HARI KEEMPAT BELAS PUASA

Dengan berleluasanya kelas, usrah, ceramah dan pendidikan Islam khususnya di negara kita, dan dengan meningkatnya minat untuk mempelajari Islam melalui bahan pembacaan, buku, majalah, juga dengan bantuan media elektronik seperti radio dan tv, dan media baru, maka saya percaya ramai diantara kaum muslimin dan muslimat, dari segala peringkat umur, telah pernah mendngar dan mengetahui tentang konsep "ihsan" di dalam Hadis Jibril.

Di sini bolehlah juga saya ulang semula serba sedikit tentang kandungan Hadis Jibril tersebut untuk kita menyegarkan ingatan kita. Hadis itu bermaksud bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah SAW berada di dalam majlis ilmu bersama2 para sahabatnya, tiba2 seorang lelaki yang berpakaian serba puteh melepak, tampan, masuk mengadap baginda, dan duduk berhadapan dengan baginda dengan amat rapat sekali, lalu lelaki ini bertanya Rasulullah SAW apakah ertinya  Islam, Iman dan Ihsan.

Baginda Rasulullah SAW menjawab satu persatu tentang persoalan itu, iaitu tentang Islam dengan rukunya yang lima, Iman dengan rukunnya yang enam, dan tiba tentang Ihsan, Baginda menjawab iaitulah "kamu menyembah Allah seolah2 kamu melihat-Nya, dan sekiranya kamu tidak melihat Allah, maka Allah sentiasa melihat kamu" (Sila teliti juga tulisan dalam bahasa Inggeris tentang IHSAN di sebelah)

(Harap dapatlah para pembaca menyemak semula teks Hadis ini untuk ketepatannya, kerana saya di sini hanya membawa maksudnya saja- yang dalam ungkapannya yang sahih selalu kita menyebut "atau seperi apa sebenarnya yang di katakan oleh Baginda" (Au kama qala) ketika kita membaca satu teks Hadis).

Yang pentingnya perkara yang hendak saya tekankan di sini dalam konteks bulan puasa yang kita masuki hari keempat belasnya pada hari ini, ialah tentang konsep dan gambaran sebenar mengenai Ihsan yang seharusnya menjadi sifat sejati dan panduan kepada umat Islam sepanjang zaman dan ketika. iaitu bagaimanakah ibadat puasa merupakan satu ibadat penting dalam kehidupan kita seharian, kerana puasa dapat menjadikan kita benar2 menghayati konsep Ihsan ini seperti yang dapat kita saksikan dalam tulisan ini seterusnya.

Pada zaman dulu dan sekarang, zaman kuno dan moden, era global dan ICT, Ihsan dapat menjadi penyuluh dan panduan yang amat penting bagi manusia mencerminkan dirinya, mengerjakan amalan dunia dan akhirat, berkelakuan dan berkata2, bertindak dan bekerja dalam terang atau tersembunyi, kerana Ihsan mempunyai elemen akidah yang amat penting, bahawa apa2 saja yang kita lakukan, yang kita ucapkan, yang kita ingatkan di dalam hati dan fikiran kita, akan di ketahui oleh Allah SWT untuk diberikan ganjaran oleh Maha Pencipta pada hari akhirat nanti, atau di takdirkan balasan tertentu semasa hayat kita lagi.

Ihsan dan implikasinya inilah yang kelihatan semakin terhakis dalam sistem amalan dan akhlak umat manusia pada hari ini, termasuk dalam masyarakat umat Islam sendiri. Undang2 dunia, mahkamah dunia, peraturan dunia, kaedah tatatertib dan disiplin kerja dunia, sering membentuk kelakuan dan perilaku manusia, takut dihukum, dibawa ke dalam mahkamah, dibicarakan di pejabat atau di hadapan bos, dan dikenakan tindakan tatatertib, penjara, denda, malah dihukum gantung sampai mati, dan sebagainya.

Malah di hadapan tindakan dunia yang dapat dilihat itu pun, ramai sekali manusia kini yang dipengaruhi oleh nafsu dan sifat tamak haloba, mengejar harta dan pangkat, terutamanya mencari kekayaan dan kemewahan, maka ramai sekali yang akan mencuba melakukan seribu satu tindakan demi kepentingan diri dan benda, iaitu dengan melakukan berbagai2 cara dan tektik untuk mengelak dari tindakan undng2, atau melakukan 1001 kesalahan dengan amat "bijak" sekali supaya dia tidak dapat dikesan oleh mata2 dunia.

Maka di sinilah datangnya kepentingan dan rahsianya penghayatan sifat Ihsan ini, kerana Ihsan mempunyai hubungan secara langsung dengan keimanan kita kepada Allah SWT, iaitu Allah Maha Mengetahui, Maha Melihat, Maha Berkuasa, Allah mengetahui segala2nya yang kita lakukan, kita ucapkan, kita fikir dan apa2 saja tindakan secara terang atau tersembunyi dari manusia ini, maka semuanya berada dalam ilmu Allah, yang kadang2 dengan Iman saja, manusia sering lupa kepada hakikat ini, tetapi dengan menghayati sifat Ihsan, iaitu kita melihat Allah atau Allah melihat kita, maka manusia akan menyemak dan menyedari akan segala perilaku dan tindakannya, kerana dia tidak dapat lari dari penglihatan Allah SWT.

Kepentingan Ihsan ini ternyata dari Hadis ini, dan lebeh pentingnya lagi ialah tentang diri lelaki yang datang memasuki majlis Nabi dan duduk berhampiran dengan baginda, bertanya dan mengaku akan ketepatan jawapan Nabi bagi ketiga2 perkara yang disoalkannya itu, kerana setelah lelaki itu berpisah, keluar dari majlis, lalu Baginda bertanya kepada para sahabatnya : Tahukah kamu semua siapakah dia lelaki itu? Mereka menjawab tidak tahu, lalu Baginda menjelaskan kepada mereka bahawa itulah Malaikat Jibril yang datang mengajar dan mengingatkan mereka tentang Islam, Iman dan Ihsan.

Dengan itu, Ihsan dapat menusuk ke dalam hati manusia dan menyemai serta memperkukuhkan dalam keyakinan mereka bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa, segala2nya tentang manusia adalah tertakluk kepada ilmu Allah dan kuasa Allah.

Maka ibadat puasa yang sedang kita jalani sekarang ini adalah merupakan satu ibadat yang dapat memperkukuhkan sifat Ihsan ini, iaitu ketika kita tidak makan dan minum sama ada secara terang atau tersembunyi. Kita boleh melakukan secara tersembunyi untuk mengelakkan tindakan undang2 manusia dan undang2 dunia, tetapi kita tidak mungkin melakukan sesuatu yang membatalkan puasa, tidak makan atau minum walau pun kita berada seorang diri di atas sebuah pulau yang jauh dari manusia lain, di dalam bilik yang terkunci, atau di mana2 saja yang jauh dari pandangan orang, kerana kita tahu bahawa Allah mengetahui segala apa yang kita lakukan. Dalam hal ini maka Ihsan adalah merupakan stu unsur pendidikan yang amat berkesan untuk mendidik hati nurani kita, jiwa kita dan pandangan mata hati kita secara dalaman. 

Orang2 kafir yang memusuhi Baginda Rasulullah SAW tidak mahu beriman kerana mereka tidak melihat syurga dan neraka, tidak percayakan hari akhirat, tidak percayakan kekuasaan Allah SWT. Manusia Muslim pada hari ini juga kelihatan amat kurang imannya dalam konsep Ihsan ini, dan nampaknya mereka lebeh takut kepada undang2 dunia dari undang2 Allah, kecuali dalam soal makan minum dalam bulan puasa, ketika mereka pada keseluruhanya amat komited kepada sifat Ihsan ini, sungguh pun dalam hal2 lain yang harus mereka "berpuasa" juga seperti umpat mengumpat, menipu dan berbohong. atau melakukan perbuatan yang menimbulkan kebencian dan peersengketaan sesama sendiri, malagh melakukan dosa kepada Allah, banyak juga berlaku di dalam bulan puasa ini, kerana mereka memahami bahawa puasa yang nyata ialah menahan diri dari makan dan minum sahaja, itu saja yang mereka elakkan, tetapi dalam tindakan lain setiap hari mereka lupa kepada hikmah ini, dan hal ini berlaku di dalam bulan puasa, apa lagi di luar bulan puasa.

Sebab itulah Baginda Rasulullah SAW amat tepat dan tajam sekali amarannya ketika Baginda menegaskan bahawa ramai sekali orang yang berpuasa, namun mereka tidak mendapat sesuatu apa pun dari ibadat puasa mereka itu, kecuali lapar dan dahaga sahaja" Maha Suci Allah SWT, maha benar pengucapan Baginda Rasulullah SAW, dan mengenangkan hal ini dalam dunia moden pada hari ini, termasuk tindakan bunuh membunuh di negara Islam sendiri, tindakan yang penuh dosa oleh orang Islam sendiri, maka sebenarnya umat Islam yang insaf dan mempunyai sifat Iman dan Ihsan, hanya dapat mengeluarkan air mata dan merasa amat sugul dan dukacita, sambil hanya dapat berdoa seperti doa Baginda Rasulullah SAW kepada Allah SWT :"Tuhanku, berilah pertunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui" tetapi hal itu untuk kaum yang tidak mengetahui, sedangkan kaum kita umat Islam pada hari ini amat mengetahui dosa pahala, halal haram, baik dan tidak baik, yang mengaku beriman, alim dan sebagainya.

Semoga memasuki hari ke-14 berpuasa, kita akan terus mempelajari hikmahnya dan dengan itu dapat menguatkan iman dan Islam kita semua, dan menghayati sifat Ihsan dalam pengertiannya yang luas dan mendalam. Amin, Amin, Ya Rabbal 'Alamin.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....