HARI KELIMA BELAS PUASA

Ketibaan hari kelima belas Ramadan hari ini di sekitar rumah kami disambut oleh bunyi kucing bising berkelahi sesama sendiri. Malah suara pergaduhan dan diikuti dengan bunyi gumulannya berlaku sejak hari semalam lagi. Menjelangnya subuh hari kelima belas puasa ini pergaduhan itu nampaknya bukan semakin reda, malahan semakin serius, masing2 meninggikan suaranya yang mengganggu rumah2 sekeliling juga.

Rupa2nya kucing2 ini bergaduh bukan tanpa sebab, kerana yang menyebabkan pergaduhan ini ialah keberanian sekor kucing jantan, yang entah dari mana datangnya, telah cuba menguasai beberapa ekor kucing yang sedia dipelihara di rumah ini. Kedatangnnya tidak diundang, malahan kedatangannya dianggap sebagai satu pencerobohan dan penjajahan, yang bukan hanya untuk memakan makanan yang diperuntukkan kepada "penghuni" asli di sini, tetapi mengacau kucing2 muda yang telah mesra dengan teman2 serumah dan sama tempat kediamannya.  

Saya melihat peristiwa ini adalah satu peristiwa yang diatur oleh Allah SWT kepada manusia dan hewan, bahawa dalam dunia ini hampir semua makhlok Allah akan sering bersengketa dan berkonflik merebut kawasan, merebut pasangan, menunjukkan kuasa, dan dalam masa yang sama menceroboh rumah dan makanan kepunyaan orang lain. Kucing jantan yang menceroboh itu memang kerjanya menjalar ke seluruh kawasan baru, dengan bersenjatakan jasadnya yang besar dan wajahnya yang agak tampan, menggoda sana sini dan menduduki teroteri orang lain, yang terang2 menceroboh undang2 alam Tuhan ini.

Mungkin secara kebetulan pula, pagi ini ketika membaca Surah Al-isra', saya membaca cerita perjalanan malam oleh Baginda Rasulullah SAW dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang sekarang ini telah dijajah oleh Israel dengan segala kekejaman dan kezalimannya terhadap masjid suci itu dan para penghuni asalnya, dan lebeh dari itu menghina keseluruhan umat Islam di dunia ini.

Ayat 16 dalam Surah tersebut, Allah SWT berfirman : "Dan apabila Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang2 yang hidup mewah di negeri itu (supaya menta'ati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah selayaknya berlaku terhadap mereka perintah Kami, lalu Kami hancurkan negeri itu sehancur2nya".

Banyak mnifestasi yang boleh ditafsirkan dan digambarkan  dari ayat sependek ini. tetapi yang nyatanya bahawa golongan yang hartawan, yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat dan mempunyai kemampuan kebendaan dan kekuasaan dalam masyarakat akan mengakibatkan kerosakan dan kehancuran bagi sebuah negeri sekiranya golongan in sendiri yang rosak, menyeleweng dari mentaati Allah SWT.

Pengaruh golongan ini sememangnya besar dan amat berkesan dalam mencorakkan perjalanan satu umat dan menentukan sistem sebuah negara itu dalam pentadbiran sumber manusia, kekayaan, keutuhan keluarga dan kebajikan serta kesejahteraan negara itu sendiri.

Hal ini dapat dilihat di dalam negara2 dunia moden pada hari ini, malah dapat dikesan di dalam negara2 Islam sendiri, terutamanya yang kaya raya dengan sumber alam dan kekayaan Allah yang dikurniakan kepada negara2 tersebut. Masyarakat mereka akan musnah dan mengalami keruntuhan sekiranya kekayaan itu tidak digunakan dengan sebaik2nya untuk umat sendiri, seperti yang berlaku dalam dunia Islam yang dikuasai oleh pengaruh Amerika Syarikat dan Barat, yang berusaha semenjak ratusan tahun untuk menguasai politik dan kekayaan negara2 tersebut dengan mewujudkan suasana huru hara dan kerisis serta konflik sesama sendiri dengan menggunakan pengaruh politik dan ekonominya yang amat halus, lalu terbukalah peluang untuk mereka mengeksploitasikan kekayaan negara2 Islam itu.

Bagaimana pun dalam negara kita yang hanya mempunyai peratusan yang kecil sahaja orang Islam yang kaya raya ini, nampaknya golongan itu masih mempunyai kesedaran untuk membelanjakan kekayaan mereka bagi kepentingan sesama umat kita, seperti yang dapat dilihat di dalam bulan mulia, bulan Ramadan ini.

Banyak tajaan dan sumbangan makanan, kebendaan dan sebagainya yang telah diperuntukkan kepada rakyat yang kurang bernasib baik, yang ketiadaan rezeki yang cukup, yang malang kehidupan keluarganya, malah kelihatan anak2 yatim di negara kita dapat menekmati kemewahan berbuka puasa dan sumbangan kewangan yang sewajarnya dari golongan yang menaja mereka.

Namun mungkin hal ini berlaku dengan baik di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur dan sekitarnya. Mungkin keadaan di kampung2 lain, di luar dari kota besar, di pendalaman, tidak disedari oleh orang2 yang mewah dan pemurah ini. Oleh itu dalam menyebarkan kemewahan dan kebendaan yang agak lumayan ini, maka perhatian haruslah juga diberikan kepada daeerah dan kawasan yang jauh dari pandangan lensakamera dan liputan TV umpamanya.

Hari ini kita memasuki hari ke-15 berpuasa. Genap setengah bulan berpuasa, dan telah menjadi tradisi keagamaan yang kita amalkan di negara kita bahawa terawih akan ditunaikan seperti biasa, cuma dalam rakat yang akhir witir kita akan sama2 menadah tangan dengan Imam yang akan membac doa qunut. Doa qunut kita samalah seperti yang kita baca dalam sembahyang subuh, tidak seperti di masjidu al-haram yang dibaca dengan amat panjang, lengkap dengan teriak tangisnya oleh Imam yang amat menghayati bacaannya, terutamanya ketika meratap untung nasib umat Islam yang tertindas, teraniya dan diperlakukan seperti binatang oleh pihak penjajahnya seperti Zionis dan Kerajaan Israel.

Kita di sini pun mungkin dapat menangis juga ketika mengetahui peristiwa sedih yang menimpa umat Islam di Burma atau Miyamar, yang pada umumnya umat Islam disana telah ditindas, diganggu dan dibunuh dengan kejamnya tanpa hak, kecuali mungkin kerana mereka itu beragama Islam.

Namun begitu saya pernah juga menulis diakhbar negara kita ketika saya berada di Saudi Arabia, sampai bilakah Imam Sudais akan menangis mengenangkan nasib malang yang menimpa rakyat Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain2, sekiranya kerajaan negara Islam sendiri beersikap membisu dan berpeluk tubuh dalam menghadapi kerisis kemanusiaan dan keagamaan ini? Teriak (bahasa Kedah dan Kelantan) dan menagislah selama mana sekali pun, keadaan ini tidak akan berubah sekiranya Kerajaan negara2 Islam tidak bertindak, malah hanya menjadi penonton sepi terhadap segla tindak tnduk yang dilakukan oleh penjajah Barat itu.

Alhamdulillah, nampaknya kucing yang memekik dan mengiu dengan nyaringnya di luar sejak semalam sehingga pagi ini, tidak lagi berbunyi. Suaranya bergomol dan bergaduh, seolah2 bertengkar dan pekik memekik sesama sendiri itu telah hilang sama sekali, dan dunia mereka nampaknya kembali aman seperti biasa. Tetapi mereka adalah haiwan, dijadikan Allah dengan mengikut fitrah kejadiannya yang dikuasai dan dikawal sepenuhnya oleh Allah, lalu mereka akan segera mengikut fitrah dan nalurinya seperti yang ditetapkan Allah SWT. Namun manusa, yang dijadikan Allah supaya mengikut fitrah kejadiannya ini, kadang2 akan bertindak dan berkelakuan menentang fitrahnya, kawin sama lelaki atau perempuan, fitrah menentukan supaya manusia berhenti makan ketika kenyang, tetapi manusia nampaknya mahu makan lagi walau pun perut telah kenyang, fitrah mengajar manusia supaya berlaku sopan dan baik sesama insan, tetapi mereka melanggar fitrah, berlaku pergaduhan, konfrantasi dan sebagainya. Demikianlah seterusnya.

Hari ini Sabtu, semalam lagi nampaknya amat banyak kenderaan bergerak dalam kesesakan luar biasa di atas jalan raya menuju ke bandar, dan lebuh raya menuju keluar KL, mungkin orang sudah mulai sedar akan ketibaan Hari Raya dan akan berpusu2 menuju ke bandar, membeli segala2nya yang dijual di sana, dan bagi orang yang bergerak keluar, mungkin akan berbuka puasa dengan keluarga yang jauh dan dekat, tambahan pula hari Isnin ini, Selangor bercuti sehari sempena Nuzul Quran.

Namun apa2 saja sekali pun tindakan yang kita lakukan, ingatlah bahawa kita telah melintasi setengh jalan menjalani ibadat puasa, yang tentunya banyak mengajar kita dalam menghadapi sepak terajang orang2 di sekeliling kita, dalam memupuk kemesaraan dalam keluarga dan masyarakat kita, dan dalam memerhatikan keadaan dunia kita yang kelihatan semakin kacau dan hiruk pikuk dengan kerisis kemanusiaan. Kita haruslah terus memerhati, mengkaji, mempelajari dan mengambil tindakan sewajarnya dalam menghadapi segala kemungkinan itu.

Semoga negara dan masyarakat kita akan terus menerus diberkati Allah dan diberikannya nekmat, kebahagiaan dan kesejahteraan untuk semua kita, tanpa kecuali.

Amin, Amin, Ya Rabbal 'Alamin.


  

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....