HARI KEDUA BELAS PUASA

Kita menghampiri setengah bulan yang pertama berpuasa pada hari ini, Rabu 1 Ogos 2012.  Kalau yang terus menerus membaca Al-Quran pada setiap hari satu juzu', maka hari ini telah sampai ke juzu' 12, tinggal lagi 17 atau 18 hari akan berakhirnya bulan Ramadan, yang juga akan mengakhiri bacaan Al-Quran sebanyak 30 juzu'. Tetapi dengan selesainya bulan Ramadan dan seelesainya khatam Al-Quran, bukanlah bererti selesainya amalan membaca dan mengkaji isi Al-Quran ini, kerana amalan ini haruslah diteruskan sepanjang hidup kita.

Saya pagi ini membaca surah Al-Hijr (15), dan ayat terakhir surah itu berbunyi "Dan sembahlah Tuhan mu sehingga datanglah keyakinan kepada mu" Kata nama "keyakinan" ini ditafsirkan oleh ahli tafsir sebagai keyakinan yang tidak berbelah bagi yang seharusnya dihayati oleh hamba2 Allah ini terhadap Allah SWT, yang bererti bahawa hamba Allah hendaklah terus menerus menyembah Allah dengan penuh yakin. Maka berdasarkan pengertian inilah, para ulamak tafsir mentafsirkan ayat ini yang bermaksud: dan sembahlah Tuhanmu sehingga tibanya saat kematian kepadamu, kerana kematian adalah meupakan sesuatu yang diyakini akan tiba kepada setiap makhlok yang bernyawa. Maknanya sembahlah Allah sehingga kamu meninggal dunia ini.

Oleh itu, tafsiran ini membawa pengertian bahawa menyembah Allah dalam pengertian khusus iaitu beribadat kepada Allah, atau dalam pengertian umum ibadat yang merangkumi segala amal kebajikan yang dilakukan oleh hamba Allah dalam hidupnya kerana Allah, hendaklah bersifat konsisten dan berterusan sepanjang hayatnya.

Saya teringat ramai hamba Allah yang telah pergi, kembali ke pangkuan Allah, mereka telah menepati ayat ini, sekurang2nya yang dapat kita saksikan, iaitu mereka telah membuat amal kebajikan dan berbakti kepada Allah dan manusia umumnya sehingga ke akhir hayatnya.

Sebelum menjelangnya bulan Ramadan ini, seorang Profesor yang saya kenali dari UPM, iaitu Prof Dr Yaakob Che Man telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya di Bangi.
Allah Yarham semasa hidupnya, iaitu yang saya kenali melalui HDC, atau Industri Halal "Halal Development Cooperation" juga melalui usaha kajian dan penyelidikannya di UPM dalam industri halal, merupakan tenaga akademik dan penyelidik yang terus menerus diberi penghormatan oleh UPM, termasuk anugerah Naib Canselor yang baru dikurniakan kepadanya dalam konvokesyen terakhir, dan Prof Dr Yaakob telah pun menggunakan kerusi roda ketika menerima anugerah itu, Allah Yarham juga diberi penghormatan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan lain2 kerana bakti dan usahanya yang berharga dalam bidangnya itu.

Saya pernah menziarahi Allah Yarham ketika saya mendapat tahu berita kesakitannya, dia kelihatan agak lemah dan susut berat badannya, tetapi tetap bersemangat dan mesra sepeti biasa, selepas itu saya tidak bepeluang menemuinya lagi sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.


Mengikut teman saya yang mengunjunginya di rumahnya sebelum ketibaan bulan Ramadan ini, beliau masih dapat bangun berjalan2 di rumahnya, dan sempat memberitahu tetamunya itu bahawa rumahnya sedang dikemaskan kerana selepas Hari Raya ini, dia akan menerima menantu. Tetapi sebelum pun menjelangnya puasa Ramadan, beliau telah pun pergi, kembali kepada penciptanya Allah SWT.

Inilah kematian dan keyakinan yang dapat saya hubungkan dengan ayat yang saya sebutkan di atas, bahawa hamba Allah akan sentiasa mempunyai peluang untuk beribadat dan berbakti kepada Allah dalam segala amal kebajikannya untuk kepentingan dan kesejahteraan umat manusia ini sehingga ke nafasnya yang terakhir.

Allah Yarham Prof Dr Yaakob pergi dalam masa yang singkat sahaja sejak di dapati bahawa dia mengidap penyakit kanser, iaitu dalam bulan Februari 2012 kalau tak salah maklumat yang saya perolehi. Demikianlah kematian dapat meragut nyawa manusia dalam masa yang tidak diketahui, malah hal inilah yang telah difirmankan oleh Allah bahawa manusia itu tidak akan mengetahui dua perkara dalam hidupnya (disamping hal2 lain tentunya) iaitu apakah yang akan dikerjakannya esok, dan di bumi manakah ia akan menemui kematiannya.

Seorang yang paling dekat dengan hati saya dan keluarga, terutamanya anak2, iaitu isteri saya  meninggal dunia dalam tahun 2004. Kematiannya juga menjelang dalam masa 6 - 7 bulan sahaja setelah didapati dia mengidap kanser darah "NH Limphoma". Ketika diketahui jenis penyakitnya itu, penyakit kansernya telah pun berada di peringkat yang keempat.

Pernah satu hari ketika Allah Yarham menceritakan tentang perasaannya dalam menghadapi saat2 akhirnya itu, dia mengatakan bahawa orang yang ditakdirkan Allah mengidap kanser, dari satu seginya, merupakan orang2 yang dirahmati Allah, kerana orang itu mengetahui saat2 kematiannya yang semakin hampir dan mempunyai kesempatan untuk meneruskan ibadatnya serta bertaubat kepada Allah.


Allah Yarham nampaknya amat mengetahui saat2 pemergiannya pada hari kematiannya, kerana pada hari itu, 11 Jun 2004, dia meminta saya jangan meninggalkannya walau seminit pun, pergi sembahyang Jumaat pun, cepat2lah balik, makan pun disebelahnya, duduk di sampingnya, dan pada hari itu, dia memohon maaf kepada semua oang yang menziarahinya dengan penuh ketenangan, maka pada hari itulah, selepas tengah malam, masuk ke hari Sabtu 12 Jun 2004, dia pegi buat selama2nya, telah lapan tahun saat pemergiannya itu hingga sekarang.

 Sebelum itu ketika menerima rawatan di HKL, para doktor juga memberitahu saya dan keluarga, bahawa mengikut kajin saintifiknya dari segi perubatan, sel kanser Allah Yarham menunjukkan bahawa harinya semakin menghampiri destinasi terakhir, iaitu kematian, namun begitu menjadi kewajipan para doktor untuk merawat dan memberikan rasa selesa kepadanya seberapa lama sekali pun, selagi dia dapat meneruskan pernafasannya, sebab itulah mereka memberikannya ubat2 dan suntikan yang dapat mententeramkannya dan memberikannya keselesaan.

Kita yang hidup dapat merasakan pengalaman orang2 yang sedang menempuhi saat2 terakhir ini. Kesanggupan dan ketabahan mereka menghadapi masa ujian itu dengan tenang dan sabar menjadikan kita amat insaf. Semuanya ini berdasarkan keimanan dan keyakinan kepada takdir dan suratannya seperti yang telah ditetapkan Allah SWT. Mereka yang telah pergi, telah pun meninggalkan kita, dan peninggalan mereka memberikan satu pengajaran yang penuh bermakna dan berhikmah untuk kita ambil. 

Maka menjelangnya hari terakhir puasa kedua belas hari pada hari ini, diharapkan bahawa ibadat  puasa ini merupakan satu sekolah atau madrasah, malah sebagai universiti untuk kita mempelajari banyak perkara yang selama ini mungkin tidak kita sedari. Maka cerita2 manusia di sekeliling kita, sama ada yang masih hidup atau telah pergi buat selama2nya, akan menjadi iktibar dan menjadikan kita lebeh berfikir dalam diri kita, apakah maknanya kehidupan kita ini, dan apakah ertinya kematian bagi manusia itu. Kematian merupakan satu permulaan episod baru dalam kejadian makhlok Allah ini, dan kehidupan juga merupakan satu penerusan amal untuk Allah. manusia dan alam bagi menyelesaikan banyak agenda hidup kita yang belum selesai...

Selamat meneruskan ibadat puasa kepada saudara2 kaum Muslimin Muslimat semua........


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....