HARI KELAPAN BELAS PUASA

Ada kewajarannya apabila rakyat dan kebanyakan pimpinan negara menghamburkan kata2 pujian dan dorongan kepada pemain badminton Lee Chong Wei walau pun dia tidak berjaya mengatasi pemain lawannya dengan jurang mata yang yang amat tipis untuk memenangi pingat emas dalam acara badminton sukan olimpik yang berprestij itu.

Bagi saya disebalik keikhlasan kata2 sanjungan itu, terselit satu mesej supaya dalam permainan dan dalam menghadapi saat2 genting seperti ini sesiapa sahaja, termasuk Lee Chong Wei dalam kes ini, haruslah lebeh bersedia dengan kekuatan mental dan jiwa yang lebeh mantap dan kental untuk mencapai kejayaan. Mungkin dari aspek inilah pemain badminton kita itu agak tertekan dalam mencapai kemenaangan, terutamanya rekod telah membuktikan bahawa dia lebeh banyak mengalami kekalahan kepada lawan tradisinya ini, dan tekanan itu menjadi semakin genting kerana perlawanan itu berlaku dalam temasya sukan dunia, juga keputusan yang seolah2 dibuat oleh orang ramai terlebeh dahulu bahawa kali ini dia akan mendapat kemenangan, iaitu mendapatkan pingat emas yang pertama untuk negara dari sukan ini.

Dalam konteks bulan Ramadan, ketika umat Islam menunjukkan satu kekuatan yang luar biasa untuk melakukan ibadat puasa selama sebulan ini, kekuatan jiwa dan mental inilah sebenarnya yang dapat dimanfaatkan dalam hal ini. Bagi orang yang tidak pernah menahan diri dari makan dan minum selama kira2 14 jam, maka hal ini bukanlah merupakan sesuatu yang dapat dilakukannya dengan mudah. Mungkin bagi orang2 ini mereka tidak dapat pun membayangkan bahawa manusia biasa dapat menahan diri dari makan dan minum dalam jangka masa yang agak panjang itu. Mereka merasakan bahawa mungkin tidak mengapa untuk tidak makan dalam masa tersebut, tetapi untuk tidak minum dalam jangka masa yang panjang itu hampir mustahil dapat dilakukan oleh manusia biasa, terutamanya di negara yang cuacanya amat panas.

Baru2 ini ketika menonton satu program TV Al-Hijrah, iaitu pertemuan dengan kanak2 yang belum lagi wajib berpuasa, seorang kanak2 bertanya hos, katanya "Apa yang saya nak buat kalau saya berpuasa, tiba2 saya merasa terlalu lapar?" Jawapan yang diberikan agak baik iaitu makan sahur banyak sikit,  dan lewatkan masa sahur itu" Memang itulah satu hikmat yang terdapat dalam hal ini, iaitu melewatkan sahur. Tetapi satu aspek lain yang boleh juga ditekankan  ialah bagaimanakah mendapatkan kekuatan dari segi mental dan jiwanya pula untuk berpuasa ini selain dari kekuatan fizikal dan tuntutan jasmani untuk tidak makan dan minum sepanjang hari.

Di sinilah letaknya satu hikmah dan motivasi yang kuat dalam ajaran agama kita, yang seharusnya dilakukan dalam semua ibadat dan kerja yang hendak kita lakukan untuk mendapat kejayaan, iaitulah NIAT kerana Allah ketika kita hendak melakukan sesuatu amalan dan aktiviti itu, terutamanya amalan dan kerja yang terlalu berat cabarannya. Niat untuk melakukan sesuatu tentulah termasuk segala cabaran dan kekuatan yang harus di tempuhi dan dilakukan untuk mencapat matlamat dari niat itu.

Kita dapat menahan diri dari makan dan minum sepanjang bulan Ramadan dalam segala keadaannya, kerana dari malamnya kita telah berniat untuk berpuasa, maka niat ini telah cukup memberikan kekuatan mental dan fizikal untuk membolehkan kita mengatasi segala halangan dan cabaran untuk berpuasa, dan dalam hal ini memanglah kita memerlukan juga makanan fizikal seperti bersahur itu. Namun sahur juga kadang2 terlepas bagi orang yang tidak mudah bangun, tetapi dalam keadaan yang tertentu, banyak orang yang hanya bersahur dengan meneguk air sahaja, namun kerana dia telah berniat untuk berpuasa, maka dia dapat melakukannya.

Inilah juga sebenarnya hikmah dalam semua ibadat yang hendak kita lakukan seperti sembahyang dan kerja haji atau umrah. Kita berniat untuk menghabiskan tawaf dan sa'i sebnyak tujuh kali, maka bagaimana  penat badan sekali pun, kita tetap akan menghabiskannya sebanyak tujuh kali, menepati distinasi yang telah kita tetapkan ketika melakukan pergerakan dan rukun ibadat tersebut.

Inilah sebenarnya latihan dan dorongan mental dan jiwa, perasaan dan keazaman yang kita perolehi ketika agama kita menetapkan bahawa sesuatu yang hendak kita lakukan itu mestilah disertai dengan niat, kemudian kita laksanakan dengan mengerah segala kekuatan mental dan fizikal kita bagi melaksanakannya dengan penuh kejayaan. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda bahawa segala amalan itu adalah dilaksanakan dengan niat, dan dalam konteks kita yang beragama Islam, maka niat itu hendaklah kita lakukan kerana Allah dengan segala komitmen dan implikasinya yang dapat kita pelajari dari ilmu agama kita sendiri.

Allah SWT berfirman "Apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah" iaitu tawakkal yang mengandungi usaha meletakkan segala keyakinan kepada Allah SWT setelah manusia sendiri seharusnya menggunakan segala kekuatan jasmani dan rohani untuk melaksanakan sesuatu yang hendak dilakukannya itu, dan tentulah mempunyai persiapan ilmu yang cukup tentang segala unsur kejayaan dan pantang larang yang telah ditetapkan oleh agama kita sendiri.

Hal inilah nampaknya yang dilakukan oleh rakyat negara2 maju sekarang ini, iaitu kekuatan mental dan fizikal dalam memajukan kehidupan mereka di dunia ini, walau pun bagi orang2 yang tidak beragama, mereka hanya memerlukan kehidupan dunia yang berjaya, maka mereka akan bekerja dengan sepenuh daya bagi  mencapai kejayaan itu.

Kita melihat rakyat negara Jepun dan Korea umpamanya,  mereka telah menunjukkan satu pencapaian yang tinggi dalam kehidupan ini, terutamanya dalam teknologi, iaitu bagaimana industri kereta dan komunikasi umpamanya, telah membangun dan bekembang dengan pesat, lalu kita dapat melihat industri kereta Jepun dengan Toyota, Honda dan sebagainya, juga TV dan peralatan komunikasi yang canggih dalam mengeluarkan hasil letronik, juga perusahaan kereta Korea, dan kemunculan Samsung yang begitu canggih sehingga dapat mengatasi produk teknologi Barat sendiri. Maka semuanya ini adalah hasil dari kreativiti mereka yang terletak di atas keazamaan dan mental mereka yang kuat untuk mencapai satu matlamat dalam bidang peindustrian ini.

Orang Islam dalam hal ini sepatutnya dapat melakukan kemajuan yang sama, kerana orang Islam telah dilatih untuk berhemah dan berazam, mempunyai cita2 dan matlamat yang amat unggul dalam hidup kerohanian dan kekuatan jasmaninya, kekuatan pemikiran dan cita2nya, tambahan pula kebanyakan negara Islam dikurniakan Allah SWT dengan kekuatan ekonomi dengan hasil bumi yang banyak seperti gas dan petrol, tetapi kekuatan pada pandangan kebanyakan umat Islam, mungkin hanya ditafsirkan sebagai kekuatan rohani dan ibadat semata2, lalu mereka mungkin hanya kuat dalam ritual dan fardu ain, tetapi ketinggalan dalam kekuatan lain, seperti ekonomi dan teknologi, yang juga sebenarnya merupakan satu ibadat yang dituntut oleh agama.

Contohnya memang banyak yang dapat kita kemukakan kepada umum tentang kelemahan kita ini, malah balik kepada sukan olimpik ini, sekadar perbandingannya saja, mungkin kita dan Mesir saja setakat ini yang termasuk dalam senarai negara Islam sebagai pemungut pingat walau pun hanya berada di ekor2, di peringkat bawah saja. (Tetapi contoh ini agak remeh saja pada pandangan sesetengah orang, kerana hal ini mungkin tidak diperlukan, namun hal ini dikemukakan sebagai contoh sahaja kerana kita sedang bercakap tentang Lee Chong Wei dan sukan badmintonnya! Dan kita juga melihat bagaimana Korea dan Jepun, terutamanya negara Cina telah mencapai kejayaan yang tinggi)

Maka dalam masa kita sedang menjalankan ibadat puasa, yang pada hari ini telah memasuki hari yang ke-18, harap2 dapatlah kita menginsafi ajaran ibadat ini, dan akan kita teruskan mendidik jiwa dan akal serta mental anak2 kita agar menjadi kuat dan cemerlang dalam menghadapi arus kehidupan dan kemajuan rohani dan jasmani, yang hampir2 pupus dari dunia kita orang Islam, dibolot dan dikuasai oleh orang lain sedangkan kita mempunyai satu pegangan hidup yang kukuh iaitu ajaran agama kita untuk dunia dan akhirat.

Saya sendiri telah berniat untuk menulis setiap hari dalam blog ini sepanjang bulan puasa, maka niat itu mestilah saya tunaikan dengan sebaik2nya, mencari masa dan mendapatkan bahan untuk meneruskan penulisan ini, dalam keadaan yang kadang2 penat dan tercabar, rasa tak mengapalah tak tulis pun, tetapi kerana telah berazam dan berniat untuk meneruskannya, maka Allah telah memberikan kekuatan sekadarnya untuk saya menulis di sini.

Semoga Lee Chong Wei juga dapat merasakan semangat ini, walau pun dia bukan Islam, kerana Islam itu adalah agama universal untuk semua manusia, tambahan pula dia telah pun membuktikan kepada dunia bahawa dia boleh, mungkin kerana slogan "Malaysia boleh" lalu dia telah membuktikan kebolehannya mengalahkan semua orang lain, kecuali Lin Dan! 
Selamat berpuasa hari yang ke-18 hari ini. Barakallahu fikum.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....