HARI KESEMBILAN BELAS PUASA
Kita menghampiri dua puluh hari berpuasa, iaitu dengan menjelangnya hari ke-19 berpuasa pada hari ini. Esok kita memasuki hari ke-20, yang bererti bahawa kita akan memasuki fasa ketiga bepuasa, sepuluh hari terakhir.
Berpuasa bukan merupakan satu senaman jasad dan badan, malah berpuasa adalah merupakan satu ibadat kerohanian, mengabdikan diri kepada perintah Allah SWT. Namun begitu berpuasa juga membawa manfaat lain yang secara tidak langsung mentarbiahkan jiwa dan jasad kita, terutamanya dalam memilih makanan jiwa dan makanan jasmani juga semasa menunaikan ibadat puasa.
Ibadat puasa dengan segala bentuk pengabdian kepada Allah SWT membentuk jiwa, peribadi, akal fikiran, emosi dan perasaan hati untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa berserah kepada Allah, dan menjadi makhluk bernyawa yang bermanfaat kepada manusia yang lain, serta menjadi insan yang tinggi moral dan akhlaknya berasaskan kepada ajaran agama yang tinggi, sehingga manusia hampir2 menjelma menjadi malaikat.
Disamping itu puasa sebenarnya merupakan satu aktiviti untuk kesihatan badan, disamping kesihatan mental dan akal. Orang2 tua kampung, terutaamanya pada masa lampau, ketika berpuasa banyak memakan sayur dan ulam serta ikan. Tidak banyak memakan daging, sama ada daging lembu dan kerbau, atau kambing, malah ayam pun dimakan hasil dari ayam peliharaannya, yang sekarang ini dikenali sebagai ayam kampung. Pada masa dulu, orang kampung hanya dapat makan daging agak mewah ialah pada musim korban, pada Hari Raya korban, atau ketika orang sembelih lembu pada Hari Raya Aidilfitri.
Orang dulu jarang makan daging, kerana daging terpaksa di beli di bandar, mahal sikit harganya dari ayam, malah ikan yang dimakan pun kebanyakannya hasil tangkapan sendiri, menjala atau mengail, dan ada juga yang menggunakan serkap untuk menyerkap ikan di dalam sawah sendiri, sehingga dengan itu segala tangkapan mereka merupakan tangkapan yang segar, tanpa air batu, atau diimpot dari negara luar.
Sebab itulah di bawakan kata hikmah "berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat" Badan akan menjadi sihat kerana tidak makan terlalu banyak lemak, makanan berminyak, garam, atau gula, dan ikan yang aagak banyak dimakan itu memberikan zat protin kepada badan, sayur dan ulam2 tentulah amat baik untuk kesihatan diri, tambahan pula sayur dan ulam pada ketika itu merupakan sayur dan ulam yang segar, tidak menggunakan semburan serangga yang beracun dan disiram dengan baja kimia.
Dalam keadaan ini barulah boleh dikatakan bahawa puasa itu memberikan kesihatan kepada badan. Tetapi sekarang ini pada bulan puasa itulah orang mencari lemak lembu dan kambing, minyak yang meneggelamkan semua jenis makanan, santan yang pekat untuk kueh mueh dan bubur kacang atau bubur pulut hitam, ayam yang digoreng untuk dimakan isi dan kulitnya, malah kulit ayam itulah yang amat enak di makan, rangup dan berminyak, berlemak.
Dulu kita banyak makan makanan yang dibakar, ikan dan ayam atau sekali sekala daging, semuanya di bakar atas api, kerana pada masa itu api dari kayu memang marak sentiasa di atas dapur, belum ada dapur letrik atau gas, hanya kayu api yang digunakan untuk memasak segala macam makanan. Sebab itulah orang kampung sebulan dua sebelum puasa menjelang, telah pun bersiap mencari kayu, menebang pokok getah tua, menggajinya pendek2, menjemurnya sehingga kering, mengapaknya kecil2, untuk dibakar dalam bulan puasa sebagai kayu api, dan simpanan kayu rezab ini diperlukan agak banyak di surau atau di masjid, kerana sekali sekala dalam bulan puasa pihak surau atau masjid akan memasak bubur kanji, bubur kacang atau nasi minyak dengan menggunakan kawah yang besar dan memerlukan kayu api yang agak banyak.
Jadi itulah keadaannya puasa dulu kala, dan bertepatanlah dengan ungkapan (yang juga disebutkan sebagai Hadis Nabi) "Berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat"
Ungkapan hikmah ini mungkin telah menjadi sebaliknya sekarang ini dengan kemewahan makanan, bufet Ramadan, jemputan berbuka puasa di rumah pembesar dan orang kaya, yang disajikan dengan segala makanan yang mewah dan kaya dengan lemak dan minyaknya, pasar Ramadan yang menjual seribu satu jenis kueh mueh dan lauk pauk, yang segar dan lama, yang basi atau busuk, semuanya tidak diketahui kerana semua orang bepuasa, tidak dapat mencuba, maka pada masa kini mungkin boleh diterbalikkan kata hikmah itu yang kira2 boleh berbunyi begini, "Berpuasalah nescaya kamu tidak akan menjadi sihat"! (Tak perlulah guna kalimah "sakit" tetapi "tak sihat" saja)
Kalau tidak sihat, atau bertambah berat badan, maka bukanlah puasa yang hendak disalahkan, tetapi cara kita melayan puasa itulah yang bersalah, melayan nafsu makan dan minum bergula dan bergas, memakan lemak dan minyak yang terlalu banyak, pulut dan kueh lemak bersantan pekat, lagi pekat lagi sedap, ikan dan telur masin yang banyak garamnya, maka inilah yang sering dicari untuk makanan berbuka puasa.
Kita mempunyai pilihan ketika kita telah pun memasuki 19 hari berpuasa ini, iaitu bepuasa untuk sihat, atau berpuasa untuk sakit. Tanya2lah diri sendiri dan perhatikanlah betul2 apa2 yang kita makan, iaitu makan untuk sihat atau makan untuk mudarat.... Selamat memilih makanan dan minuman pada hari puasa yang ke-19 ini untuk kesihatan jiwa dan badan, rohani dan jasmani........
Comments
Post a Comment