HARI KEENAM BELAS PUASA
Kita telah melangkah garisan pertengahan bulan Ramadan tahun ini, iaitu telah melampaui hari 15 puasa, dan hari ini kita memasuki hari ke-16 puasa. Bagi orang2 yang membesar dan mengalami kehidupan kampung yang merupakan daerah pendalaman, tanpa air paip dan api letrik, pada zaman lampau, maka pada hari inilah mereka akan mulai mengumpul tempurung dan dijemur kering, untuk disusun tinggi bagi dibakar dalam malam2 terakhir bulan Ramadan ini, seperti yang telah saya ceritakan sebelum ini.
Satu perkara yang saya masih ingat hingga hari ini, ialah pesanan emak bapa saya supaya kita jangan tidur lagi selepas subuh, kerana orang2 yang tidur selepas subuh dan melampaui pula waktu matahari terbit, maka dia telah memadamkan rezeki Tuhan, ertinya rezekinya tidak murah, sebab dia seolah2 telah tidur selama dua hari, malam hari sebelumnya dan siang hari berikutnya, Kita haruslah bangun setiap hari untuk sembahyang subuh, dan terus jaga untuk meneruskan hari baru bagi melakukan apa2 saja kerja untuk kehidupan kita mulai dari awal pagi.
Saya rasa hal ini banyak juga dilakukan oleh orang sekarang, terutamanya dalam bulan puasa ini saya perhatikan pada awal2 pagi telah banyak kereta menjalar di atas jalan raya, iaitu yang nampaknya mulai turun pergi pejabat atau tempat kerja masing2 tanpa kembali tidur lagi selepas bersahur dan selepas sembahyang subuh. Hal ini merupakan adat yang baik, yang sering juga dilakukan sepanjang tahun untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Tetapi pada hari kelepasan mingguan, Jumaat dan Sabtu, atau Sabtu dan Ahad, mungkin ramai pula yang melupakan rutin ini, kerana pada dua hari kelepasan itu mereka akan "qadak" tidur mereka selepas subuh hingga waktu zuhur.
Lagi satu pesan emak dan bapa saya ialah supaya semua orang sudah berada di dalam rumah pada waktu senja, sebelum maghrib lagi. Pintu dan tingkap rumah hendaklah ditutup rapat mulai senja itu, kerana pada waktu itulah nyamuk akan berterbangan masuk ke rumah, jadi sebelum nyamuk mendapat peluang memasuki rumah, eloklah tutup pintu tingkap rapat2. Hal ini menjadi lebeh berkesan lagi, kerana pada waktu itulah iblis dan syaitan akan berkeliaran juga untuk menggoda dan mengusik anak Adam, oleh itu masuklah ke dalam rumah, jangan lagi bermain di tanah, di padang, di bawah2 pokok atau di mana2 saja di luar rumah.
Kami pun masuk ke dalam rumah, pasang pelita minyak, dan telah pun mandi manda lebeh awal, kerana mandi manda pada waktu itu dibuat diperigi di luar rumah, pada masa itu mana ada bilik air dalam rumah, perigi dan tandas semuanya di luar rumah, dan tandas pula kadang2 nun jauh terletak di dalam hutan, malah orang kampung kadang2 hutan dan rimba itulah yang dijadikan tandasnya, maka dalam keadaan ini, tentulah mereka haruslah pergi tandas dan mandi di perigi lebeh awal sebelum senja dan petang, takut iblis syaitan menegur dan mengacau mereka.
Ramai juga budak2 yang demam pada waktu itu, sehingga terpaksa dipanggil Tok Hasan Kuah untuk berubat. Cara berubatnya bukan guna ubat dan jarum suntikan, malah dengan cara "menurun". Dia kena baca2, terkumat kamit mulutnya, kemudian menempik sekali sambil membuka kopiah putehnya dan meletakkannya di atas lantai, kemudian bunyi suara harimau dalam mulutnya, kadang2 bercakap Siam pun ada, dan dalam lupa itu dia membeeritahu "Awang ini terkena tegur jin iblis dalam hutan dekat rumahnya, kerana dia masuk buang air di sana tanpa minta izin" Tetapi mujurlah dalam menurun itu dia juga membuat sirih pinag satu piak, lalu dia sendiri memamah sireh itu beberapa minit supaya sireh itu lumat di dalam mulutnya, kemudian dia akan menyembur air sireh pinang itu ke seluruh tubuh si sakit, sehingga ke pintu dapur, dan terus menyembur di luar rumah supaya jin iblis itu balik saja ke tempat asalnya, tingalkan Awang ini dalam aman! Pada masa itu belum ada majlis fatwa untuk membincangkan hal ini, dan bila ada majlis fatwa pada masa kini, mungkin amalan ini tidak wujud lagi. Jadi tak perlulah dirisaukan.
Bagaimana pun sebahagian besar adat yang diamalkan di kampung2 dulu, (kecuali adat menurun ini agaknya) mempunyai hubungan dengan agama kita, kerana agama kita menghendaki kita menunaikan sembahyang pada awal waktu, dan dalam hal ini, sebelum maghrib lagi kita telah seharusnya bersedia untuk menunaikan sembahyang maghrib apabila masuk saja waktunya, sebab itulah kita seharusnya masuk dalam rumah sebelaum maghrib lagi.
Ibadat puasa nampaknya mengajar dan mendidik kita mengamalkan rutin hidup berdasarkan nilai agama ini. Kita berlumba2 balik pada waktu petang sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk dalam bulan puasa ini ialah untuk mengejar waktu maghrib untuk berbuka di rumah. Malah kita menjadi pengurus masa yang cemerlang sekali dalam bulan puasa ini, sekurang2nya kita amat menjaga masa untuk berbuka dan imsak. Kita mengetahui dengan tepat sekali pukul berapa masuk maghrib, 7.29. 7.16, 7.18 dan sebagainya, siap dengan jam dan minitnya. Demikian juga dengan waktu imsak. Jadi nampaknya kita amat cekap menjadi "time keeper" yang amat cemerlang dalam bulan Ramadan ini.
Masa lampau di kampung dan daerah pendalaman, yang menjadi "time keeper" ini ialah tok siak di surau atau masjid, Dia akan memukul gendang raya tepat pada waktu berbuka puasa, iaitu ketika semua telinga orang2 kampung tertumpu kepada suara gendang raya yang akan dipukul oleh tok siak atau tok bilal itu. To siak atau tok bilal pada waktu itu menjadi orang yang amat penting dalam kampung itu, ditakdirkan dia tidak memukul gendang, susahlah semua orang, kerana terpaksa melihat jam dan mestilah tahu pula bila masuk waktu maghrib dan bilakan kena berhenti makan pada waktu imsak.
Amalan sebulan ini bagaimana pun menjadi rutin tahunan saja bagi kita. Lepas bulan Ramadan penjagaan dan pengurusan waktu bagi kita telah menjadi berbeza, tidak tepat dan tidak tersusun lagi. Saya perhatikan pada waktu petang menjelang senja dan maghrib, maka pada masa itulah ramai sekali motor dan kereta di jalan raya. Penyelidikan haruslah dilakukan juga apakah betul pada wktu senja itu banyak kemalangan jalan raya berlaku. Pada waktu sennja, sinar matahari menjadi terlalu malap, samar2 saja, sedangkan gelap malam belum lagi tiba, lampu motor atau kereta tidak mampu menyerahkan keadaan hari yang setengah malam dan setengah siang itu. Sebab itulah orang2 tua selalu menganjurkan supaya kita tidak berjalan lagi pada waktu itu, dan diberikan amaran supaya kita takut untuk keluar rumah pada waktu itu dengan amaran iblis dan syaitan.
Sememangnya di dalam Al-Quran pun dijelaskan bahawa Allah SWT menjadikan malam untuk manusia berehat, dan dijadikan siang untuk menusia bekerja. Jadi waktu senja itu bukanlah waktu siang atau malam, tidur pun tak boleh, orang2 tua amat pantang tidur waktu senja, anak cucunya diingatkan jangan tidur waktu senja, kalau ada kanak2 atau orang dewasa tidur pada waktu, habis semua kena kejut, bangun cepat2, sama juga jangan tidur dari masa sebelum naik matahari sehingga matahari naik pun masih tidur lagi.
Kadang2 kita tidak menyedari pesanan orang2 tua, malah mungkin kita memandangnya remeh saja, apa orang tua tahu, tembahan pula zaman ini zaman ICT, global dan moden, kita lebeh tahu. Sebab itulah agama kita amat mementingkan latihan dan pendidikan yang agak rasmi bagi umat Islam, iaitu dengan ketibaan waktu sembahyang setiap hari lima waktu, seminggu sekali berkumpul dimasjid pada hari Jumaat, setahun sekali tiba bulan Ramadan, dan seumur hidup sekali kena tunai haji, mengembara ke tempat kelahiran Islam, melihat sedikit di luar cerok dapur kita, ke negara lain, jauh dan berbeza dari kampung sendiri, penuh dengan sejarah dan tamadun.
Dengan melintasi garis pertengahan bulan mulia ini pada hari ini, kita nampaknya telah agak setabil dalam memantapkan ibadat puasa kita, dan amatlah diharapkan bahawa "kursus" dan "perkhemahan" yang kita hadiri selama sebulan ini sedikit sebanyak akan dapat kita manfaatkan, sehingga menjelangnya bulan Ramadan tahun depan kalau dipanjangkan umur, untuk kita berkursus dan berkhemah lagi insya'Allah.
Comments
Post a Comment