihat sendiri bagaimanakah suara-suara rakyat majoriti di sekeliling yang menyatakan tentangan mereka terhadap niat dan cita-cita penganjur itu, iaitu suara rakyat dari kepelbagaian persatuan, kumpulan, pertubuhan, orang perseorangan, pihak pentadbiran negara, pemerintah dan sebagainya, yang secara jujur menyatakan bahawa niat mereka itu adalah terkeluar dari tatasusila negara dan melanggar etika serta budaya kita.

Tetapi tak mengapalah kali ini Agong terpaksa masuk campur, dan melegakan suasana tegang yang mulai dirasakan bahangnya oleh semua peringkat rakyat di seluruh negara, serta rasa takut dan bimbang di kalangan peniaga, pelancong, pelajar, pasukan keselamatan, tentera, polis dan berbagai-bagai sektor serta kalangan rakyat yang mulai berdebar-debar menanti ketibaan 9 Julai itu.

Kesedian SPR berunding, diketepikan. Kesediaan pihak berwajib negara untuk membenarkan perjumpaan itu di adakan di dalam tempat tertutup seperti stadium di pandang sepi, sehinggalah Agong bertitah, dan setelah "wira" pengajur mengadap Agong, barulah berlaku pertukaran fikiran.

Bagaimana pun, kali ini kita semua haruslah redha dengan apa yang berlaku, walau pun pandangan umum rakyat merasakan bahawa Agong sepatutnya hanya bertitah, tak perlu lagi menerima mengadap sesiapa pun yang seharusnya telah memahami mesej baginda itu, tetapi kali ini kita haruslah menerima hakikat bahawa Agong memang melakukan apa-apa saja untuk keamanan dan ketenteraman para rakyat baginda, walaupun terpaksa menjelaskan sendiri kepada individu-individu yang tertentu tentang niat ikhlas baginda itu.

Marilah kita melihat ke hadapan dengan penuh harapan, bahawa segala tektik dan cabaran atau ugutan yang hanya akan menimbulkan ketegangan dan kemarahan rakyat majoriti, haruslah difahami sendiri oleh penganjur dan pengemudinya, tanpa perlu menunggu Agong bertitah, kerana kalau demikianlah halnya maka Agong nampaknya akan selalu terpaksa bertindak masuk campur bagi menegur kelakuan rakyatnya yang kelihatan semakin rakus dan tidak beretika, sedangkan hal-hal begini biarlah rakyat sendiri yang menyedarinya tanpa teguran dari baginda.

Eloklah semua kalangan rakyat mengambil iktibar dari peristiwa ini, biarlah kita tetap berada dalam negara dan penduduknya yang bertamadun ! Bukan negara dan rakyat yang masih mundur dan tidak rasional.

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....