HARI KETIGA BELAS PUASA

Angka 13 bagi orang Barat adalah angka yang tidak baik. Angka yang membawa malang dan sebagainya. Lebeh tidak baik lagi kalau angka 13 ini jatuh pada hari Jumaat: Friday the 13th ! Tetapi hal ini tidak timbul dalam masyarakat kita, terutamanya dilihat dari sudut pandangan agama kita, maka angka 13 tidak membawa apa2 padah seperti yang mereka percaya. Malah agama kita menentang kepercayaan karut marut yang tidak berasas dan menyesatkan itu.

Oleh itu berpuasa hari ke-13 ini sama sajalah seperti bepuasa pada hari2 yang lain. Cuma bagi kita, bertambahlah sehari lagi kita berpuasa, dan dalam pertambahan itu bererti bulan Ramadan akan menjadi semakin pendek. 


Elok juga dalam menghitung masa dan hari berpuasa ini kalau dapat saya ajak pembaca yang mahu agar kita bermuhasabah diri kita setiap hari. Bagaiamanakah kualiti puasa kita pada hari ini? Banyakkah yang kita tenguk dan dengar benda2 yang tidak wajar dari sudut pandangan agama kita pada hari ini dibandingkan dengan hari2 sebelumnya? Atau pada hari ini kita kurang sikit bercakap perkara2 yang sia2 dibandingkan dengan dua tiga hari yang lalu.? 


Muhasabah diri ini ada baiknya untuk semua, kerana kadang2 orang yang berpuasa lebeh cepat naik darah, marah2 dan mengamuk lebeh daripada biasa. Puasa mengubah mood nya menjadi seorang watak luar biasa umpamanya. Hal ini boleh kita perhatikan di atas jalan raya, ketika orang berebut2 nak balik buka puasa pada waktu petang selepas keluar pejabat, mana ada sabar dan sifat bertolak ansur, atau sifat menolong dan membantu orang lain.... 


Dalam perebutan jalan untuk pelang ke rumah, orang menjadi bengis, pandu kereta dengan laju, potong kiri kanan, berlumba2 seperti di litar Sepang, bunyi hon seperti di negara Arab, dan seribu satu macam perangai lagi, seolah2 perkara ini menjadi perkara biasa saja.

Hal ini dengan sendirinya menafikan hikmah puasa yang kita amalkan secara wajib setahun sekali itu. Hal inilah yang sebenarnya dilihat sebagai satu penyakit jiwa yang melanda manusia pada hari ini, ketika kita melihat hampir di seluruh dunia dengan penuh rasa bimbang dan cemas, iaitu ketika jenayah berat telah menjalar masuk ke dalam masyarakat manusia secara besar-besaran, iaitu orang mengamuk dengan cara membunuh orang lain, seperti yang berlaku ketika seorang yang sakit jiwanya menembak secara rambang kepada orang ramai di pusat membeli belah, di jalan2 raya, malah di sekolah atau universiti, yang memakan korban yang banyak dan terdiri dari orang2 yang tidak bersalah, seperti yang sering berlaku di negara maju, di Barat dan
Amerika Syarikat..

Di negara kita pun berlaku, iaitu jenayah berat, yang termasuk dalam dosa besar seperti membunuh orang, yang mungkin tidak kita dengar berlakunya peristiwa itu dalam satu dekad yang lalu, tetapi kini berlaku juga, walau pun secara terpencil sana sini, tetapi berlaku. Dalam masyarakat orang beragama, terutamanya kita orang Islam, pada waktu dulu, kalau kita bergurau mengata2 kepada orang lain, atau mengejek dan memanggil orang lain dengan gelaran2 tertentu, seperti Mat Senget, Tok Man kepala besar umpamanya, emak bapa kita akan menegur kita dengan baik : "Ismail, atau Azam, Fadzil...jangan kata macam tu kat orang, tak baik" Maka istilah "tak baik" itu sudah cukup membawa konotasi bahawa perbuatan itu dilarang oleh agama dan budaya kita, dan ajaran atau teguran itu akan segera maresap ke dalam kepala dan pemikiran kita, lalu kita tidak akan membuat sesuatu yang termasuk dalam istilah "tak baik" itu, kerana ibu bapa kita pada masa itu, 30 - 40 tahun dulu, tak pernah pun memberi syarahan panjang kepada kita, tak perlu pun menghantar kita ke kem motivasi, atau khemah ibadat, kerana pada masa itu tidak ada pun pakar motivasi, ustaz berbayar, ustazah berhias, apa lagi selebreti, imam muda, ustazah pilihan dan sebagainya seperti sekarang. Masa itu kalau kata "jangan, tak baik" pun telah cukup menusuk hati dan membentuk kelakuan kita.

Yalah mungkin orang akan pertikaikan hujah ini, kerana pada masa itu kanak2 dan budak2 sekolah masih dangkal pemikirannya, tidak pernah terdedah kepada alam saiber, alam internet, tv berbayar dan sebagainya, dan hujahan ini memang tepat, tetapi persoalannya bagaimanakah akan kita cuba mendidik dan membentuk moral dan akhlak anak2 saiber sekarang ini? Nak kata tak ada pendidikan, kita punya sistem pendidikan yang canggih. Nak kata tak ada usaha memberikan pendidikan secara tidak formal, kita telah ada berbagai2 kursus, ceramah, kulliah dan sebagainya. Nak katakan kita tidak pandai menyelam ke dalam pemikiran anak2 kita yang merupakan generasi baru dengan media baru, kita ada pakar jiwa, pakar motiovasi yang sentiasa bersedia saja memberikan kursus dan ceramah serta perkhemahan untuk anak2 muda kita, asalkan kita punya ongkos untuk membayar kepada program yang diaturkan itu, malah ibu bapa sanggup membayar ribuan ringgat untuk khemah ibadat seminggu saja untuk mendidik anak2 mereka supaya menjadi orang yang baik dan berguna.

Nak kawin pun kena dapatkan sijil kursus perkahwinan, nak jadi pendakwah pun kena ada tauliah, nak jadi imam dan nazir masjid pun telah ada had umur supaya jangan balik2 "orang tua" itu saja yang terus menjadi nazir atau imam masjid tu. Ini semua ada, dan aktiviti ini berjalan dengan hebatnya dalam masyarakat kita, sehingga ianya menjadi sebagai satu trend dan budaya masyarakat Malaysia, terutamanya masyarakat Muslim yang kelihatan semakin kaya pada zaman moden ini.

Nak kata media yang bersalah pun tidak sangat. Media seperti radio dan tv pun telah banyak menyiarkan program "agama" di sana sini, dan masing2 berlawan mendapatkan ustaz itu ustaz ini, pakar itu pakar ini, program itu program ini, hinggakan ustaz seperti ustaz Don tu dah menjadi rebutan stesyen tv, orang kita pun ssuka lagu agama, nasyid, termasuk penyanyi luar negara yang menyanyi bahasa orang puteh atau Arab, Urdu dan sebagainya, lalu lahirlah nama Maher Zain, dan Samy (apa tu nama penuhnya?) selain dari kumpulan tempatan: Raihan, Hijaz, dan entah apa2 nama lagi yang bernasyid agama, semuanya ada !

Jadi di manakah salahnya kita pada hari ini apabila mendengar anak membunuh bapa dan nenek, suami membunuh isteri, anak2 sekolah mencampakkan bayi haramnya ke dalam tandas, mat rempit menggadaikan nyawanya di atas jal;an raya, mat motor memecahkan cermin kereta di perhentian lampu isyarat dan merampas beg tangan pemandu wanita yang diletakkan di atas tempat duduk sebelah pemandu, habis segala kad pengenalan, kad kredit, telefon bimbit, wang seribu dua, ...?

Dosa besar seperti membunuh orang, termasuk orang yang paling hampir seperti suami, isteri, ibu bapa, nenek moyang, malah menggantung diri dan mengambil nyawa sendiri, semuanya ini merupakan dosa besar dalam agama, yang dulu kala tidak pernah kita dengar dilakukan oleh orang Islam, tetapi sekarang perbuatan yang agak berleluasa di Barat, Jepun dan Korea itu, tiba2 menjalar masuk ke dalam masyarakat Muslim sendiri, maka hal ini nampaknya amat serius, dan merbahaya. Mana dia ajaran agama, peranan keluarga dan masyarakat, program usrah, kulliah, program agama, khemah ibadat dan sebaginya itu??

Dan hal ini hinggakan dalam bulan puasa, satu bulan yang sepatutnya menjadi peringatan supaya umat Islam bersabar, mengawal diri, menaham nafsu, menahan marah, malah apa bila orang lain melakukan sesuatu yang mengganggunya atau menimbulkan kemarahannya, maka Nabi Muhammad SAW berpesan supaya kita bersabar, cepat2 ingatkan Allah dan Rasul, dengan menyebut dan mengingati bahawa "aku ini berpuasa" (Allahumma Inni Sha'im, Allhaumma Inni Sha'im) Mana dia ajaran dan hikmah puasa ini?

Mungkin masyarakt Islam perlu muhasabah diri sendiri dalam hal ini, panggil semua pakar berbincang dan berdialog, pakar jiwa, kemasyarakatan, atau sosiologi, pakar agama, pakar kesihatan minda, dan mungkin juga pakar bedah dan saraf, semua pakar ini perlu berbincang dan menjalankan kajian serta penyelidikan, bagaimana kah penyakit jiwa dalam masyarakat ini dapat di rawat secara yang baik, jangan harapkan kepada Mufti untuk membuat fatwa saja, jangan harapkan ustaz yang bukan ustaz di U-Tiub itu saja memberikan ajaran dan fatwanya, jangan harapkan ubat2 tradisional atau air jampi itu saja, yang diharapkan akan dapat meneybuhkan penyakit masyarakat yang serius ini.

Saya mungkin hanya cakap kosong, atau memberi leteran melulu, tanpa fakta dan data, dan saya akui bahawa masyarakat Islam sekarang ini sememangnya pun begitu, ahli retorika dan idealis, bercakap tanpa fakta dan data, kerana masyarakat Islam tak banyak membuat kajian dan penyelidikan tentang diri mereka sendiri, jadi berpakatlah cakap kosong, dan dalam masa yang sama mencari wang dengan cakap kosong itu, menyalahkan orang lain, dan macam2 lagi.

Saya pun berpuasa pada hari ke-13  ini, jadi eloklah saya tamatkan celoteh ini dengan menyebut "Allahumma Inni Sha'im, Sesungguhnya aku ini berpuasa"...."Allahumma Inni Sha'im...."

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....