Tuesday, August 14, 2012


HARI KEDUA PULUH LIMA PUASA

Semakin dekat kita dengan penghujung Ramadan, semakin berubah suasana di sekeliling kita. Yang paling ketaranya ialah bagaimana orang2 kota, atau orang2 kampung yang datang ke kota, berbelanja dengan agak mewah. Kedai mini dan besar, gedung membeli belah membawa ke gerai2 kecil di tepi jalan, yang menjual keperluan untuk Raya, pakaian, perhiasan, perkakas rumah, kueh mueh dan sebagainya diserbu pembeli yang ramai. Wang saku masih banyak, kerana gaji dibayar awal, dan bonus setengah bulan turut dikeluarkan, yang mungkin dapat dihabiskan segera. Cuma yang menjadi masalah nanti bagi orang yang tidak pandai mengurus wang dan perbelanjaannya ialah jangka masa yang begitu lama, kira2 40 - 50 hari lagi, untuk menerima gaji berikutnya, iaitu pada akhir bulan September nanti.

Namun begitu, berbeza dari teguran yang dikeluarkan oleh kebanyakan pendakwah dan khatib, nampaknya masjid dan surau masih juga penuh dengan para Muslimin dan Muslimat yang nampaknya masih menumpukan kepada amal ibadat di masjid dan surau dalam kesibukan mereka membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya. Hal ini saya sebutkan kerana banyak juga disebut di dalam ceraamah2 atau khutbah bahawa apabila Ramadan mulai sampai ke penghujungnya, maka terlalu ramai orang Islam, khususnya suri rumah, yang akan sibuk menyiapkan rumah, menyediakan juadah raya dan sebagainya, mengunjungi pusat membeli belah, sehingga meninggalkan masjid dan surau sepi saja. Jadi nampaknya hal ini tidaklah berlaku secara keseluruhannya, kerana sehingga akhir2 ini pun masjid dan surau masih berisi dengan kaum muslimin dan muslimat seperti biasa.

Saya merasakan bahawa suasana kesibukan menyambut Hari Raya nampaknya masih sama dibandingkan keadaan masa sekarang dengan masa zaman dulu kala di negara kita ini mengikut ingatan dan pengalaman saya.

Dalam tempoh tiga puluh, empat puluh tahun dulu pun, perasaan dan suasana menyambut Raya adalah sama, suri rumah tangga, bersedia juga dengan menjahit pakaian baru dan memasak makanan, membakar bau ulu, mengacau dodol, dan mencari daun palas untuk membuat ketupat pulut. Para bapa pula membawa anak2nya ke pekan atau bandar untuk membeli kasut, bunga api dan mercun, yang pada masa itu mercun tidak menjadi barang larangan untuk dimain seperti sekarang.

Saya dapat melihat sendiri urusan ini dilakukan oleh emak saya di kampung dekat2 raya, iaitu dari segi membuat persiapan seperti yang saya sebutkan di atas. Nasib baik di kampung kami terdapat beberapa orang kampung yang masih muda yang sanggup membuat kerja untuk persiapan Raya ini.

Seorang pemuda yang bernama Ishak dan di panggil Sahak saja mengambil upah memanjat kelapa. Dia ini telinganya tidak begitu dengar, orang kampung memanggil dia Sahak Tuli, Dialah yang dipanggil untuk memanjat kelapa, iaitu pokok kelapa kampung yang biasanya tinggi2, bukan kelapa rendah seperti sekarang.

Ketika akan memanjat kelapa, dia akan memakai tali yang menjerut kedua kakinya di pergelangan kakinya, dan dengan menggunakan tali inilah dia memanjat batang kelapa yang tinggi itu sehingga ke atas dan memetik buah kelapa yang telah masak dengan hanya memulas tangkainya saja, dan dibiarkan jatuh ke bawah sebiji demi sebiji. Kadang2 akan ada orang yang menjaga di sekeliling pokok kelapa yang sedang dipanjat itu supaya tidak ada sesiapa yang melintas dibawahnya tanpa mengetahu bahawa Sahak tuli sedang berada di atas pokok dan akan menjatuhkan buah kelapa bila2 masa saja, yang kalau menimpa kepala orang, akibatnya amat serius, boleh membawa maut atau cedera parah.

Sahak tuli boleh memanjat kelapa, termasuk dalam bulan puasa ini, sehingga 4 - 5 pokok dengan upah dalam 50 sen saja sepokok. Kalau sehari dapat dua ringgit, pada masa itu bernilai dalam 15 - 20 ringgit nilai duit sekarang, agak mewah dan lumayan. Dia tidak pernah kawin, cuma satu ketika dalam hidupnya, ada seorang wanita setengah umur datang mengembara ke kampung kami, kakinya pendek sebelah, namanya Minah, dan orang kampung panggil dia Minah Cepoh (bahasa utara bermakna seorang yang berjalan tidak setabil kerana salah satu kakinya pendek, atau cedera) maka Sahak tuli pun dikira oleh orang kampung untuk berkahwin dengan Minah Cepoh ini.

Demikianlah cerita suasana kampung, yang turut mewarnai suasana keceriaan kampung kami, termasuk khidmat Sahak tuli mengambil upah panjat kelapa, yang kelapa masak ini menjadi bahan penting untuk orang kampung bagi dijadikan santan, dan santan merupakan ramuan penting untuk memasak ketupat pulut daun palas, dan memasak kari untuk di makan dengan ketupat pulut pada pagi Raya, juga untuk masak bubur kacang dan bubur pulut hitam sebagai pencuci mulut.

Isterinya Minah Cepoh inilah yang kemudiannya menolong suaminya Sahak tuli mengumpul, dan kadang2, mengupas kelapa apabila Sahak selesai memanjat kelapa dan turun  kembali ke bawah dengan badan yang berpeluh dan menolong isterinya dengan penuh rela tanpa banyak bercakap.

Orang kampung kemudiannya menjadi amat biasa dengan poasangan "bahagia" ini, terutamanya ketika mendengar dari jauh lagi suara meninggi si isteri bercakap sesuatu kepada suaminya yang amat kurang daya pendengarannya. Tetapi mereka amat bahagia dan serasi. 

Mereka inilah yang kemudiannya dapat membangunkan keharmonian dan kerancakan kampung kami dengan beberapa orang lain lagi ketika kampung kami bersedia untuk menyambut hari raya ini, seperti Cin kelam, yang mengambil upah menumbuk padi dengan menggunakan lesong kaki, juga Tok Pi'e capik yang pandai berubat dengan menggunakan kapur untuk "menuju" kura dalam perut bagi orang yang kena sakit demam kura.

Akan saya sambungkan cerita ini dalam episod esok insya' Allah. Sementara itu saya ucapkan selamat berpuasa hari ke-25 pada hari ini, semoga amal ibadat kita diterima Allah SWT. 

Pageviews last month