HARI KEDUA PULUH SEMBILAN PUASA

Selesai saja Imam memberi salam terakhir sembahyang witir semalam, malam ke-29 puasa, dan ketika para jemaah akan beredar meninggalkan ruang masjid, maka saya rasa ramai yang sudah pun merasa satu perasaan yang mungkin tidak dapat digambarkan dalam sepatah dua kata sahaja, kerana perasaan itu amat bercampur baur, diantara sunyi dan sedih, dukacita dan harapan, kerana nampaknya bulan Ramadan akan terpisah sekali lagi dalam hidup mereka, jadi setiap yang berpisah, biasanya perpisahan itu akan diiringi dengan rasa sunyi dan sepi, entah akan bertemu lagi atau tidak, hanya Allah saja yang akan menentukannya.

Demikianlah jangkaannya, Ramadan pada tahun ini, yang dilalui dengan agak pantas dan cepat, mungkin akan berakhir pada hari ini, hari ke-29, dan esoknya akan menjelma Syawal jika pengumuman Penyimpan Mohor Raja-Raja Melayu mengisytiharkan esok, hari Ahad 19 Ogos 2012, sebagai 1 Syawal, menjelangnya Hari Raya 'Aidil Fitri tahun ini.

Bagaimana pun suasana di masjid, ketika bersalaman dengan imam dan para jemaah, terutamanya yang hanya baru terjalin tali persaudaraan melalui malam2 Ramadan di masjid atau surau, hati2 mereka telah merasa akan berpisah dari jemaah yang saban malam menunaikan terawih dan witir, yang menyaksikan saf2 sembahyang yang teratur dan panjang, setiap malam berkumandang dengan ayat2 suci bacaan imam yang khusyuk itu. Terasa sudah perpisahan diantara teman dan kawan, berpisah dengan masjid yang sering dibanjiri jemaah, dan akhirnya berpisah sudah dengan Ramadan yang hanya menjelma sekali setahun, bererti Ramadan tahun ini juga akan beredar meninggalkan kita yang meneruskan kehidupan dalam suasana dan udara yang biasa.

Saya telah dapat membayangkan takbir raya yang akan dikumandangkan ke udara oleh kaum Muslimin, yang telah menjadi budaya kita, bahawa pada malam Raya penduduk kampung dan perumahan akan menganjurkan takbir dari rumah ke rumah. Budaya ini amat baik untuk merapatkan tali silaturrahim antara jiran tetangga. Malah nada dan irama takbir kita orang Melayu ini terasa amat lunak dan merdu sekali, juga meresap masuk ke dalam kalbu dan hati nurani kita dengan kelembutan dan kesayuannya yang amat unik sekali.

Saya berada di negara Arab beberapa tahun, semenjak menjadi pelajar semasa muda dulu, dan ketika bertugas di kedutaan kita di Saudi. Saya dapat merasakan keindahan irama dan nada takbir kita yang berbeza sekali dari suara takbir di negara lain. Hal ini sebenarnya merupakan satu warisan seni bangsa kita yang dibawakan di dalam takbir raya, demikian juga di dalam ucapan "marhaban" "selawat" dan sebagainya, iaitu semuanya dari tradisi Islam, tetapi telah diungkapkan dalam bentuk seni Melayu dan Islam secara yang amat lembut dan bersesuian dengan deria pendengaran kita sendiri. Dalam Qasidah, tilawah al-Quran juga kita mempunyai lagu yang tertentu, yang diwarisi dari nenek moyang kita secara tersendiri, dan saya rasa kita, umat Melayu ini haruslah berbangga dengan seni Islam warisan itu, yang saya percaya merangkumi umat Melayu di kawasan Nusantara ini.

Oleh itu, sebagai seorang yang telah lama mengalami perkembangan seni budaya bangsa kita ini, yang kemudiannya dilaksanakan dalam eksperis seni Islam, maka saya terfikir juga bahawa dalam bersembahyang terawih itu sendiri, kita sebenarnya mewarisi tradisi selawat dan bacaan doa tersendiri, yang namnpaknya pada akhir2 ini telah kita ubah.

Bagaimana pun saya tidak menentang perubahan itu, yang terntunya mempunyai rahsia dan pengajaran Islam sendiri yang mengalami perubahan dari masa ke semasa. Umpamanya dalam tradisi sembahyang terawih yang kita lakukan sebelum ini, kita mempunyai bacaan dan selawat dalam bilangan dan bentuk yang tertentu di antara sembahyang terawih itu, iaitu setelah imam memberi salam, dan sebelum menyambung sembahyang itu dalam sembahyang berikutnya, maka terdapat  ungkapan memuji Allah (Fadlan minallahi wa ni'mah) dan selawat sekali, kemudian seetelah selesai sembahyang berikutnya terdapat bacaan tasbih (Subhana malikil ma'bud)dan selawat sebnayk tiga kali, diiukuti dengan doa yang termashyur momohon keredaan dan keampunan Allah.  (Allahhumma innaka afuwun karimun tuhibbul 'afwa.........)dan sebagainya.

Bagaimana pun dalam hal ini saya merasakan kita mempunyai pilihan, iaitu untuk meneruskan tradisi ini, atau tidak membacanya, meninggalkannya sama sekali, dan hal ini tentulah tidak menjadi isu yang besar. Cuma yang saya sebutkan di sini ialah bagaimana hal ini telah dibudayakan di dalam kehidupan ibadat yang kita lakukan itu, dan bagaimana hal ini telah mengalami perubahan, yang mungkin kerana kita merasakan bahawa amalan orang lain itu labeh baik, lalu kita tinggalkan. Atau kita merasakan bahawa amalan orang tua kita dulu hanya sia2 saja. Hal ini mungkin dapat difikirkan oleh orang Melayu sendiri berpandukan juga kepada ajaran dan nilai Islam yang murni.

Satu hal lain yang sering menjadi pertikaian pada awalnya dulu, sungguh pun hal itu tidak lagi menjadi isu besar dalam masyarakat kita, ialah tentang bilangan rakaat dalam sembahyang terawih, sama ada lapan atau dua puluh. Hal ini menjadi pilihan makmum nampaknya pada masa kini, iaitu apa bila cukup lapan rakaat maka ramai yang keluar dan terdapat pula makmum yang meneruskan sehingga akhir. Nampaknya kita mempunyai pilihan dalam hal ini, malah sepanjang pengetahuan saya terdapat negara Arab yang mendirikan sembahyang terawih sepanjang malam sehingga ke waktu imsak, iaitu dengan imamnya bergilir2 mengimamkan terawih dan witir, dan makmumnya juga bertukar2, iaitu ada yang keluar setelah menyelesaikan sembahyang mengikut perkiraannya, dan makmum baru yang datang agak lewat, setelah selesai makan minum, atau mungkin tidur dulu, lalu menyertai makmum lain dan akan menyelesaikan sembahyangnya mengikut perkiraannya sendiri pula, ertinya masjid itu akan dihidupkan sepanjang malam sampai ke waktu imsak. Hal ini merupakan amalan setempat yang kemudiannya menjadi amalan masyarakat tersebut, dan tentulah mempunyai kelebihannya tersendiri, dan perkara ini menjadi adat setempat yang tidak dipertikaikan lagi.

Namun isu bilangan rakaat sembahyang terawih ini tidak timbul pada masa yang lampau. Saya mengalami zaman lampau ketika kita menunaikan sembahyang terawih lengkap 20 rakaat ditambah dengan tiga rakaat witir, iaitu ketika sesiapa saja yang agak baik bacaannya boleh menjadi imam, tidak semestinya orang yang hafal Quran, kerana ayat2 yang dibaca selepas surah Al-Fatehah, hanya ayat2 lazim yang pendek mengikut susunan yang telah diamalkan oleh nenek moyang kita dulu.

Dalam sembahyang terawih yang pertama, setelah imam membaca Al-Fatehah, maka ia akan membaca surah "Al-Takathur" yang hanya terdiri dari 8 ayat, dan dalam rakaat yang kedua bagi setiap kali terawih ini, imam akan membaca surah "Al-Ikhlas" yang terdiri dari 4 ayat sahaja. Bacaan surah2 dalam rakaat yang pertama terawih, selepas surah Al-Fatehah, adalah seperti berikut:
1. Al-Takathur 8 ayat
2. Al-Asr 3 ayat
3. Al-Humazah 9 ayat
4. Al-Fiil 5 ayat
5. Qiraisy 4 ayat
6. Al-Ma'un 5 ayat
7. Al-Kauthar 3 ayat
8. Al-Kafirun 6 ayat
9. Al-Nasr 3 ayat,
10. Al-Masad 5 ayat.

Hampir keseluruhan makmum pada masa itu menghabiskan sembahyang terawih sebanyak 20 rakaat ini, ditambah pula  tiga rakaat witir dengan dua salam. Masa yang diambil agak singkat, dan mereka yang terdiri dari orang kampung yang tidak sentiasa berlumba dan bersegera dalam melakukan sesuatu, akan dapat releks juga diantara sembahyang terawih dengan mengucapkan selawat dan menadah tangan mengaminkan doa yang dibaca berselang seli di antara sembahyang terawih itu.

Mungkin tidak kita mengetahui dari manakah tradisi dan bacaan ayat2 ini dilakukan di dalam masyarakat kita dulu kala, yang amat mudah, iaitu tidak seperti sekarang yang imam terawih juga seharusnya menghafal al-Quran dan membaca surah yang panjang, agar selesai sahaja bulan Ramadan kita sepatutnya telah khatam al-Quran melalui bacaan imam dalam terawih dari awal Ramadan sehingga akhir Ramadan itu.

Kalau diminta pandangan saya dalam hal ini, saya lebeh suka kembali kepada tradisi dan amalan kita yang telah menjadi warisan kita dulu kala,iaitu dalam sembahyang terawih umpamanya kita tetap melakukannya sebanyak 20 rakaat, tetapi mengambil masa yang singkat dan boleh diiuktui oleh semua jemaah, tua muda dan yang agak uzur. Malah bagi sesiapa saja yang ingin meneruskan zikir, doa atau membaca kitab suci Al-Quran seterusnya, maka dia bolehlah melakukannya mengikut kemampuan peribadinya sendiri. Ajaran agama kita juga menuntut supaya imam sentiasa memendekkan bacaan sembahyang, kerana di kalangan makmum, terapat orang tua, orang sakit dan sebagainya.

Sungguh pun amalan agama adalah berdasarkan fundemental agama, tetapi amalan agama juga sering berkait rapat dengan budaya umat Islam sendiri, yang sekiranya buddaya amalan agama ini tidak bercanggah dengan dasar agama, maka hal ini bolehlah diteruskan.

Bagi saya kemana saja saya pergi dalam dunia ini, namun suara dan nada takbir Raya kita amat merdu dan lain dari yang lain, mempunyai nilai estetika dan keindahan yang tersendiri, dan takbir ininlah yang kita nanti2kan menjelangnya Hari Raya, termasuk Hari Raya tahun ini, yang akan berkumandang mulai malam ini sehingga Haari Raya esok, sekiranya kita beraya esok.

Selamat Hari Raya saya ucapkan terlebih dulu, maaf yang terkurang dan cetek ilmu sepanjang catatan saya untk bulan Ramadan ini...Yang sempurnanya hanyalah Allah SWT....

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....