HARI KEDUA PULUH ENAM PUASA

Orang kampung kami gembira kerana Sahak Tuli dan isterinya Minah Cepoh dapat berganding tenaga dalam bulan puasa ini memetik kelapa dan mengumpulkannya, malah Minah Cepoh mulai pula mengupik kelapa dengan menggunakan "cop" tajam yang dipacak di atas tanah. Minah semakin cekap menggunakan cop tesebut dan membantu Sahak Tuli dalam mendapatkan pendapatn tambahan, kerana orang kampung akan membayar lebih jika kelapa itu siap di kupas.

Berbeza dari Sahak Tuli, seorang lagi oku kampung kami bekerja menumbuk padi dengan menggunakan lesong kaki, namanya Hashim, tetapi orang kampung panggil dia Cin saja, dan oleh kerana matanya tak nampak, dia dikenali dengan nama Cin Kelam. Badannya agak kuat dan sasa, sebab itulah dia kuat menumbuk padi dengan lesong kaki ini. 

Lesong kaki agak unik bentuknya, terdiri dari kayu sebatang yang agak besar dan berat. Di hujung yang besar itulah di pasang antan untuk menumbuk padi, dan dihujung sebelah satu lagi ialah tempat pijak. Dua batang kayu yang kuat ditanam di kiri kanan batang lesong ini, yang merupakan tiang yang mengikat batang lesong ini menyebabkan kedudukannya agak tinggi dari tanah, dan kedudukan tiang ini lebeh dekat dengan tempat pijak, supaya apa bila dipijak lesung itu, bahagian hadapan akan terangkat, seperti kepala dan leher zirafah, agak tinggi dan antannya turun dengan agak laju ke atas lubang lesong yang berisi padi itu. Demikianlah proses menumbuk padi dengan lesung kaki ini, dan mengambil masa sehingga setengah jam atau lebih, bergantung kepada berapa banyak padi yang hendak ditumbuk.

Di lesung yang berisi padi itu pula mestilah ada seorang yang menjaganya, kadang2 emak yang menjalankan tugas ini, dikacau dari masa ke semasa supaya rata tumbukan, dan dikeluarkan untuk dicuci kulitnya, kemudian yang belum habis kulitnya, akan dimasukkan sekali lagi, atau dua kalu lagi, sehingga semuanya lumat, menjadi beras yang berkhasiat, kerana Cik Gu sekolah saya mengatakan bahawa padi tumbuk lebeh banyak khasiatnya, kerana kulitnya di buang betul2 di luar padi sahaja, bukan seperti beras kilang yang kulitnya dibuang terlalu banyak, termakan beras, sedangkan khasiat beras ialah di bawah kulitnya, kalau dibuang kulitnya dan termakan isi, maka yang tinggal itu tidak banyak khasiatnya. Tak taulah di mana Cik Gu saya ni membaca kisah tersebut. 

Dengan orang2 oku dan bantuan orang kampung ala kadarnya memberi mereka rezeki, maka suasana kampung kelihatan amat harmoni dan bahagia. Malah dalam bulan puasa, mereka diberikan banyak tugas supaya mereka mendapat pendapatan yang lebih untuk menyambut Hari Raya. Mereka juga perlukan baju baru, kueh mueh dan juadah sekadarnya untuk dijamu kepada orang2 yang sudi mengunjungi mereka pada hari Raya nanti.

Tetapi cara orang kampung merayakan hari lebaran dulu tidaklah sama dengan zaman ini. Kadang2 dengan pinggan mangkuk beranika warna dan corak, telah cukup untuk digunakan bagi menghidang makanan dan juadah. Cawan dan gelas bercampur aduk, berbagai saiz dan warna juga, malah pinggan dan cawan sumbing juga kadang2 dikeluarkan, sebab itulah saja yang ada. Yang pentingnya ialah tanda kemesraan dan kesudian masing2 iaitu tuan rumah dan tetamu yang datang.

Orang kampung di Utara ini, bukan seperti orang di sebelah Selatan, mereka memadai dengan hidangan ketupat pulut dan kari ayam saja. Satu jenis makanan ini sudah cukup, minum air teh tanpa susu, kadang2 agak mewah air sirap yang dibuat sendiri, tidaklah manis sangat kerana bekalan gula mereka amat terhad. 

Yang agak berduit, bernasib baiklah anak2 yang mengunjungi mereka, tetapi pemberian wang pada waktu itu hanya 5 atau 10 sen sahaja, tak lebeh dari itu. Itu pun tidaklah pula kanak2 itu menunjukkan rasa tidak puas hati mereka seperti kanak2 sekarang yang mendapat wang Raya seringgit sahaja, lalu menunjuk perasaan, tak berapa suka hati.

Namun adat menziarah kubur memang menjadi tradisi dan adat orang kampung. Pada hari itulah mereka akan membersihkan pusara keluarga masing2, membetulkan tanda kubur yang kadang2 agak condong, atau mulai reput dimakan anai2. Tanah perkuburan amat tenang sekali, pohon2nya rimbun penuh daun menghijau, bunga kemboja juga tumbuh tanpa ditanam, suasna amat redup, dan ketika angin bertiup sepoi2 bahasa, udara menjadi amat nyaman, seolah2 menyejukkan hati para keluarga dan waris yang mengunjungi orang2 yang tersayang di puasara masing2 itu.

Demikianlah hati dan perasaan, emosi dan naluri orang2 dulu samalah dengan orang sekarang. Banyak wajah pengunjung yang kelihatan sedih dan pilu merenung pusara ibu ayah atau adik beradik masing2, sambil mulut mereka kumat kamit membaca ayat2 suci untuk arwah yang telah pergi dulu menyahut panggilan Ilahi.

Kehidupan kampung yang sedia mesra dengan penghuninya yang masih hidup, maka penduduk kampung amat tabah dan tenang menghadapi arwah mereka yang telah meninggal dunia. Hidup sederhana dan berpada dengan segala yang ada, menunjukkan bahawa tabiat orang Melayu adalah sentiasa diwarnai dengan nilai2 akhlak dan adab sopan keislaman yang mereka warisi sekian lama.

Kedudukan beberapa orang oku di dalam kampung seolah2 menambahkan lagi asam garam kehidupan mereka, iaitu penuh dengan kepelbagaian perasa dan rencah, semuanya lebur dalam satu kehidupan harmoni masyarakat kampung yang serba sederhana. Sahak Tuli dengan Minah Cepoh serta Cin Kelam, bukan menjadi bahan senda gurauan, tetapi menambahkan lagi rasa simpati dan timbang rasa sesama masyarakat kampung yang amat sederhana itu. Panggil nama dengan gelaran masing2 semata2 dilakukan untuk mudah di cam dan dikenali, bukan untuk menjadi bahan cacian,  sebab itu orang kampung banyak yang mempunyai identitinya dengan gelaran itu, ada Me Bodoh, Tok Pi'e capik, Tok Hasan Kuah, Awang Pak Da, Tok Hasan Matahari Naik, Tok Dolah Paya, Din Sekerap, dan macam2 lagi yang tidak dapat saya ingatkan lagi sekarang ini. Panggilan itu adalah panggilan mesra sesama orang kampung.

Ketika memasuki hari ke-26 berpuasa pada hari ini, hati saya kadang2 terasa kehilangan akan lemak manis hidup pada waktu itu, terasa rindu kembali kepada kehidupan yang tenteram dan bahagia ketika itu, tambahan pula pada masa itu emak dan bapa sayalah yang sering mengupah mereka tadi, memetik kelapa dan mengupasnya, menumbuk padi dengan lesung kaki yang mungkin pada masa itu satu2nya yang ada di kampung kami, iaitu dirumah saya.

Sekarang kalau kembali ke kampung itu, saya hanya dapat menziarahi pusara bapa saya yang telah sekian lama berada di tanah perkuburan itu. Tetapi sungguh pun telah lama, namun kami masih dapat mengecamnya, dan masih dapat membaca yasin dan ayat2 suci untuk arwahnya. Pusara emak saya pula terletak di kampungnya yang asal, di Sungai Lokan, dan bila ke sana, maka makamnya di sana pula yang dapat kami ziarahi, membaca ayat suci, dan mngenangkan kehidupan silam disampingnya, ibu yang tentunya bagi kami merupakan ibu yang paling baik di dunia ini, dan bapa kami juga merupakan bapa yang terulung di dunia ini. Kenangan itu tetap kembali kepada kami adik beradik setiap kali kami menziarahi makam mereka, terutamanya menjelan Hari Raya setiap tahun...Dan bagi tahun ini, hari itu akan menjelang hanya tidak berapa hari saja lagi...perasaan pun menjadi bercampur baur, sedih, hiba dan penuh kenangan, tetapi hidup ini mesti diteruskan berpandukan kepada pengajaran yang mereka berikan kepada kami, namun pada masa kini juga apabila mengenangkan arwah orang2 kampung yang telah pergi, terutamanya Sahak, Minah dan Cin, seta lain2 yang membawa gelaran masing2 hilang ke dalam pusara dan kubur mereka, maka hal ini boleh menjadikan kami mengukir senyuman juga...Betapa baiknya hati mereka, dan hati orang2 kampung semua....Betapa aman dan indahnya kehidupan ketika itu, yang mungkin tidak kelihatan lagi pada masa kini.....Semoga Allah SWT mengembalikan keindahan dan kedamaian itu lagi, dan kita sendiri dapat bertindak menciptakan suasana damai dan bahagia itu seteusnya menjelang berakhirnya bulan Ramadan tahun ini, insya'Allah, Amin, Amin Ya Rabbal 'Alamin..

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....